Skip to main content

Usaha penjenamaan agresif dijangka pacu prestasi Bonia pada suku keempat FY22

Bonia akan terus menggiatkan usahanya dalam membina jenama, terutama melalui saluran digital. - Gambar Facebook Bonia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Mei - Bonia Corp. Bhd. dijangka mempamerkan prestasi yang lebih kukuh pada suku keempat berakhir 30 Jun 2022 dipacu terutamanya menerusi usaha penjenamaan semula yang agresif. 

 

CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya berkata, peruncit fesyen mewah antarabangsa itu akan  memanfaatkan strategi saluran omni, dengan perancangan untuk mengembangkan jualannya sama ada secara fizikal mahupun e-dagang.

 

Di Malaysia, katanya, kumpulan merancang untuk membuka lebih banyak cawangan berkonsepkan butik dengan 4 hingga 6 butik baharu dalam tempoh 2 tahun lagi di lokasi yang menjadi tumpuan ramai. 

 

"Sebagai sebahagian daripada strategi penjenamaan semulanya, ia merancang untuk membuka cawangan dengan reka bentuk moden dalam usaha meningkatkan daya tarikan pengguna.

 

"Mengenai e-dagang, Bonia merancang untuk mengembangkan kehadiran pasaran dalam talian ke lebih banyak pasaran luar negara yang baharu melalui kerjasama dengan sinergi rakan kongsi pihak ketiga," katanya. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan Rabu lalu, Bonia merekodkan untung bersih sebanyak RM12.5 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM2.84 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Hasil kumpulan bagi tempoh itu turut meningkat 37% kepada RM86.8 juta daripada 63.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya didorong prestasi jualan yang kukuh pada Januari sempena sambutan Tahun Baharu Cina. 

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 31 Mac 2022, hasil kumpulan meningkat 11% kepada RM231.9 juta berbanding RM208.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala untung bersih meningkat kepada RM27.09 juta daripada RM14.6 juta. 

 

CGS-CIMB Research berkata, prestasi kumpulan pada suku keempat akan dipacu jualan lebih kukuh sempena Hari Raya Aidilfitri dan juga pelarasan harga jualan.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengulangi saranan 'tambah' terhadap Bonia dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.

 

"Kami juga tidak membuat sebarang perubahan anggaran bagi pendapatan sesaham (EPS) untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) hingga FY24.

 

"Ini kerana kami melihat Bonia akan mendapat kelebihan daripada pemulihan perbelanjaan pengguna yang berhemah," tambahnya.

 

Firma itu melihat Bonia akan terus menggiatkan usahanya dalam membina jenama, terutama melalui saluran digital. 

 

"Antaranya, termasuklah mempertingkatkan lagi kehadiran jenama media sosialnya dan menjalankan lebih banyak acara pemasaran, termasuk kerjasama dengan pempengaruh media sosial. Ia juga merancang untuk memulakan perdagangan sosial sebagai saluran jualan alternatif," jelasnya. 

 

Setakat 10.57 pagi ini, harga sahamnya menokok 14 sen atau 5.38% kepada RM2.74 dengan 992,100 saham diniagakan. - DagangNews.com