PERSAINGAN hebat yang wujud dalam era digital pada hari ini boleh mengakibatkan wujudnya jurang yang sangat besar khususnya dalam dunia perniagaan sekiranya masih ada pihak yang tidak mengambil peduli akan kepentingannya.
Justeru, MYNIC Berhad (MYNIC) yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan pelbagai program dan latihan kepada golongan usahawan.
Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts Hasnul Fadhly Hasan berkata, langkah itu bagi menimbulkan kesedaran khususnya terhadap golongan usahawan mengenai kepentingan digitalisasi dalam perniagaan mereka.
Menurut Hasnul, bagi tujuan itu, pihaknya telah memperkenalkan Program Realisasi Impian Ekonomi (PRIME) yang memberi fokus kepada usaha bagi menarik minat para usahawan untuk menguasai pasaran digital.
Di bawah program PRIME tersebut jelasnya, terdapat dua pendekatan yang telah dilaksanakan oleh MYNIC iaitu latihan penguasaan pasaran digital, selain program webinar Cerita.MY Saya bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan perniagaan digital dalam kalangan usahawan.
“Latihan penguasaan pasaran digital merupakan inisiatif MYNIC dalam membantu dan membawa usahawan yang menjalankan perniagaan berasaskan ‘offline’ untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan secara dalam talian, dan seterusnya bersedia menghadapi pasaran global ekonomi digital dunia.
“Program latihan itu mampu meningkatkan kesedaran dan kefahaman kepada komuniti usahawan mengenai ekosistem e-dagang dengan tumpuan kepada kurikulum pembangunan laman web, pengiklanan menggunakan Facebook, Google Ads,” katanya.
Menurut beliau lagi, hasil daripada program latihan yang dijalankan itu menunjukkan terdapat peningkatan melebihi 100 peratus dalam konteks pendapatan para peserta yang pada awalnya memulakan perniagaan hanya di pasaran tempatan sehingga menjadi usahawan online sehingga berjaya untuk mengembangkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.
Mengulas mengenai program Cerita.MY Saya pula, jelas Hasnul Fadhly, ia merupakan sebuah program Webinar PRIME Basics inisiatif MYNIC yang diadakan secara langsung atau ‘live’ menerusi platform laman soial Facebook.
Ia katanya, bertujuan untuk berkongsi kisah para usahawan ikon MYNIC yang telah berjaya beralih daripada konsep perniagaan konvesional secara ‘offline’ sehingga mampu mewujudkan identiti perniagaan mereka yang tersendiri secara digital di platform dalam talian setiap Isnin.
“Selain itu, Cerita.MY Saya juga bagi memberi kesedaran tentang kelebihan nama Domain .MY dan sesi pendaftaran percuma nama domain BIZ.MY.
“Kita turut mengadakan ‘weekly engagement’ selain jelajah Satu Malaysia melalui inisiatif KKOM iaitu Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM).
“Sebanyak 114 sesi Cerita .MY Saya telah berjaya dijalankan bermula dari Oktober 2021 sehingga May 2022.
“Sepanjang tempoh itu, seramai 2,600 orang peserta telah mendaftar program Cerita.MY Saya, manakala seramai 1,275 peserta telah mendaftar BIZ.MY menerusi program Cerita .MY Saya,” katanya.
Ujar Hasnul Fadhly lagi, sambutan yang diterima terhadap Cerita.MY Saya juga sangat menggalakkan apabila seramai 21,728 penonton (viewers) telah menonton sesi live Cerita .MY Saya menerusi siaran Facebook Live MYNIC. – DagangNews.com