Adakah Eksport Negara pada landasan yang betul?
PERDAGANGAN negara termasuk eksport mencatatkan jumlah yang menurun pada tahun 2020.
Namun begitu, ia dilihat sesuatu yang “biasa’ kerana negara-negara lain di dunia juga mencatatkan penurunan seperti Singapura, Thailand, India, China, Jepun, Indonesia dan lain-lain.
Keadaan ini adalah disebabkan oleh COVID-19 dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Dalam ketidaktentuan itu, semua negara juga cuba untuk bangkit memulihkan perdagangan negara masing-masing melalui eksport.
Sejarah terbaik sejak 1994
Selepas mengalami kejutan tahun 2020, nilai dagangan Malaysia mencatat jumlah dagangan mencecah RM2 trilion pada tahun 2021 selepas berkembang melebih 25% berbanding tahun sebelumnya.
Ia merupakan satu sejarah terbaik Perdagangan Malaysia dengan pencapaian baharu dengan perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan buat pertama kali melepasi RM2 trilion serta mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994.
Momentum 2022
Walaupun telah mencapai jumlah eksport tertinggi pada tahun 2021, kerajaan tidak boleh terus selesa dengan pencapaian terdahulu.
Antara sektor yang boleh terus di beri perhatian dalam eksport negara adalah barangan perkilangan.
Menerusi data dan statistik, eksport barangan perkilangan merangkumi 85.5% daripada jumlah eksport negara secara keseluruhannya.
Namun begitu, negara boleh memberi perhatian kepada barangan elektrik & elektronik (E&E), barangan logam, keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia, dan barangan berasaskan minyak sawit serta jentera yang juga boleh menjadi potensi terbesar kepada eksport negara.
Kini, peningkatan permintaan global terutama bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit sangat tinggi.
Negara boleh memanfaatkan peluang ini dengan memberi tumpuan kepada barangan eksport yang mempunyai permintaan global yang tinggi.
Potensi besar E&E
Industri E&E di Malaysia dilihat akan menjadi tulang belakang utama di mana sektor pembuatan akan menjadi pemacu utama kepada KDNK negara.
Sektor E&E telah mencatatkan sebanyak 148 pelaburan baharu yang diluluskan bernilai RM15.6 bilion, yang dijangka boleh mewujudkan 19,541 peluang pekerjaan.
Daripada jumlah ini, pelaburan domestik menyumbang RM2.1 bilion atau 13.5% manakala pelaburan asing berjumlah RM13.5 bilion (86.5%).
Industri E&E mendapat lonjakan permintaan bagi semikonduktor yang digunakan dalam peralatan kerja dari rumah, pelayan dan peranti perubatan.
Ini menunjukkan petanda baik industri E&E yang akan berkembang baik di Malaysia dan bakal menjadi penyumbang utama eksport negara.
Perlu program pembangunan bakat pekerja E&E
Bagi menyokong industri E&E yang berkembang baik ini, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) perlu mengambil inisiatif untuk menyokong pembangunan sumber manusia dan bakat tempatan di bawah RMKe-12.
Di bawah RMKe-12 (2021-2025), peruntukkan bajet latihan perlu digunakan bagi menjalankan program pembangunan bakat secara langsung untuk pekerja E&E bahagian hadapan.
Ia bagi melengkapkan bakat dalam sektor E&E dengan set kemahiran yang betul, terutamanya dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) dan perkakasan/perisian.
Kerjasama boleh dilakukan antara industri dengan universiti untuk menjalankan program latihan khusus yang disesuaikan untuk menyediakan peserta dengan pengetahuan dan pengalaman praktikal yang relevan dengan keperluan industri dengan matlamat melatih sekurang-kurangnya 2,000 pekerja mahir dalam industri E&E menjelang tahun 2025.
Kesan Perang Rusia-Ukraine
Selain barang perkilangan dan barangan E&E yang mendapat permintaan global yang tinggi, komoditi juga mendapat permintaan yang baik.
Terkini, eksport komoditi negara juga mencatat pertumbuhan yang baik kesan limpahan daripada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang menyebabkan harga komoditi naik dengan mendadak.
Selepas berlakunya isu Rusia-Ukraine, harga komoditi termasuk minyak sawit, gas asli cecair, petroleum mentah dan produk petroleum ditapis meningkat naik.
Eksport negara mendapat kesan yang baik daripada apa yang berlaku antara Rusia-Ukraine ini.
Pembukaan Ekonomi ASEAN
Kesan positif terdapat eksport negara juga disebabkan kestabilan momentum eksport Malaysia selari dengan aliran serantau yang menerima manfaat daripada pembukaan ekonomi sepenuhnya di ASEAN dan ekonomi maju, selain lonjakan harga komoditi global.
Indonesia mencatatkan peningkatan eksport tertinggi ASEAN dengan peningkatan sebanyak 25.3% diikuti Malaysia peningkatan 23.5%, Singapura peningkatan 17.6% dan Vietnam peningkatan sebanyak 1.6%
FTA bantu eksport dua hala
Dari faktor yang berbeza, Perjanjian Perdagangan Bebas atau FTA juga membantu Malaysia dalam mengekalkan momentum eksport negara.
Sehingga Disember 2020, Malaysia telah menandatangani sebanyak 16 FTA, dengan 7 adalah perjanjian dua hala manakala 9 adalah FTA serantau.
Kesemua 7 FTA dua hala, dengan Australia, Chile, India, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Turki, telah mula berkuat kuasa.
Malaysia, melalui ASEAN juga merupakan penandatangan kepada FTA serantau dengan Australia dan New Zealand, China, Jepun, Republik Korea (ROK), Hong Kong SAR dan India.
Selain itu, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah ditandatangani. Dengan semua FTA ini akan membantu eksport Malaysia kepada rakan kongsi FTA secara dua hala.
RCEP lonjak kerjasama ekonomi Malaysia-China
Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dikuatkuasakan membolehkan China mula melaksanakan tarif tahun pertama ke atas negara anggota RCEP dari ASEAN terhadap beberapa produk import dari Malaysia.
China dan Malaysia turut menambah komitmen pembukaan pasaran berdasarkan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) yang akan memanfaatkan beberapa produk melalui tarif baharu.
RCEP ini dilihat sebagai potensi perdagangan China dengan Malaysia yang akan membantu transformasi dan penaiktarafan industri serantau, sekali gus menyuntik kedinamikan kepada pertumbuhan ekonomi serantau.
Malaysia dan China akan kerjasama bagi pelaksanaan “Dua Negara, Dua Taman” iaitu Taman Industri di Qinzhou dan Kuantan yang berpotensi untuk membawa peluang kerjasama baharu, sekali gus menggalakkan rantai industri rentas sempadan antara China dengan Malaysia, termasuk ASEAN.
Perlu intai peluang negara lain
Walaupun banyak peluang eksport dua hala kepada negara China selaku rakan dagang utama termasuk yang lain seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN, Malaysia perlu juga menerokai peluang eksport yang lain.
Eksport bagi pasaran baharu seperti Costa Rica, Kenya, Mesir, Nigeria, Ghana dan Iraq boleh diterokai oleh Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan nilai eksport negara untuk jangka masa panjang.
Bangunkan Pelan Tindakan Visi Putrajaya APEC 2040
Selain FTA yang telah ditandatangani, Malaysia telah melancarkan Visi Putrajaya APEC 2040 dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).
Visi Putrajaya APEC 2040 ialah dokumen yang menggariskan aspirasi dan hala tuju Ekonomi APEC bagi APEC untuk 20 tahun akan datang. Ia bagi mewujudkan komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040, untuk kemakmuran semua rakyat dan generasi akan datang.
Dengan matlamat pertama bagi perdagangan dan pelaburan, kedua inovasi dan pendigitalan dan ketiga pertumbuhan kukuh. Untuk memastikan kejayaan dan pelaksanaan Visi Putrajaya APEC 2040, pelan pelaksanaan perlu untuk dibangunkan.
Jika pelan pelaksanaan berjaya dibangunkan dengan baik, ianya akan menyokong kestabilan perdagangan negara termasuk eksport untuk jangka masa panjang. - DagangNews.com
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.