Adakah ketidaktentuan ekonomi global akan cetus Krisis Ekonomi 2023? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 25 July 2023

Adakah ketidaktentuan ekonomi global akan cetus Krisis Ekonomi 2023?

 

 

 

PROSPEK ekonomi global dijangka akan tidak menentu tahun ini. Laporan mengenai hutang global bertajuk "Ancaman Terhadap Kestabilan Fiskal Kerajaan" menjelaskan ekonomi yang lebih lemah dengan inflasi dan kadar faedah yang tinggi akan menjejaskan fiskal negara dan sumber hasil negara-negara di dunia.

 

Banyak  negara di dunia yang bergelut dengan krisis hutang negara mereka. Keupayaan setiap negara dalam  mengurus beban hutang dan potensi untuk menyatukan dasar fiskal pada tahun-tahun mendatang menunjukkan ke arah perselisihan yang berkekalan dalam kadar pertumbuhan global yang tidak menentu ini merupakan satu cabaran besar.

 

Jika keadaan ekonomi berkembang dengan baik, pastinya negara-negara di dunia ini mampu untuk mendapatkan hasil yang baik bagi menampung hutang negara masing-masing.

 

Namun kini, ekonomi global masih lagi tidak menentu dan menunjukkan risiko yang tidak baik. Persoalannya, apakah sebab ekonomi global tidak menentu?

 

Punca-punca

Seperti yang kita sedia maklum yang keadaan ekonomi belum pulih daripada kemelut pandemik.

 

Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang mengheret ekonomi global yang tidak menentu ini. Antaranya:

  • Ketidakstabilan geopolitik yang berlaku di mana apabila konflik antara negara, perang dagang yang tidak selesai yang membawa ketidakstabilan dalam ekonomi global. Hal ini mengganggu aliran perdagangan yang mempengaruhi sentimen pasaran dan pelaburan.

  • Ketidakstabilan pasaran kewangan seperti kadar faedah juga menyebabkan keadaan ekonomi global ini menjadi tidak menentu. Ekonomi bertindak balas dengan kadar faedah yang diumumkan. Ketidaktentuan kadar faedah ini juga menghambat pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu dan mengurangkan kepercayaan dan keyakinan pelabur.

  • Ketidaktentuan pasaran komoditi seperti perubahan harga komoditi utama seperti minyak, gas, logam dan bijih besi. Apabila harga komoditi ini tidak menentu, negara-negara  yang bergantung kepada komoditi ini akan mengalami kesannya.

  • Kemerosotan pertumbuhan ekonomi pasca pandemik ini mengheret gergasi besar seperti Amerika Syarikat dan China mengalami kemerosotan yang sama. Apabila kuasa besar ekonomi dunia mengalami kemerosotan, ia menular kepada negara-negara lain dan mengganggu ketidakstabilan ekonomi global secara keseluruhan.

 

BNM

 


Ketatkan pinjaman tanda krisis

Atas faktor-faktor ini yang membawa kepada gangguan kepada ekonomi global   dan sistem kewangan. Bank Amerika terus mengetatkan pemberian pinjaman.

 

Lantaran itu,  aktiviti ekonomi juga akan mengalami penyusutan apabila bank-bank mengetatkan pemberian pinjaman akibat terkena tempias dari apa yang berlaku. Ia membawa tanda kepada krisis yang akan berlaku.

 

Kesan daripada gangguan pada sistem kewangan Amerika Syarikat ini memberi kesan kepada Malaysia juga.

 

Antara yang berlaku dalam sistem kewangan Amerika Syarikat ialah:

  • Penutupan bank Silicon Valley dan Signature Bank yang akan memberi kesan kepada kesihatan sektor perbankan.
     
  • Rizab Persekutuan (The Fed) masih menekankan kepentingan untuk mengawal kadar faedah ke paras tinggi agar dapat mengawal inflasi.

 

Ringgit semakin melemah

Selain dengan mengetatkan pinjaman, situasi ringgit juga agak merisaukan banyak pihak. Ringgit mencatat prestasi terburuk apabila  bagi separuh tahun pertama 2023 ini, nilai ringgit menyusut hampir 6% disebabkan aliran keluar modal. Ini merupakan kejatuhan terbesar dalam kalangan negara negara Asia.

 

Kejatuhan ringgit ini sebenarnya sangat besar. Ada yang meramalkan ringgit akan menyusut sehingga AS$1 berbanding RM5.


 

parafrasa

 


Semasa krisis 1997, kita telah mengikat nilai ringgit ketika ringgit semakin melemah. Namun kali ini pasti Malaysia tidak mampu berbuat begitu. Dalam ketidaktentuan ekonomi global kini yang melemah ringgit membawa tanda-tanda krisis kepada negara.

 

Malaysia, ayuh bangkit!

Malaysia perlu bangkit untuk mengatasi ketidaktentuan ekonomi global ini. Pelbagai strategi perlu dirangka dan dirancang untuk kalis ketidaktentuan ekonomi global ini.

 

Antara yang boleh dilakukan ialah:

  • Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada sektor-sektor tertentu sahaja. Sudah sampai masanya, membangunkan industri-industri yang berbeza dan mencipta peluang baharu berdasarkan sumber yang ada.

  • Malaysia perlu meningkatkan daya saing bagi menarik pelaburan asing masuk ke Malaysia semula. Dalam menarik pelabur asing ini, apa yang penting ialah kos operasi perlu dikurangkan yang boleh menjadi daya tarikan pelabur asing ke Malaysia.

  • Malaysia perlu meneruskan pakej rangsangan ekonomi. Sebenarnya pakej rangsangan ekonomi ini membantu merangsang pertumbuhan ekonomi. Antara yang perlu diberi perhatian ialah pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar, bantuan kewangan kepada perniagaan dan insentif untuk industri tertentu boleh merangsang pertumbuhan ekonomi dengan cepat.

  • Malaysia perlu menguruskan dasar monetari dan fiskal dengan bijak. Dalam situasi ini, kerajaan lebih tahu apakah dasar monetari dan fiskal yang terbaik buat negara dalam ketidaktentuan ekonomi global ini. Ia perlu diperhalusi dengan baik agar dapat membantu membangunkan ekonomi di samping tidak menindas rakyat.

  • Malaysia perlu membangunkan modal insan dan tenaga kerja mahir. Negara yang mempunyai modal insan dan tenaga kerja yang mahir akan lebih membantu menarik pelabur asing.

  • Malaysia perlu mempromosikan perdagangan serantau. Kini bukan masanya untuk melihat kepada pasal global yang tidak menentu tetapi fokus kepada perdagangan serantau yang boleh membantu melindungi ekonomi Malaysia daripada ketidakstabilan global.

 

Jadikan kisah kisah Nabi Yusof sebagai ibrah hadapi krisis ekonomi

Tak kiralah krisis atau tidak,  sama ada kerajaan, perniagaan atau pun individu, boleh mengambil contoh kisah Nabi Yusof AS sebagai ibrah untuk menghadapi krisis ekonomi. Apa ibrah yang paling utama dari kisah Nabi Yusof AS ini ialah perancang kewangan.

 

Perancangan kewangan harus merangkumi belanjawan, senarai perbelanjaan dan rancangan untuk menyimpan serta melabur. Perancangan ini juga harus disesuaikan dengan situasi kewangan, namun begitu ia tidak seharusnya terlalu terikat dan tidak membenarkan sebarang fleksibiliti sekiranya berlaku krisis ekonomi di luar dugaan.

 

Melalui kisah Nabi Yusof AS, kita ketahui  setiap individu, pemilik perniagaan ataupun kerajaan perlu sentiasa berjimat cermat dan berhemat berbelanja serta sentiasa memastikan sebahagian hasil diperoleh itu disimpan untuk kegunaan pada waktu sukar.


 

parafrasa

 


Menerusi surah Yusof ayat 51, jelas membuktikan bahawa perlu berjimat cermat dengan Allah SWT berfirman bermaksud: "Dia (Yusuf) berkata, supaya kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa,  kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu”

 

Maka, kerajaan, perniagaan atau pun individu, pelajari kisah Nabi Yusof AS ini menghadapi krisis. Moga jika krisis berlaku sekali pun, kita telah bersedia!   - DagangNews.com

 
 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

Portfolio Tags