Adakah Malaysia mengucapkan Selamat Tinggal kepada Industri Getah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 3 April 2023

Adakah Malaysia mengucapkan Selamat Tinggal kepada Industri Getah?

 

 


ISU harga getah yang tidak stabil dan tidak menentu membawa kebimbangan kepada pekebun getah. Dek kerana harga getah yang tidak menentu dan tidak stabil ini, pekebun getah terus dihimpit kesukaran demi kelangsungan hidup.

 

Harga getah pernah mencecah sehingga RM8.00 sekilogram pada tahun 2005 hingga 2007 dan harga antara paling rendah antara RM2.00 sekilogram.

 

Pengeluaran getah Malaysia

Senario terkini kesan harga getah yang tidak menentu  dan tidak stabil ini membawa kepada pengeluaran getah asli negara  kepada tren penurunan.

 

Majlis Getah Malaysia (MRC) pula melaporkan pada 2022 lalu, pengeluaran getah asli negara hanya berjumlah antara 280 hingga 290 tan metrik sahaja.

 

Sejarah pengeluaran getah pernah mencecah rekod yang tinggi  iaitu 740.1 tan metrik yang direkodkan pada 2017 kepada 603.3 tan metrik pada tahun 2018, 639.8 tan metrik pada tahun 2019, 514.7 tan metrik pada tahun 2020 dan 469.7 tan metrik pada tahun 2021. Dari analisis ini, jumlah pengeluaran getah Malaysia semakin menurun dari tahun ke tahun.


 

tnb

 


Pekebun tidak lagi berminat

Dengan keadaan harga yang tidak stabil dan tidak menentu ini menyebabkan pekebun getah terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi. Secara matematiknya, jika kos lebih besar daripada pendapatan, ia sesuatu yang merugikan.

 

Dek kerana harga yang tidak menentu dan tidak menjamin pendapatan yang stabil, generasi kini atau anak pekebun getah tidak mahu meneruskan legasi keluarga dalam bidang industri getah.

 

Ketiadaan generasi pelapis menyebabkan industri getah terpaksa bergantung kepada buruh asing. Persekitaran pasca pandemik ini agak sukar untuk mendapat buruh asing dan jika keadaan ini berlarutan dan boleh menyebabkan pengeluaran getah negara terus merosot.

 

Selamat tinggal industri getah

Jika kerajaan tidak bersungguh-sungguh untuk “membantu dan memulihkan” industri getah di Malaysia, tidak mustahil untuk kita ucapkan “selamat tinggal” kepada industri getah yang mana Malaysia antara pengeluar getah utama dunia.

 

Daripada status sebagai pengeluar utama dunia getah suatu ketika dahulu, Malaysia kini berada pada kedudukan ketujuh pengeluar getah asli terbesar di belakang Thailand, Indonesia, Vietnam, India, Ivory Coast dan China.

 

Hakikatnya, industri getah masih mempunyai permintaan yang tinggi dan banyak syarikat-syarikat yang mencatat keuntungan yang besar melalui industri ini.

 

Namun begitu jika Malaysia tidak mengambil langkah segera pastinya Malaysia bukan lagi menjadi pengeluar getah dunia.


 

tnb

 


Bantu pekebun di bawah paras kemiskinan

Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk “membantu” industri getah negara dengan pelbagai dasar dan pelan tindakan, hal ini akan membantu pekebun getah untuk “bernafas kembali”.

 

Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan pekebun getah ini merupakan golongan B40 dan mereka hidup di bawah paras kemiskinan. Jika harga getah dapat distabilkan, ia pasti boleh membantu pekebun getah untuk hidup di bawah paras kemiskinan.

 

Insentif dan bantuan sekadar melepas batuk di tangga

Tidak dinafikan yang kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan bantuan kepada pekebun getah namun semua insentif dan bantuan itu sekadar “melepaskan batuk di tangga” sahaja.

 

Semua insentif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan hanyalah bersifat semasa dan jangka masa pendek dan bukannya menyelesaikan masalah pekebun getah dalam tempoh jangka masa panjang.

 

Sebagai contoh, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT)  yang dilihat sebagai bantuan kerajaan yang kurang berjaya untuk memulihkan semula industri getah di Malaysia.

 

Setiap tahun kerajaan memperuntukkan antara RM200 juta–RM300 juta bagi IPG, namun pelaksanaannya yang terlalu banyak “kerenah” yang mana proses agak susah menyebabkan pekebun getah gagal mendapatkan IPG. 

 

Jika kerajaan mahu membantu pekebun getah ini, mudahkan proses dan permohonan boleh dibuat kepada banyak agensi yang berkaitan dan bukannya dengan RISDA semata-mata.


 

ninot aziz

 


Tetapkan harga lantai

Selain menyediakan insentif dan bantuan yang betul-betul membantu pekebun dan industri getah, isu harga getah perlu ditangani kerajaan.

 

Kerajaan perlu memandang serius perkara ini. Kerajaan boleh menetapkan harga lantai bagi penjualan getah.

 

Jika terdapat harga lantai bagi penjualan getah, tidak lah harga getah boleh naik dan turun dengan tidak menentu. Dengan penetapan harga lantai ini, pastinya pekebun getah boleh menarik nafas lega kerana pekebun getah sering menghadapi situasi harga getah yang tidak menentu dan tidak stabil.

 

Geran khas projek integrasi

Kerajaan juga boleh menawarkan geran khas kepada pekebun getah bagi menjalankan projek integrasi. Projek integrasi ini ialah yang mana pekebun getah boleh menjalankan projek tanaman lain atau ternakan dalam kebun atau ladang getah.

 

Banyak projek ternakan seperti penternakan kambing dan lembu yang berjaya dilaksanakan dalam kebun atau ladang getah. Bagi melaksanakan perkara ini, kerajaan perlu menyediakan geran khas kerana jika pekebun getah ini golongan yang “ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, pastinya tidak mampu mengeluarkan modal bagi menjalankan projek integrasi ini.

 

Kerajaan perlu berani melabur dalam industri getah

Sudah sampai masanya kerajaan memberi tumpuan semula kepada industri getah selepas sektor pembuatan seperti elektronik dan automatif yang sedang menjadi tumpuan.

 

Industri getah yang dimomokkan kotor, susah, busuk dan meletihkan perlu ditransformasi kan dengan mengaplikasikan teknologi terkini untuk meningkatkan hasil dan pada masa sama memudahakn operasi industri getah ini. Ia sesuatu yang bukan mustahil dalam dunia teknologi kini.

 

Kita lihat sahaja, banyak aktiviti pertanian yang lain kini telah menggunakan teknologi dan  Artificial Intelligence (AI) dalam operasi pertanian.


 

eksponen

 


Kerajaan Malaysia boleh mencontohi negara jiran seperti Thailand yang lebih ke hadapan dalam memperkenalkan teknologi terkini kepada pekebun getah bagi memudahkan operasi pengurusan industri getah ini dan sekali gus dapat menarik minat golongan belia untuk menjadi usahawan yang berasaskan kepada industri getah.

 

Ia boleh dilakukan jika kerajaan mahu melabur dalam industri getah ini. Kuasa dan keputusan di tangan kerajaan. Jika mahu industri getah kembali “hidup” bantulah! - DagangNews.com

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags