Apa sasaran “semakan semula” Bajet 24 Februari ini?
APAKAH agenda utama kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyemak semula Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan pada 24 Februari ini.
“Semakan Bajet” ini sangat penting bagi Anwar bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap beliau selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
Penekanan kepada dasar fiskal seharusnya diberi perhatian oleh Anwar dalam semakan bajet yang bakal beliau bentangkan nanti. Dalam situasi semasa, ekonomi global yang masih lagi agak lembap mengheret disiplin fiskal negara yang kekal condong.
Adakah bajet terdahulu realistik?
Adakah bajet yang telah dibentangkan terdahulu oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebanyak RM372.3 bilion ini masih realistik?
Kerajaan perpaduan perlu menilai semua jumlah RM372.3 bilion ini bagi semakan bajet yang akan dilakukan.
Secara asasnya, bajet ini terlalu besar jika hendak diukur bandingkan dengan situasi semasa yang mana kekangan fiskal negara yang agak ketat.
Kita juga perlu berpijak di bumi yang nyata yang mana dalam situasi semasa pemulihan ekonomi domestik juga belum pulih sepenuhnya pasca pandemik.
Semakan semula perbelanjaan pembangunan
Apa yang Anwar dan kerajaan perpaduan boleh lakukan adalah dengan menyemak semula peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan terutamanya bagi projek baharu atau pun projek lama yang belum memulakan proses tender.
Dengan menyemak projek-projek pembangunan yang bernilai tinggi ini sedikit sebanyak pastinya akan membawa kesan kepada unjuran defisit negara. Walaupun pastinya unjuran ini pasti akan kekal defisit, tetapi ia boleh mengecilkan defisit ini.
Kebanyakan penganalisis ekonomi menjangkakan unjuran defisit fiskal 2023 pada 5.5% bagi pertumbuhan unjuran Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK).
PKS perlu dipulihkan segera
Kerajaan perpaduan perlu mengambil langkah SEGERA bagi memulihkan ekonomi domestik yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana.
Semakan Bajet 2023 diharapkan akan memberi keutamaan kepada PKS bagi kumpulan ini memulihkan kembali perniagaan masing-masing. Pemulihan PKS akan membawa kesan berganda kerana sebanyak 65% pasaran kerja tempatan disumbang melalui PKS.
Buat masa ini, PKS lagi “bergelut” kerana kekurangan dana dan tenaga kerja untuk kembali pulih. Tidak dinafikan telah banyak inisiatif kerajaan terdahulu untuk membantu PKS namun semoga ada berita yang lebih gembira buat PKS 24 Februari ini.
Pelarasan dan sistem percukaian yang lebih telus
Kerajaan juga perlu untuk membuat pelarasan dan sistem cukai yang lebih baik dan telus. Dengan pelarasan cukai dan sistem cukai yang lebih baik dan telus akan memberi sumber pendapatan yang baik kepada kerajaan.
Jangan cakap nak kembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) semata-mata! Pastinya kerajaan perpaduan tidak akan mengembalikan semula GST ini. Cari nahas kita mahu kembalikan GST ini.
Selain itu, pelarasan cukai kepada golongan yang berpendapatan tinggi juga mungkin boleh dilakukan. Walaupun kumpulan sasarnya tidak meluas namun pelarasan cukai ini salah satu langkah yang lebih baik bagi keadilan sosial seperti matlamat kerajaan perpaduan dengan tema madani.
Rasionalisasi subsidi juga jalan terbaik
Bagi mengurangkan beban kerajaan, rasionalisasi subsidi boleh dilakukan oleh kerajaan perpaduan. Isu rasionalisasi subsidi ini telah lama juga dibincangkan namun masih lagi tidak boleh dijalankan.
Inilah masanya kerajaan perpaduan untuk bertindak bagi melaksanakannya. Pastinya mekanisme yang terbaik menjadi halangan perkara ini untuk dilaksanakan. Namun jika ia berjaya dilaksanakan, pastinya beban kerajaan dapat dikurangkan.
Dalam masa yang sama, kerajaan perpaduan perlu berhati-hati juga kerana ia boleh membawa kepada kenaikan inflasi.
Inflasi teras sederhana tetapi kekal tinggi
Jangkaan pada tahun 2023 ini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras sederhana tetapi kekal tinggi kerana tekanan kos dan permintaan yang berlarutan.
Pada tahun 2022 yang lalu, inflasi negara meningkat kepada 3.3% berbanding tahun 2021 iaitu 2.5%.
Dasar-dasar monetari dan fiskal kerajaan yang kukuh boleh membantu untuk negara menstabilkan kadar inflasi negara.
Inflasi ini banyak juga bergantung kepada faktor bekalan. Negara perlu memikirkan ke bergantungan bekalan negara daripada negara luar. Selain itu, faktor permintaan yang juga menyumbang kepada tekanan harga.
Laksanakan projek jaminan keselamatan makanan
Semakan Bajet 2023 juga diharapkan agar dapat mempercepatkan projek jaminan keselamatan makanan.
Untuk mengelakkan krisis makanan pada masa hadapan, tindakan sewajarnya mesti diambil segera oleh kerajaan perpaduan.
Strategi keselamatan makanan negara yang berkesan perlu diwujudkan secara mampan bagi menjimatkan peruntukan kerajaan.
Jika perbelanjaan kerajaan dapat dikurangkan dari mengimport bekalan makanan, sebahagian peruntukan yang besar ini boleh di salurkan kepada sektor yang lain.
Malaysia juga perlu mencontohi negara seperti Finland, Ireland, Belanda, Jerman, Jepun, Singapura dan Korea Selatan yang telah “bersedia” dan ke hadapan dalam bidang keselamatan makanan ini.
Strategi pertumbuhan gaji
Pastinya kerajaan perpaduan sedang memikirkan bagaimana untuk membantu rakyat yang sedang “dibelenggu” kos sara hidup yang tinggi. Ia membebankan rakyat demi kelangsungan hidup.
Pastikan banyak diskusi dan kajian yang dilakukan bagi mengurangkan kos barang-barang keperluan dan lain-lain lagi. Namun apa yang lebih penting ialah kerajaan perpaduan perlu memikirkan bagaimana strategi pertumbuhan gaji rakyat.
Dalam bajet 2023 yang bakal dibentangkan 24 Februari ini perlu ada strategi dasar-dasar dan program yang bakal dilakukan oleh kerajaan perpaduan bagi meningkatkan pertumbuhan gaji rakyat.
Dasar-dasar yang dilakukan perlu menyeluruh dan jelas bagi tempoh jangka masa sederhana panjang dan jangka masa panjang bagi memastikan pertumbuhan gaji ini selari dengan kenaikan kos sara hidup.
Jika pertumbuhan gaji dapat ditingkatkan ia sedikit sebanyak boleh membantu rakyat dalam menghadapi “perbelanjaan defisit” setiap bulan.
Semoga semakan bajet yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri akhir Februari ini memberi impak yang positif kepada proses pemulihan ekonomi negara. – DagangNews.com
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor