Bajet 2022: Adakah sinar buat golongan B40? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 27 Oct 2021 08:00 AM

Bajet 2022: Adakah sinar buat golongan B40?

 

 

BAJET 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera perlu memberi tumpuan kepada golongan B40. Status semasa menunjukkan peningkatan ketara golongan ini akibat kemelut COVID-19.

 

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan isi rumah yang berada dalam kumpulan M40 juga terkesan akibat pandemik COVID-19 yang mana sebanyak 20% daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 hingga RM10,959 telah beralih kepada kumpulan B40.

 

Ini melibatkan jumlah lebih daripada 600,000 isi rumah dari golongan berpendapatan pertengahan M40 telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40 kerana krisis COVID-19.

 

Penurunan tahap pendapatan yang ketara ini menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan ketidaksamarataan dan kesan terhadap kedudukan sosioekonomi rakyat Malaysia. Adakah Bajet 2022 boleh menyelesaikan isu ini?

 

Kenali B40

Jika dahulu golongan B40 merujuk kepada Bottom 40 kumpulan isi rumah terendah yang mewakili 40% penduduk Malaysia yang berpendapatan isi rumah dengan purata bulanan di bawah RM4,850.

 

Namun begitu, jika golongan M40 yang telah beralih ke B40 gagal dikembalikan kepada pendapatan asal mereka, negara perlu menyemak kembali pengkelasan isi rumah ini dan ia berpontesi membawa kepada B50 atau B60.

 

Berikut adalah semakan terakhir tahun 2020 pengelasan isi rumah:

volatiliti

 

Jurang Pendapatan B40

Jurang dalam pendapatan isi rumah perlu sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil.  Walau bagaimanapun, sesetengah masyarakat masih terdedah kepada risiko ekonomi, terutamanya golongan B40.

 

Jika sebelum pandemik, peningkatan pendapatan bulanan isi rumah golongan B40 adalah sekitar 10% -15% setiap tahun.

 

Namun begitu, akibat pandemik COVID-19, bukan peningkatan, untuk kembali mendapatkan pendapatan sedia ada pun menjadi beban kepada golongan B40 ini. Jika ada pun golongan B40 yang pendapatannya meningkat, peningkatan pendapatan bulanan mereka pastinya terlalu sedikit sekitar 1% - 5% sahaja.

 

Untuk mencapai pembangunan yang lebih terangkum, Bajet  2022 perlu menggariskan pelan dan tindakan bagi peningkatan pendapatan isi rumah B40 dalam menjadi keutamaan negara.

 

Ketidakseimbangan pendapatan dijangka akan bertambah baik dengan pekali Gini yang berkurang pada tahun 2022 nanti.

 

Membantu Golongan B40 Dalam Bajet 2022

Kerajaan perlu membantu golongan B40 dan antara yang boleh diperhalusi dalam Bajet 2022 dalam membantu golongan ini seperti:

 

  • Meningkatkan golongan B40 kepada masyarakat kelas menengah melalui tahap pendapatan dan penciptaan kekayaan serta peningkatan tahap pendidikan dan kemahiran.
  • Membantu golongan B40 yang terlibat dalam perusahaan mikro persendirian kepada perusahaan berasaskan komuniti dan sosial di samping perusahaan persendirian.
  • Membangunkan kapasiti  golongan B40 untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi yang berproduktiviti tinggi, inovatif dan kreatif.
  • Membantu golongan B40 supaya  mampu untuk menyimpan dan menjana kekayaan melalui pemilikan aset bukan kewangan supaya lebih berdaya tahan untuk menghadapi kejutan ekonomi.

 

Peluang Yang Saksama

Apa jua sasaran atau inti pati Bajet 2022, kerajaan  perlu komited untuk memastikan peluang yang saksama diperoleh oleh semua segmen masyarakat, terutamanya golongan B40.

 

GolonganB40 ini perlu mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik, peluang keusahawanan,  pemilikan kekayaan, akses yang lebih baik kepada pendidikan dan latihan yang berkualiti, infrastruktur dan kemudahan asas yang cekap yang perlu menjadi agenda inti pati utama Bajet 2022.

 

Bantuan dan subsidi yang berasaskan produktiviti perlu diberi keutamaan dalam Bajet 2022 seperti  peluang keusahawanan serta pemilikan kekayaan kepada golongan B40.

 

Kawasan luar bandar perlu ditransformasikan melalui penambahbaikan ketersambungan dan mobiliti serta pewujudan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi membantu golongan ini menikmati peningkatan dalam tahap pendapatan dan isi rumah mereka.

Bajet 2022

Kesepaduan Agensi Keusahawanan Bantu Golongan B40

Bagi membantu golongan B40 mendapatkan pendapatan yang baik, kerajaan perlu meningkatkan sokongan keusahawanan secara bersepadu  melalui SME Corp yang boleh menyelaras pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dimiliki oleh golongan  B40.

 

Kerjasama agensi yang menyediakan program sokongan keusahawanan kepada golongan IKS golongan  B40  di bandar dan luar bandar seperti SME Corp, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) perlu diperkukuh bagi menyediakan bantuan secara bersepadu.

 

Kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) perlu diaktifkan bagi program keusahawanan untuk membantu golongan B40 menjalankan aktiviti bagi meningkatkan sosioekonomi mereka.

 

Inisiatif dalam Bajet 2022 perlu kepada golongan B40 bagi  memperkukuhkan  akses pembiayaan dan latihan keusahawanan serta penyediaan perkhidmatan nasihat dan premis perniagaan.

 

Penyediaan Rumah Mampu Milik

Kerajaan juga perlu meningkatkan penyediaan rumah mampu milik kepada golongan B40.

Pinjaman pada kadar faedah rendah dengan tempoh moratorium yang tertentu juga boleh ditawarkan  kepada golongan B40 memiliki rumah.

 

Skim perumahan mampu milik oleh Perbadanan PR1MA Malaysia dan Syarikat Perumahan Negara Berhad perlu diteruskan. Bantuan sewa rumah juga perlu disediakan kepada golongan B40 yang layak.

 

Bagi golongan B40 miskin di luar bandar, terutamanya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak, kerajaan perlu menyediakan perumahan yang dilengkapi dengan kemudahan asas melalui pembinaan penempatan bersepadu di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu golongan ini.

 

Perkasa Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan

Golongan B40 juga perlu diberi perhatian bagi aspek penjagaan kesihatan. Kemudahan yang menjadi pelengkap kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan seperti klinik desa perlu  dibina di luar bandar  dengan lebih banyak bagi  meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan asas.

 

Selain itu, kekerapan lawatan oleh pakar perubatan pakar, klinik bergerak dan doktor udara juga dilihat sebagai usaha untuk membantu penjagaan kesihatan bagi golongan B40 luar bandar.

 

Program kesihatan lain seperti bakul makanan dan  community feeding perlu diteruskan bagi membantu golongan B40 ini untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan demi kelangsungan hidup mereka.

 

Jangan Abaikan Anak-Anak Golongan B40

Selain itu, kerajaan juga perlu membantu anak-anak golongan B40 untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan dan kemahiran.

 

Pelbagai inisiatif perlu  dilaksanakan untuk memenuhi keperluan pendidikan kanak-kanak dalam kalangan golongan B40.

 

Kadar keciciran pelajar sekolah rendah dan  menengah juga meningkat dengan begitu ketara pada 2 tahun ini.

 

Inisiatif ini bantuan kewangan termasuk Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) perlu terus diperkasa dalam membantu anak-anak golongan B40 untuk mendapatkan hak pendidikan mereka.

 

Kemudahan yang sesuai seperti asrama, pengangkutan dan bantuan kewangan perlu menjadi agenda kerajaan untuk disediakan kepada pelajar di luar bandar dan terpencil bagi membolehkan mereka melengkapkan pendidikan rendah dan menengah.

 

Program kesedaran khas berkaitan kepentingan pendidikan akan dilaksanakan untuk kanak-kanak sekolah dan ibu bapa golongan B40 untuk memberikan inspirasi ke arah perubahan minda mereka untuk mengubah kehidupan mereka melalui pendidikan.

 

Keluar dari Kelompok Kemiskinan

Harapannya, agar Bajet 2022 ini memandang serius bagi membatu golongan B40 di Malaysia.

Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, golongan itu bukan sekadar perlu diberikan bantuan tetapi harus diberikan peluang dan tunjuk ajar untuk keluar dari kelompok kemiskinan tegar.

 

Semoga ada sinar baharu bagi golongan B40 Malaysia!

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI