Bajet 2023 perlu utamakan kelangsungan hidup rakyat
BAJET 2023 yang akan dibentang pada 7 Oktober ini, perlu memberi keutamaan kepada kelangsungan hidup rakyat. Dalam situasi semasa, kelangsungan hidup rakyat perlu menjadi fokus dalam pembentangan bajet.
Kelangsungan hidup atau `survival’ bermaksud situasi semasa berkaitan kemampuan rakyat untuk mempertahankan hidupnya dan menjaga keluarganya dalam situasi ekonomi yang berubah-ubah.
Setakat 31 Julai 2022, kira-kira 136,923 isi rumah adalah miskin tegar dan 308,699 isi rumah dalam kategori miskin. Dari jumlah ini menunjukkan rakyat yang “berjuang” demi kelangsungan hidup mereka semakin meningkat.
Kesejahteraan dan kebajikan rakyat
Apa yang Bajet 2023 perlu tekankan ialah kesejahteraan dan kebajikan rakyat untuk segenap lapisan rakyat. Seperti yang kita sedia maklum, kehidupan pasca pandemik ini amat mencabar. Dalam ketidaktentuan global pada masa kini memberi kesan kepada proses pemulihan ekonomi dan secara tidak langsung memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Bagi menjaga kebajikan rakyat, apa yang Bajet 2023 membantu rakyat adalah dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui insentif-insentif yang bakal diumumkan kelak. Dengan lebih banyak peluang pekerjaan yang dicipta, akan membantu rakyat memperoleh pendapatan demi kelangsungan hidup.
Bantuan kepada perniagaan dan PMKS
Dalam proses untuk bangkit semula banyak perniagaan dan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) memerlukan sokongan dan bantuan kerajaan.
Bajet 2023 perlu memberi sokongan kepada kumpulan ini. Ini kerana kumpulan ini banyak terdiri daripada rakyat dari golongan B40 dan M40 yang menjalankan perniagaan. Jika Bajet 2023 membantu perniagaan dan PMKS, kelangsungan hidup rakyat juga akan terbela.
Secara asasnya, dilihat bantuan subsidi tersasar kepada PMKS boleh dipertimbangkan dalam Bajet 2023 kepada PMKS. Ini kerana PMKS kini menanggung beban kos operasi yang tinggi.
Kos operasi ini disebabkan kebanyakannya membabitkan kos bahan mentah dan kos kekurangan tenaga kerja. Selain itu, kos logistik dan sewaan, pinjaman dan lain-lain turut membebankan PMKS dalam proses memulihkan perniagaan mereka dan berdaya saing kembali.
Bajet 2023 juga boleh membantu PMKS dengan mengurangkan cukai kepada 15% atau lebih kurang kepada PMKS. Jika kadar cukai yang lebih rendah dikenakan kepada PMKS ini mungkin dapat membantu PMKS ketika ini.
Kerajaan boleh melaksanakan pelepasan perbelanjaan modal yang dilihat mampu menaik taraf operasi pemain industri dalam sektor-sektor tertentu yang akhirnya boleh membantu PMKS.
Pelindungan keselamatan untuk suri rumah
Bajet 2023 juga perlu melindungi suri rumah. Dana tambahan bagi perlindungan keselamatan bagi suri rumah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu dilakukan dalam Bajet 2023.
Hal ini penting kerana apabila ketua keluarga yang mencari sumber pendapatan terlibat dalam kemalangan dan hilang upaya untuk bekerja, menghidap penyakit kronik dan lain-lain keadaan yang tidak membolehkan mereka bekerja.
Jika ada inisiatif bajet bagi melindungi suri rumah ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kumpulan ini.
Bajet 2023 juga perlu mempunyai inisiatif untuk membantu golongan suri rumah untuk lahirkan modal insan yang berdaya saing dari segi 'digital talent' dan yang membolehkan suri rumah ini setidak-tidaknya boleh menjalankan perniagaan secara dalam talian dari rumah bagi membantu mendapatkan pendapatan keluarga tanpa bergantung harap pada bantuan kerajaan semata-mata.
Pelajar IPT
Bajet 2023 tidak akan melupakan pelajar IPT yang merupakan yang cukup terkesan dalam situasi ekonomi semasa. Ramai pelajar yang mengeluh dengan peningkatan kos sara hidup tidak kira sama ada pelajar menuntut di IPT bandar atau pun luar bandar.
Pelajar IPT ini terdiri daripada pelbagai golongan dan hampir 70% adalah daripada golongan M40 dan B40 dan bergantung dengan pinjaman pengajian. Kenaikan kos sara hidup membuat pinjaman pengajian yang diterima tidak mencukupi.
Pelajar IPT akan menggunakan sekurang-kurangnya 60 % hingga 70 % jumlah pinjaman pengajian untuk membeli buku latihan, nota kuliah dan barangan keperluan mengikut kursus.
Berbaki kira-kira 30% lagi, ia adalah bagi kegunaan membeli makanan serta sebagai simpanan kecemasan.
Secara tuntasnya, jumlah ini tidak mencukupi untuk menyara kehidupan mereka di IPT. Kekangan ini membuat ada pelajar IPT yang terpaksa mengikat perut demi kelangsungan hidup mereka di IPT.
Jika Bajet 2023 boleh mempertimbangkan insentif seperti e-dompet yang boleh meringankan beban pelajar IPT ini dianggap satu usaha kerajaan yang boleh membantu pelajar IPT.
Masyarakat luar bandar
Masyarakat luar bandar juga perlu menjadi agenda penting dalam Bajet 2023.
Bajet 2023 perlu memberi tumpuan memperkasakan usahawan luar bandar, meningkatkan kualiti produk luar bandar yang berpotensi dikembangkan dan dibawa ke peringkat lebih tinggi, sekali gus mencipta peluang pekerjaan untuk masyarakat luar bandar
Kenapa ia penting? Ini bagi mengurangkan migrasi penduduk luar bandar ke bandar bagi mendapatkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan. Jika dilihat pada hari ini, bandar-bandar utama dan besar sudah terlalu padat dengan jumlah penduduk.
Ibu tunggal dan OKU
Golongan ini juga perlu diberi perhatian demi kelangsungan hidup mereka. Kita tidak nafikan bahawa setiap tahun bajet negara tidak meminggirkan golongan ini, namun Bajet 2023 perlu terus memberikan pelbagai insentif kepada golongan ini.
Antara insentif yang boleh diberikan kepada golongan OKU seperti lesen kenderaan percuma boleh di pertimbangkan.
Bagi ibu-ibu tunggal, bantuan peralatan, mesin atau kelengkapan yang boleh menjana pendapatan adalah lebih baik dan sesuai.
Sebagai contoh bantuan mesin jahit, bantuan mesin menguli tepung dan lain-lain alatan yang boleh dijadikan sumber pendapatan bagi mereka wajar di pertimbangkan.
BKM pasti dinantikan oleh semua rakyat
Apa yang paling dinantikan oleh rakyat pastinya Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). BKM ini mempunyai kumpulan sasar yang sangat besar kerana BKM layak diterima oleh isi rumah berpendapatan kurang RM5,000, ibu atau bapa tunggal, warga emas dan golongan bujang. Sebelum ini pembayaran BKM dibayar 4 kali setahun mengikut fasa.
Adakah jumlah BKM ini akan ditingkatkan bagi mengurangkan beban rakyat?
Jika dilihat pada situasi semasa, pastinya ada khabar gembira mengenai BKM ini buat rakyat, namun begitu berapa jumlahnya tidak boleh dipastikan. Mari kita sama-sama tunggu 7 Oktober ini. - DagangNews.com
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.