Bajet 2023: Terpenting, Terbesar dan Defisit
KEHANGATAN Bajet 2023 sudah mulai dirasai. Semua pihak sudah sedia maklum yang pembentangan Bajet 2023 akan dipercepatkan dan dijadual pada 7 Oktober 2023.
Kenapa Bajet 2023 dipercepatkan? Adakah kerana pembubaran parlimen dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan dalam masa terdekat?
Walaupun tiada jawapan yang tepat namun tindakan kerajaan mempercepatkan pembentangan Bajet 2023 ini memberi bayangan kepada perkara ini akan berlaku.
Adakah Ismail Sabri yang akan membentangkan Bajet 2023?
Terdapat ura-ura Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri akan membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.
Jika betul ia berlaku, ia adalah sesuatu yang berbeza berbanding kebiasaan, di mana belanjawan negara sebelum ini dibentangkan individu yang memegang jawatan Menteri Kewangan.
Namun begitu, Ismail Sabri menafikan perkara ini. Kita tunggu 7 Oktober ini sama ada Ismail Sabri sendiri yang akan membentangkan Bajet 2023 atau Menteri Kewangan.
Tema Bajet 2023
Tema Bajet 2023 ialah Memperkukuh Pemulihan, Memudah cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Dijangka Bajet 2023 yang akan memberi keutamaan kepada memperkukuh momentum pemulihan ekonomi semasa dan meneruskan pembaharuan bagi meningkatkan daya tahan sosioekonomi.
Bajet 2023 perlu bertindak secara menyeluruh bagi memastikan manfaatnya dirasai oleh rakyat.
Tumpuan Bajet 2023
Pastinya apa yang rakyat mahukan, adakah bajet memberi kesan langsung kepada mereka. Bajet 2023 dijangka memberi tumpuan kepada 3 khusus bagi memberi kesan dan manfaat langsung kepada rakyat.
- Bajet 2023 dijangka akan merangka inisiatif berpaksikan rakyat terutamanya yang menjana peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan, memperkukuh perlindungan sosial seterusnya menambah baik kesejahteraan sosioekonomi rakyat.
- Bajet 2023 akan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif terutamanya dalam meningkatkan daya saing dan produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mempergiat pemulihan pelancongan dan sektor lain yang terjejas akibat pandemik, memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam serta memangkin bidang pertumbuhan baharu dengan meningkatkan kedudukan industri dalam rantaian nilai.
- Bajet 2023 akan memacu model pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam merapatkan jurang antara wilayah dan komuniti serta menggalakkan pembangunan mampan dan mengukuhkan jaminan keselamatan makanan.
Mengukuhkan daya tahan ekonomi dan fiskal negara
Dalam dunia menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 perlu mengatur kerangka dan inisiatif untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi dan fiskal negara pada tahun 2023 dan masa hadapan di samping menguruskan risiko pertumbuhan.
Ketidaktentuan global ini disebabkan oleh ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan yang menyebabkan peningkatan harga komoditi dan makanan global secara drastik.
Daya tahan ekonomi dan fiskal negara perlu untuk di kukuhkan dengan baik supaya akhirnya boleh memberi kesan kepada rakyat secara kolektif. Dengan daya tahan ekonomi yang baik akan menambah baik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
Momentum pemulihan yang memberangsangkan serta pertumbuhan pada masa kini di peringkat global perlu dijadikan asas kukuh dalam penyediaan Bajet 2023 bagi memperkukuh pemulihan ekonomi Malaysia pasca COVID-19.
Agenda Pembangunan Mampan (SDG 2030)
Dalam merangka pelbagai kerangka dan inisiatif, Bajet 2023 juga perlu mengambil kira Agenda Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 pada peringkat nasional.
SDG adalah satu resolusi daripada sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September 2015. Sebanyak 17 matlamat ditetapkan dan perlu dicapai menjelang 2030.
Sebagai contoh, matlamat ini berkenaan membasmi kemiskinan (SDG1), akses kepada tenaga yang bersih (SDG7), penggunaan sumber secara bertanggungjawab (SDG12) dan perubahan iklim (SDG13) perlu diberi penekan dalam Bajet 2023 selari dengan matlamat SDG.
Pembangunan lestari tidak hanya menumpukan aspek alam sekitar, sebaliknya mengambil kira faktor seperti sosial dan pertumbuhan ekonomi bagi memastikan agenda pembangunan lebih menyeluruh yang perlu diambil kira dalam Bajet 2023.
Golongan Rentan dan B40
Bajet 2023 perlu lebih “serius” untuk mendalami susah payah golongan rentan dan B40. Isu seperti kos sara hidup, gaji pekerja, peluang pekerjaan dengan gaji kompetitif, bantuan kepada golongan, miskin bandar bagi golongan rentan dan b40 perlu diberi penekanan.
Bantuan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) perlu dipertimbangkan untuk dinaikkan bagi meringankan beban golongan rentan dan B40.
Walaupun terdapat yang menyatakan segelintir pihak menyalah gunakan BKM ini, kaedah BKM boleh ditambah baik. Pemberian e-baucar bagi BKM boleh dilaksanakan. Jika pemberian e-baucar dilaksanakan, ia dapat memastikan penerima e-baucar akan membelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan yang sepatutnya sahaja dan sekali gus boleh memantau barangan yang di subsidi kerajaan.
Kawal inflasi
Bajet 2023 juga perlu mengawal inflasi yang kini membebankan rakyat. Demi kesejahteraan rakyat, kerajaan perlu melaksanakan langkah mengawal harga barangan serta menambah baik bantuan dan subsidi barangan asas yang perlu diperhalusi dalam bajet.
Terdahulu, Tindakan Kerajaan tersebut telah meningkatkan perbelanjaan bantuan dan subsidi kepada RM77.7 bilion berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion. Tanpa bantuan dan subsidi Kerajaan, dianggarkan kadar inflasi negara akan mencecah sebanyak 11.4 peratus.
Kadar inflasi di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom melebihi 9% sementara negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Filipina melebihi 6% buat masa kini.
Bajet defisit dan terbesar
Bajet 2023 juga dijangka menjadi bajet defisit dan terbesar dalam sejarah negara. Pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan dalam Bajet 2023 bagi memastikan kerajaan dapat menumpukan kepada kebajikan rakyat di bawah inisiatif Keluarga Malaysia.
Meskipun pertumbuhan ekonomi negara untuk tahun 2022 berada pada trajektori pemulihan yang memberangsangkan, namun harus di ingat, kita masih lagi berdepan dengan prospek ekonomi global yang semakin mencabar untuk tahun 2023 berikutan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan, gangguan rantaian bekalan makanan global serta tindakan bank-bank pusat dunia yang memperketatkan dasar monetari.
Senario ekonomi global semakin mencabar dan tinjauan ekonomi bagi tahun 2023 juga dilihat kurang memberangsangkan menjadi cabaran buat kerajaan dalam menyediakan Bajet 2023. – DagangNews.com
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.