Bajet 2024: Utamakan dulu Dasar Fiskal, lindungi rakyat Malaysia
TARIKH 13 Oktober ini pastinya jadi tumpuan rakyat dan penganalisis ekonomi terhadap Belanjawan 2024 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri. Pastinya semua pihak mengharapkan Kerajaan Perpaduan melakukan sesuatu yang “wow” dalam pembentangan Belanjawan 2024 nanti.
Walaupun dilihat terlalu banyak isu yang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2024 ini tetapi yang perlu Kerajaan Perpaduan memberi tumpuan kepada pengukuhan dasar fiskal.
Apa itu dasar fiskal?
Belanjawan yang bakal dibentangkan mengandungi perancangan kerajaan terhadap perbelanjaan yang akan dilakukan oleh kerajaan dan dari mana kerajaan akan mendapat sumber untuk membiayai perbelanjaan yang ingin dibuat itu.
Fiskal secara asasnya adalah perbincangan tentang dua alat utama dalam belanjawan iaitu yang pertama ialah cukai dan alat yang kedua ialah perbelanjaan kerajaan.
Secara asasnya, dasar fiskal ini bagaimana kerajaan merancang dan merangka untuk menaikkan cukai atau menurunkan cukai dan juga menaikkan atau mengurangkan perbelanjaan.
Kenapa dasar fiskal sangat penting dalam belanjawan?
Belanjawan pastikan melibatkan agihan peruntukan kepada kementerian, agensi kerajaan dan rakyat.
Bagaimana peruntukan ini dapat di agihkan jika kerajaan tidak merancang dasar fiskal negara dengan baik iaitu sumber pendapatan dan perbelanjaan.
Belanjawan 2024 perlu memperincikan apakah dengan meningkatkan cukai atau memperkenalkan cukai baharu adalah salah satu cara kerajaan untuk memperoleh sumber pendapatan.
Bagaimana dengan perbelanjaan kerajaan? Bagaimana dengan projek-projek infrastruktur baharu dan pembelian baharu oleh kerajaan?
Pendekatan asas dasar fiskal
Apa yang kerajaan perlu buat dalam Belanjawan 2024 ialah:
Peningkatan Pendapatan: Meningkatkan pendapatan negara melalui pelbagai sumber seperti cukai, royalti, dan hasil pelaburan asing. Inisiatif untuk menggalakkan pertumbuhan sektor ekonomi tempatan juga dapat membantu meningkatkan pendapatan melalui cukai korporat dan individu.
Pengurangan Perbelanjaan: Mengenal pasti dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak kritikal atau berlebihan dalam perbelanjaan kerajaan. Penilaian semula program dan projek kerajaan serta memastikan setiap perbelanjaan memberikan nilai yang sepadan kepada wang rakyat.
Ekonomi global dan ekonomi Malaysia
Dalam merancang, merangka dan melaksanakan dasar fiskal dalam Belanjawan 2024 kerajaan perlu melihat kepada data dan situasi sebenar ekonomi global dan ekonomi Malaysia.
Pada tahun 2023, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pertumbuhan ekonomi global semakin kompleks, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 2.9%, akibat tekanan berterusan seperti inflasi.
Senario ini juga mengheret keadaan kewangan global yang semakin ketat, dan pertumbuhan ekonomi negara-negara maju yang perlahan. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka terus merosot kepada 1.2% bagi ekonomi negara maju sementara negara-negara membangun pesat dan negara berkembang dijangka mengalami kestabilan pada kadar 4%.
Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2023 juga terjejas oleh ketidakpastian dalam ekonomi global. Oleh itu, pertumbuhan KDNK pada tahun 2023 dijangka sederhana kepada sekitar 4.5%, berbanding dengan kadar pertumbuhan sebanyak 8.7% pada tahun 2022.
Strategi fiskal mengembang Belanjawan 2024
Berdasarkan data dan analisis ekonomi global dan Malaysia, Belanjawan 2024 perlu melakukan strategi fiskal mengembang.
Apa itu strategi mengembang? Strategi mengembang ialah strategi mengurangkan cukai dan meningkatkan perbelanjaan.
Kenapa strategi mengembang?
Apabila berlaku keadaan kemelesetan ekonomi, kerajaan seharusnya melakukan strategi dalam fiskal mengembang ini. Keadaan ini bertujuan untuk mengembangkan semula ekonomi yang agak perlahan dan suram ini.
Belanjawan 2024 perlu “berbelanja besar” bagi merancakkan semula ekonomi. Dengan berbelanja besar ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan akhirnya membawa rakyat menerima gaji dan boleh berbelanja dengan gaji yang diperoleh.
Belanjawan 2024 juga perlu membuat banyak pembelian untuk meningkatkan permintaan agregat supaya perniagaan yang dijalankan oleh rakyat dapat menjana keuntungan melalui pembelian oleh kerajaan.
Selain itu, Belanjawan 2024 juga untuk menambah projek-projek pembangunan dan infrastruktur yang akan mewujudkan peluang perniagaan kepada kontraktor-kontraktor binaan. Apabila perniagaan berkembang, syarikat-syarikat ini akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan mengembangkan ekonomi.
Bagaimana dengan hasil?
Jika kerajaan berbelanja besar dalam dasar fiskal mengembang, bagaimana pula dengan hasil.
Bagi menampung peningkatan perbelanjaan dalam dasar fiskal mengembang, kerajaan perlu mengutip cukai yang banyak.
Apakah yang kerajaan umum berkaitan cukai dalam Belanjawan 2024?
Adakah GST diperkenalkan semula?
Bagi mengukuhkan dasar fiskal negara, pelaksanaan GST dilihat sebagai satu “cara mudah” kepada kerajaan.
Tetapi bila dianalisis dari sudut pandang politik, jika kerajaan mengumumkan semula GST, ia menjadi “kos politik” yang perlu ditanggung oleh kerajaan PH-BN ini.
Lihat sejarah, PH antara yang paling kuat menentang pelaksanaan GST pada kerajaan BN pada satu ketika dahulu, adakah PH mahu memperkenalkan semula apa yang sangat ditentang oleh PH sebelum ini?
Pelaksanaan GST bukan idea yang baik untuk dilaksanakan menerusi Belanjawan 2024!
Kurang beban kerajaan dengan subsidi tersasar
Bagi mengukuhkan dasar fiskal negara, kerajaan perlu segera melakukan subsidi tersasar kepada bahan api.
Terlalu lama isu subsidi tersasar ini diperbincangkan di peringkat kabinet. Sudah sampai masanya Belanjawan 2024 untuk mengumumkan mekanisme subsidi tersasar bahan api ini.
Sama ada pindahan tunai, baucar, kad khas atau agihan di stesen minyak perlu diputuskan bagaimana hendak dilaksanakan. Jangan asyik bincang-bincang sahaja.
Pelaksanaan subsidi bahan api tersasar ini, salah satu bagi kerajaan mengukuhkan dasar fiskal negara.
Reformasi fiskal perlu diutamakan
Dalam menuntut pelbagai inisiatif dan insentif kepada pelbagai pihak menerusi Belanjawan 2024, reformasi fiskal adalah sangat penting untuk dilakukan.
Jika Belanjawan 2024 mampu menggariskan reformasi fiskal dengan baik, pastinya mengimbangi pengembangan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat dapat dilaksanakan.
Cepat laksanakan FRA
Seperkara lagi ialah Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang masih belum dilaksanakan. Terlalu lama “bincang-bincangnya”. FRA yang baharu perlu mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tata kelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.
Akta ini juga akan menekankan kebertanggungjawaban Menteri Kewangan kepada Parlimen dalam melaksanakan tanggungjawabnya menggubal dasar fiskal dan mengurus wang awam.
Berani dan jangan syok sendiri
Apa yang rakyat mahu lihat bagaimana dasar dan langkah yang berani serta agresif mengenai fiskal negara boleh di rangka dalam Belanjawan 2024 yang memastikan pembangunan ekonomi dapat dicapai dan taraf hidup rakyat dapat dipertingkat secara mampan.
Biarlah setiap dasar dan langkah ini mengambil kira denyut nadi rakyat dan bukannya syok sendiri! - DagangNews.com
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI