Belanjawan 2024 : Kerajaan perlu jamin bekalan makanan mencukupi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 10 October 2023

Belanjawan 2024 : Kerajaan perlu jamin bekalan makanan mencukupi

 

 

Belanjawan 2024 perlu mengangkat isu utama rakyat ketika ini iaitu bekalan makanan yang tidak mencukupi. Kerajaan perlu mengutamakan isu sekuriti makanan di Malaysia tatkala isu bekalan makanan semakin membimbangkan.

 

Kekurangan bekalan makanan ini amat merisaukan rakyat bermula dengan ayam, sayur, telur, minyak dan kini beras. Apabila kekurangan bekalan makanan ini akan mengheret kenaikan harga bekalan makanan ini dan akhirnya membawa kepada isu kenaikan kos sara hidup.

 

Rakyat derita

Seperti yang kita tahu, semenjak pandemik rakyat dibebani dengan pelbagai cabaran seperti hilang punca pendapatan dan kos sara hidup yang semakin tinggi. Kini bekalan makanan pula semakin berkurang.

 

Hal ini membawa kepada peningkatan harga barang dan sekali gus meningkatkan lagi  kos sara hidup rakyat.

 

Apa yang Kerajaan Perpaduan mampu buat untuk mengurangkan derita rakyat ini. Belanjawan 2024 menjadi harapan rakyat agar kerajaan boleh membantu rakyat untuk mendapatkan bekalan makanan dengan harga yang berpatutan dan mengurangkan bebanan rakyat dalam isu sara hidup ini.

 

 

irsyad

 

Peruntukan besar diperlukan

Kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah yang besar dalam Belanjawan 2024 bagi menyelesaikan isu sekuriti makanan di Malaysia. Jika Malaysia tidak merancang dengan baik tentang sekuriti makanan ini, Malaysia akan terus bergantung dengan mengimport makanan daripada luar.

 

Sampai bila Malaysia mahu bergantung dengan import bekalan makanan? Tahun lalu sahaja, Malaysia mengimport bekalan makanan sehingga mencecah RM75.5 bilion.

 

Situasi semasa dengan kejatuhan nilai ringgit mencecah RM4.71 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu paras terendah tahun ini  pastinya  akan menambahkan “beban” kerajaan dalam mengimport bekalan makanan ini.

 

Guna tanah secara optimum

Belanjawan 2024 perlu memperuntukkan sejumlah dana bagi petani dan penternak bagi mengusahakan tanah secara maksimum bagi membantu pengeluaran sumber makanan yang boleh membantu menyelesaikan masalah sekuriti makanan di Malaysia.

 

Kerajaan dan kementerian yang berkaitan perlu segera mengguna pakai tanah secara optimum memandangkan Malaysia memiliki sumber alam yang subur.

 

Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (PeGUMN) yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Semenanjung Malaysia dan Labuan mempunyai tanah pertanian seluas 5.36 juta hektar atau 40%.

 

Keluasan tanah pengeluaran makanan seperti tanaman makanan, penternakan dan perikanan hanya 16%. Sebahagian besar tanah itu digunakan bagi tanaman komoditi seperti sawit dan getah. Dengan peruntukan dalam Belanjawan 2024, lebih banyak tanah boleh diusahakan bagi aktiviti pertanian dan penternakan.

 

Luaskan Projek SMART SBB

Belanjawan 2024 juga perlu meletakkan pelan tindakan bagi meluaskan projek SMART Sawah Berskala Besar (SBB). Projek SMART SBB ini dilihat sebagai satu usaha dan langkah yang berkesan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada beras import.

 

Dalam isu kekurangan beras tempatan dan menyebabkan kenaikan harga beras tempatan ini sememangnya merisaukan rakyat kerana hal ini meningkatkan kos sara hidup rakyat. Dah susah, semakin susah.

 

 Jika dilihat mengenai keupayaan Malaysia untuk melaksanakan projek SMART SBB ini sememangnya boleh kerana negara mempunyai sawah atau tanah yang boleh dibangunkan. Tetapi inisiatif kementerian dan agensi kerajaan perlu ada bagi membantu petani dan pesawah bagi melaksanakan projek ini.

 

Kita tunggu dan lihat apakah kerajaan akan menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan 2024 bagi melaksanakan lebih banyak projek SMART SBB ini atau pun tidak?

 

Teknologi Revolusi Industri Sektor Pertanian

Bagi memastikan jaminan sekuriti makanan negara, penggunaan teknologi perlu dilakukan dengan cara meningkatkan lagi teknologi revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dalam amalan industri pertanian dan makanan.

 

Belanjawan 2024 perlu membelanjakan sejumlah wang bagi penggunaan teknologi terkini dan dijadikan sebagai agenda utama dalam usaha mencapai matlamat meningkatkan industri pertanian dan makanan di Malaysia.

 

Dengan menggunakan teknologi pertanian IR 4.0 yang melibatkan pelbagai aktiviti pertanian pintar seperti fertigasi, penyemburan halus secara kabus, akuakultur, penternakan ayam, pengairan dan pemantauan tanah boleh  meningkatkan produktiviti dan kualiti malah boleh meningkatkan pendapatan petani dan penternak lebih dari 20%.

 

Pelaksanaan dasar dan  pelan yang tidak konsisten

Di peringkat nasional, dasar dan strategi berkaitan dengan sekuriti makanan ini telah ada. Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) telah dibangunkan, namun persoalannya adakah dasar dan pelan berjaya dilaksanakan?

 

Sebagai contoh, DSMN  yang merangkumi 5 teras strategik, 15 strategi dan 96 inisiatif yang sepatutnya memastikan kesinambungan bekalan makanan negara pada setiap masa, khususnya dalam menghadapi situasi di luar jangkaan tetapi tidak berjaya seperti yang disasarkan. Di manakah silapnya?

 

Perlu langkah proaktif

Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk menangani impak konflik luar jangkaan terhadap bekalan makanan sebagai usaha memastikan sumber bahan mentah serta input pertanian mencukupi.

 

Bagi menjamin kestabilan negara, kecukupan makanan bagi rakyat adalah sangat penting, dan negara harus merancang dengan cermat untuk memastikan bekalan makanan mencukupi pada masa kini dan akan datang.

 

Kegagalan bawa kepada kelaparan dan kebuluran

Kerajaan jangan pandang mudah dalam isu sekuriti makanan ini. Jika kerajaan gagal untuk menyelesaikan isu ini, masalah kelaparan dan kebuluran boleh berlaku. Bukan untuk menakut-nakutkan tetapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata dan melihat kepada kesan jangka masa panjang.

 

Keselamatan makanan bukan hanya melibatkan ketersediaan fizikal makanan, tetapi juga akses kepada makanan yang ada dengan harga yang mampu dibeli oleh rakyat.  Untuk itu, bekalan makanan haruslah konsisten dan stabil untuk memenuhi keperluan penduduk.

 

Ketidakmampuan rakyat untuk mendapatkan makanan berkualiti atau mampu membeli makanan dengan harga yang wajar akan merosakkan kualiti hidup rakyat.

 

Semoga Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Jumaat ini akan menyelesaikan masalah ini dan membantu rakyat! - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

Portfolio Tags