Di manakah agenda memperkasa ekuiti bumiputera dalam Belanjawan 2024?
BELANJAWAN 2024 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lalu dengan meletakkan 3 tumpuan utama iaitu tata kelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak dan peningkatan darjat hidup rakyat.
Pastinya tumpuan bagi peningkatan hidup rakyat melihat kepada bagaimana kerajaan menangani isu sekuriti makanan dan kos sara hidup rakyat. Ini sesuatu yang amat penting dan segera untuk dilaksanakan.
Namun begitu, ada juga agenda lain yang perlu menjadi keutamaan Belajanwan 2024. Ada atau tidak Belanjawan 2024 meletakkan sasaran dalam agenda bumiputera?
Agenda memperkasa Belanjawan 2024
Menerusi perkara 192, Belanjawan 2024 telah mengariskan agenda bumiputera iaitu:
- Memperkasa tadbir urus institusi bumiputera seperti Tabun Haji, FELDA, LTAT. Institusi utama negara tidak boleh lari daripada matlamat asal penubuhan. Sejarah lalu dek kerana kesilapan tadbir urus memaksa Kerajaan menanggung kerugian Tabung Haji (20 bilion ringgit), FELDA(10 bilion ringgit) dan LTAT (2 bilion ringgit).
- Institusi pelaburan Bumiputera akan dipusatkan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB). Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) akan digabungkan di bawah PNB dan diperkukuh melalui suntikan tanah strategik Kerajaan khususnya di Kuala Lumpur bagi projek pembangunan perumahan. Ekuinas juga akan diletakkan di bawah payung YPB bagi memperkukuh pengembangan perniagaan bumiputera dengan kerjasama PNB dan PUNB.
- Peruntukan 1.6 bilion ringgit nilai kemudahan pinjaman dan jaminan disediakan khusus untuk usahawan PMKS Bumiputera meningkatkan kapasiti dan daya saing termasuklah penyediaan pembiayaan modal teroka kepada syarikat pemula Bumiputera.
- Kerajaan akan menyediakan dana khas Skim CAKNA 2 bagi membantu kontraktor kecil G1 – G4 Bumiputera menyiapkan projek berskala kecil Kerajaan yang berjumlah 2.4 billion ringgit.
Di manakah agenda ekuiti bumiputera?
Tidak dinafikan Belanjawan 2024 menerusi perkara No.2 di atas antara langkah yang diambil bagi agenda ekuiti bumiputera ini.
Tetapi daripada “mata kasar” di manakan agenda memperkasa ekuiti bumiputera secara lebih spesifik dan terancang? Adakah agenda memperkasa ekuiti bumiputera kurang penting bagi kerajaan perpaduan?
50 tahun berlalu, masih belum tercapai
Bermula dengan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) adalah antara dasar menjadi harapan menggunung kepada ekonomi orang Melayu-Bumiputera dan menetapkan sasaran 30% pemilikan ekuiti.
Malangnya sehingga hari ini, sudah lebih 50 tahun, sasaran DEB yang kita tetapkan masih belum tercapai.
Ia sesuatu yang agak menyedihkan!
Dasar berganti dasar, tetap tak tercapai
Kerajaan sedar akan perkara ini sebenarnya. Kita lihat kerajaan telah menggantikan beberapa dasar bagi meneruskan matlamat DEB 1970 yang menetapkan sasaran 30% pemilikan ekuiti bumiputera ini.
Antara dasar kerajaan dalam agenda ini ialah:
- Dasar Pembangunan Nasional (DPN)
- Wawasan 2020
- Model Baharu Ekonomi (MBE)
- Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030)
- Ekonomi MADANI
8 Perdana Menteri silih berganti, sasaran semakin menurun
Betul ke “semangat” DEB ini ingin diteruskan atau sekadar peletakan dasar sahaja? Sebanyak 8 Perdana Menteri telah silih berganti, namum ia masih belum tercapai.
Untuk menghukum kerajaan dan Perdana Menteri adalah tidak adil, memang ada pelbagai dasar, strategi dan inisiatif telah di lakukan, namun belum menampakkan kejayaan seperti yang disasarkan. Di manakah silapnya?
Sejarah peratusan ekuiti bumiputera
Semenjak disasarkan pada tahun 1970, berapakah peratusan pemilikan ekuiti bumiputera? Adakah peratusan ini semakin menaik?
Berdasarkan Laporan Pemilikan Ekuiti Korporat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) nilai dan peratusan ekuiti Bumiputera tidak banyak berubah. Pada tahun 2018(22%), 2011 (23%), 2012 (18%), 2013 (17%), 2014 (17%), 2015 (16%), 2008 (22%), 2019 (17%), 2022 (<20%).
Peratusan tertinggi yang pernah dicapai pada tahun 2011 iaitu 23% dan peratusan ini menurun sehingga 16% pada 2015 dan kini antara 17%-20% secara purata.
Peningkatan sebanyak antara 10% hingga 15% diperlukan bagi mencapai matlamat yang disasarkan.
Ia tidak mustahil untuk dicapai jika kerajaan serius dalam usaha ini. Namun begitu, ia tetap akan terus tidak tercapai jika tiada tindakan yang bersungguh-sungguh dalam isu ini.
Semak dan Imbang peranan agensi bumiputera
Kerajaan boleh memperkasa semua agensi yang berkaitan dengan bumiputera antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Apa yang dilakukan oleh Ekuninas patut diberi “pujian” kerana Ekuinas telah berjaya meningkatkan ekuiti bumiputera ke RM54.4 bilion bersama 1.5 kali ganda modal yang dilaburkan dari 2009 hingga 2019.
Jika semua agensi bumiputera ini diperkasa dengan matlamat dan KPI yang jelas, matlamat pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30% boleh dicapai.
Selesai segera isu ketidaksetaraan
Bagi mencapai matlamat mencapai pemilikan ekuiti bumiputera 30%, kerajaan perlu menyelesaikan isu ketidaksetaraan pendapatan di Malaysia.
Jika isu ketidaksetaraan pendapatan ini tidak diselesaikan, ia akan mengheret masa berdekad-dekad untuk menyelesaikan agihan pendapatan yang seimbang.
Ini lah yang terjadi kepada isu pemilikan ekuiti bumiputera yang telah 50 tahun pun masih tidak tercapai.
Dasar afirmatif dilihat sebagai solusi terbaik bagi menyelesaikan isu ini.
Keadilan dan tindakan afirmatif
Keadilan ini bukan bermaksud sama rata tetapi keadilan bagi setiap individu adalah berasaskan keperluan yang ditetapkan.
Pembangunan ekonomi bumiputera melalui tindakan afirmatif perlu dilaksanakan oleh kerajaan demi mewujudkan agihan pendapatan dan kekayaan yang adil.
Tindakan afirmatif ialah membincangkan dasar-dasar yang ditujukan kepada kumpulan atau golongan yang bukan dominan dalam sosio-ekonomi. Dalam isu ini, tindakan afirmatif perlu fokus kepada kaum bumiputera dalam isu pemilikan ekuiti.
Tindakan popular bagi kebanyakan negara
Tindakan afimatif ini telah dilaksanakan di banyak negara di dunia seperti Fiji, India, Ireland Utara, Afrika Selatan, Sri Lanka dan Amerika Syarikat sebagai satu strategi bagi menangani ketidaksetaraan agihan pendapatan dan kekayaan daripada ekonomi antara kumpulan rakyatnya.
Kini, tindakan afimatif ini semakin popular dan makin dilaksanakan oleh lebih banyak negara lagi. Ini kerana tindakan ini menjunjung prinsip peluang yang sama tetapi berbeza dari sudut pendekatan.
Bumiputera masih lagi tercorot
Kerajaan perlu segera bertindak bagi menyelesaikan isu ini. Kenapa?
Hakikatnya yang kita harus terima selepas lebih 50 tahun, bumiputera masih lagi berada di dalam kedudukan yang tercorot dari segi pemilikan kekayaan dan pendapatan.
Biar perit, namun kita perlu sedar dan tahu. Berpijak lah di bumi nyata.
Apa yang lebih membimbangkan lagi, apabila lebih 70% daripada kumpulan B40 rakyat Malaysia adalah bumiputera. Bagaimana mahu matlamat pemilikan bumiputera sebanyak 30% ingin dicapai sedangkan golongan bumiputera masih berada dalam golongan B40?
Sedikit kecewa apabila Belanjawan 2024 tidak meletakkan sasaran yang jelas bagi isu yang lebih 50 tahun yang masih tidak selesai! - DagangNews.com
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI