Diaspora PATI: Malaysia mesti bertindak lebih tegas | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 2 January 2024

Diaspora PATI: Malaysia mesti bertindak lebih tegas

 

 

 

DARI segi Bahasa “diaspora" merujuk kepada penyebaran atau penghijrahan besar-besaran sebuah kumpulan etnik, agama, atau budaya dari tempat asal mereka ke pelbagai kawasan di seluruh dunia.

 

Secara istilah pula digunakan untuk merujuk kepada komuniti atau golongan yang berpindah dari kawasan asal mereka ke kawasan lain akibat peristiwa-peristiwa sejarah, konflik, atau migrasi secara besar-besaran.

 

Di Malaysia telah menjadi “lambakan” diaspora dari beberapa negara yang masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan.

 

Pekerja asing 2.7 juta

Dengan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dianggarkan  sebanyak 2.7 juta pekerja asing yang berada di negara ini secara fizikal.

 

Ini jumlah yang yang berdaftar secara rasmi. Jika mengambil kira jumlah keseluruhan yang rasmi dan “yang tidak sah kemasukan” pastinya jumlah ini lebih besar.

 

Diaspora Indonesia terbesar menguasai Malaysia

Jika dilihat jumlah diaspora di Malaysia, pastinya diaspora terbesar di Malaysia adalah dari Indonesia. Kenapa banyak diaspora Indonesia di Malaysia?

 

Kedua-dua negara berkongsi sempadan yang panjang dan terdapat sejarah hubungan yang rapat antara Malaysia dan Indonesia. Banyak warga Indonesia yang datang ke Malaysia untuk bekerja di pelbagai sektor seperti pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, dan pelbagai bidang lain.

 

Selain itu, diaspora Indonesia ini di katakan “lebih kuat dan gagah” untuk buat kerja-kerja berat terutamanya dalam sektor pembinaan atau pertanian.

 

Bangladesh, Myanmar dan Nepal juga mengusai Malaysia

Bukan setakat diaspora daripada Indonesia sahaja yang banyak di Malaysia, malah lambakan diaspora daripada Bangladesh, Myanmar dan Nepal juga turut banyak di Malaysia.

 

Komuniti Bangladesh juga merupakan diaspora kedua terbesar di Malaysia. Kebanyakan mereka datang untuk mencari peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor pembinaan, kilang, dan perkhidmatan lain.

 

Sementara itu,  warga Myanmar  banyak yang datang ke Malaysia untuk melarikan diri dari konflik daripada negara mereka dan mencari peluang pekerjaan.

 

Sejak kebelakangan ini komuniti Nepal juga semakin bertambah di Malaysia. Komuniti Nepal ini boleh buat apa apa kerja “rencam’ daripada sektor pembinaan, perladangan, serta beberapa sektor lain seperti perkhidmatan.

 

Kesan kebergantungan kepada diaspora asing

Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada diaspora asing terutamanya Indonesia. Kita perlu belajar daripada yang yang berlaku tahun lalu apabila Republik itu membekukan tenaga kerja untuk masuk ke Malaysia.

 

Malaysia “panik” atas tindakan Indonesia itu. Proses pemulihan ekonomi Malaysia sangat bergantung terhadap tenaga kerja asing, terutamanya dari Indonesia.

 

Jika perkara yang sama berulang lagi dengan dengan tanpa diaspora asing ini, pertumbuhan ekonomi Malaysia boleh terbantut, sektor eksport boleh malap serta pelabur domestik dan asing meninggalkan Malaysia untuk mencari destinasi pelaburan lebih kompetitif.

 

Selain itu, sektor pertanian dan perladangan juga akan mengalami masalah dan membawa kesan akhir kepada Malaysia akan menghadapi krisis makanan yang parah.

 

Negara kerugian hampir RM40 bilion setahun

Akibat lambakan diaspora asing di Malaysia yang memberi impak kepada ekonomi kerana pengaliran wang yang keluar dari negara ini secara rasmi berjumlah RM40 bilion setahun.

 

Jumlah ini tidak termasuk daripada jumlah wang yang keluar daripada buruh tidak sah di Malaysia. Jumlah pengaliran wang keluar tersebut boleh satu kali ganda daripada jumlah rasmi dan mungkin mencecah RM80 hingga RM100 bilion. Bayangkan jika wang sebanyak itu dikekalkan dalam negara dan ia digunakan bagi memperkukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 

Bangunkan modal insan dan “eskillong dan upskilling” pekerja tempatan

Bagi mengurangkan ke-bergantungan terhadap tenaga kerja asing, kerajaan perlu  melaksanakan beberapa inisiatif termasuk meningkatkan program peningkatan kemahiran dan latihan semula atau 'reskilling and upskilling' pekerja tempatan.

 

Jika Malaysia menggunakan pekerja tempatan dalam sektor tertentu akan menjimatkan kos pada jangka masa panjang.

 

Namun persoalannya berjayakah Malaysia untuk 'reskilling and upskilling' pekerja tempatan dan menawarkan gaji yang setimpal?

 

Pekerja Malaysia jadi diaspora negara Singapura

Dari sudut pandang berbeza, kita risau dengan diaspora Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal yang “melambak” di Malaysia. Namun sedarkan kita, terdapat diaspora Malaysia terbesar di Singapura.

 

Singapura adalah negara yang terletak bersebelahan dengan Malaysia, oleh itu terdapat jumlah besar warganegara Malaysia yang tinggal di Singapura untuk bekerja.

 

Faktor gaji, peluang ekonomi yang terdapat di Singapura selain jarak yang dekat menjadikan negara ini destinasi popular untuk diaspora Malaysia.

 

Malaysia gagal sekat rakyat sendiri jadi diaspora di negara luar

Malaysia perlu memandang serius perkara ini apabila menyekat rakyat Malaysia untuk bekerja di luar terutamanya Singapura.

 

Perpindahan bakat (brain drain) ini agak merisau jika ia tidak dipandang serius. Kita tidak mahu lebih ramai lagi bakat negara tidak terlepas mengalir ke negara luar.

 

Situasi penghijrahan bakat rakyat Malaysia semakin ketara dengan bilangan rakyat yang mahir tinggal di luar negara meningkat tiga kali ganda dalam dua dekad yang lalu.

 

Pelarian Rohingya ibarat “kudis”

Selain lambakan diaspora yang masuk ke Malaysia untuk bekerja, isu pelarian Rohingya juga perlu dipandang serius oleh kerajaan. Kedatangan pelarian Rohingya yang banyak ke Malaysia ibarat kudis yang boleh mengancam keharmonian negara.

 

Kerajaan perlu bertindak menggunakan undang-undang sedia ada.  Walaupun undang-undang antarabangsa membenarkan pelarian Rohingya ini masuk ke negara-negara di dunia namun jika boleh menggugat keharmonian sesebuah negara,pelarian ini boleh di hantar balik.

 

Kita tidak mahu keadaan bertambah parah, kudis menjadi kanser!

 

Insentif Belanjawan 2024 kurangkan kebergantungan diaspora asing

Kerajaan Madani juga dilihat mengambil inisiatif bagi Malaysia mengurangkan kebergantungan dengan diaspora asing melalui Belanjawan 2024 apabila  Elaun Modal Dipercepatkan (ACA) diperluas untuk meliputi sektor komoditi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)

 

Syarikat perkilangan, perkhidmatan dan pertanian yang membuat perbelanjaan modal dalam kelengkapan automasi termasuk adaptasi elemen Industri 4.0 diberi galakan Elaun Modal Dipercepatkan (ACA) sebanyak 100% ke atas RM10 juta pertama perbelanjaan modal yang layak dan boleh diserap sepenuhnya dalam tempoh 1 tahun. Syarikat juga layak diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan 100% ke atas perbelanjaan modal yang sama.

 

Jika hal ini berjaya, ia meningkatkan produktiviti hasil perladangan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing melalui mekanisasi dan automasi teknologi seperti dron.- DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

Portfolio Tags