“Eggflation” sudah bermula, apa nasib rakyat? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 12 Jun 2023 07:44 AM

“Eggflation” Sudah Bermula, Apa Nasib Rakyat?
 

 

 

SEDAR atau tidak, demi kelangsungan hidup masa kini sememangnya mencabar dek kerana kos sara hidup yang semakin tinggi. Selalu kita dengar, “kalau barang mahal, makan nasi dengan telur pun jadilah”.

 

Namun kini, bekalan telur pun susah nak dapat di pasaran. Apa dah jadi? Dah tak ada orang ternak ayam? Kenapa bekalan telur tiada? Inilah persoalan yang bermain di fikiran rakyat.

 

Harga telur berpotensi meningkat dalam masa terdekat ini berikutan bekalan sumber makanan itu yang terhad di Malaysia. Jika perkara ini berlarutan, ia akan mengheret kepada Eggflation.

 

Apa itu Eggflation?

Eggflation merupakan satu terma yang yang membawa maksud kekurangan telur. Biasa kita mendengar terminologi inflation atau inflasi yang secara umumnya ia  merupakan kenaikan harga yang berlaku bagi barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu.

 

Isu eggflation ini bermula di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, New Zealand dan  terus melanda Malaysia.


 

tnb

 


Kos tinggi bahan mentah

Isu eggflation ini berlaku berikutan kos bahan mentah yang semakin meningkat. Dilihat dari sudut pandang yang lebih besar, banyak harga bahan mentah yang meningkat sejak akhir-akhir ini dan bukannya yang berkaitan dengan rantaian bekalan telur sahaja.

 

Penganalisis MIDF Research, Genevieve Ng Pei Fen menyatakan banyak harga bahan mentah yang naik pada tahun 2023 ini seperti harga gandum yang meningkat sebanyak 1.5% yang disebabkan oleh cuaca kering di beberapa wilayah Amerika Syarikat dan Argentina yang mengakibatkan output lebih rendah.

 

Bagi telur pula,  harga telur Gred B mencatatkan kenaikan tahunan tertinggi iaitu 9.6% diikuti oleh telur Gred C , 8.2%  dan telur Gred A, 6.8%. Secara keseluruhan harga telur Gred A, B dan C semakin menaik berbanding dengan tahun 2022.

 

Pastinya kenaikan harga telur ini disebabkan oleh kos input lebih tinggi berpunca daripada kenaikan harga makanan haiwan serta kos buruh. Kos makanan ayam yang meningkat  tinggi pada 2023 ini  disebabkan oleh harga jagung dan kacang soya yang juga meningkat lebih tinggi.

 

Kenaikan  lebih 2.5%  harga jagung adalah berpunca daripada penurunan output global, termasuk pengeluaran lebih rendah dari Amerika Syarikat,  Kesatuan Eropah (EU) dan Argentina.

 

Sementara itu, harga kacang soya pula, meningkat 25.1% berbanding tahun lalu disebabkan oleh kebimbangan penurunan bekalan kacang soya global, terutamanya kerana pengeluaran yang rugi dan hasil rendah bagi tanaman di Argentina.

 

Ramai penganalisis menjangkakan harga jagung dan kacang soya akan terus meningkat lagi bagi tahun 2023 ini.


 

iktisad

 


Tindakan import telur, bukan penyelesaian

Akibat kos bahan mentah yang tinggi ini, penawaran telur tidak mampu untuk memenuhi permintaan.  Senario inilah yang akan membawa kepada Eggflation. Kerajaan perlu bertindak untuk mengawal harga mentah yang menjadi faktor kepada kenaikan harga telur ini.

 

Tindakan kerajaan mengimport telur daripada India bukan satu penyelesaian untuk jangka masa panjang. Ia hanya usaha untuk jangka masa pendek sahaja. Kerajaan membenarkan pengimportan telur dari India, jenis 'Fresh White Shell Egg', dengan berat antara 50 hingga 55 gram yang boleh digredkan sebagai Gred D di Malaysia atau medium di India.

 

Kerajaan perlu memastikan kawalan biosekuriti ketat dikenakan yang mana setiap konsainan perlu menjalani ujian 'Hold Test Release' (HTR) di pintu masuk bagi memastikan telur diimport itu adalah bebas daripada patogen Selesema Burung (HPAI), Newcastle Disease (ND) dan Salmonella.

 

Ini tanggungjawab kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat telur yang selamat daripada India.

 

Adakah kerajaan perlu campur tangan urusan business-to-business?

Selain itu, kerajaan juga perlu campur tangan dalam urusan business-to-business.  Jika sebelum ini, urusan business-to-business antara syarikat pembekal dan penternak tidak melibatkan campur tangan kerajaan. Tetapi dalam menghadapi Eggflation  ini, kerajaan sudah boleh masuk campur dalam urusan antara syarikat pembekal dan penternak.

 

Kerajaan perlu menjadi orang tengah dalam mengadakan rundingan antara syarikat pembekal dan penternak bagi membolehkan kedua-dua belah pihak mendapat subsidi yang betul dan berkongsi keuntungan pada kadar yang lebih munasabah.

 

 

tnb

 

Penternak mahu subsidi dikaji semula

Rata-rata penternak ayam mahu kerajaan mempertimbangkan subsidi kepada penternak ayam dan pembekal. Kini, banyak penternak yang menanggung kos yang sangat tinggi dan menyebabkan banyak penternak gulung tikar dan tidak mampu untuk meneruskan operasi mereka.

 

Kerajaan perlu melihat serius perkara ini kerana jika banyak penternak gulung tikar, ia akan membawa krisis Eggflation  yang lebih parah di Malaysia.

 

Buka ruang kepada kartel telur

Dengan situasi Eggflation akan membuka ruang kepada kartel telur. Bagi mengekang kartel “menangguk di air keruh” kerajaan menerusi  Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) perlu mengambil tindakan tegas sekiranya ada peserta industri telur ayam terbabit dalam kartel dalam pasaran.

 

Ada khabar angin yang menyatakan wujudnya kartel yang mengawal pasaran telur ayam sehingga menyebabkan bekalan bahan mentah itu berkurangan di pasaran.

 

Adakah ia benar-benar berlaku? MyCC perlu agresif membuat pemantauan berhubung keadaan semasa pasaran telur ayam dalam negara. Tindakan yang tegas perlu diambil ke atas pihak yang terbabit dalam isu ini di bawah Akta Persaingan 2010.

 

Produk makanan belum mencapai nisbah self sufficient ratio

Tuntasnya, Malaysia perlu bertindak dengan segera dalam isu Eggflation. Buat masa ini banyak produk pertanian dan makanan di Malaysia masih lagi belum mencapai nisbah self sufficient ratio

 

 

tnb

 

 

Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini?

 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makananlah yang patut “memikirkan” hal ini. Kementerian perlu mengambil langkah drastik bagi mencapai nisbah yang lebih baik dan ideal dan dalam masa yang sama mengurangkan ke bergantungan import negara kepada produk pertanian dan makanan.

 

Jika isu Eggflation tidak diselesaikan segera, kesian pada rakyat nak makan telur pun susah. Telur lah yang menjadi makanan yang paling murah untuk dijadikan “lauk”. Jika telur pun dah tak ada nak beli, apalah nasib rakyat! - DagangNews.com

 

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI