Ekonomi Madani: Atasi kenaikan harga barang, naikkan gaji  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 01 Aug 2023 08:00 AM

Ekonomi Madani: Atasi kenaikan harga barang, naikkan gaji 

 

 

 

KHAMIS lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada minggu lalu. Ekonomi MADANI akan menjadi satu dasar atau kerangka asas bagi Malaysia dalam membangunkan semula ekonomi.

 

Ekonomi MADANI dirangka dengan melihat kepada pelbagai aspek dan sudut bagi menstruktur semula ekonomi Malaysia.

 

Ekonomi MADANI membangunkan 2 tumpuan utama iaitu:

Tumpuan 1: Malaysia sebagai Peneraju Ekonomi Asia

Tumpuan 2 : Peningkatan Darjat Hidup Rakyat

 

Pada masa yang sama, Ekonomi MADANI turut menetapkan 7 penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun:

Pertama:   Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia;

Kedua:      Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia;

Ketiga:      Peratusan pendapatan buruh mencapai 45% daripada jumlah keseluruhan

                 Pendapatan;

Keempat:  Kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60%;

Kelima:     Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia.

Keenam:   Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia; dan

Ketujuh:   Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3% atau lebih rendah.


 

anwar

 


Beri perhatian perkara di dalam Tumpuan 2

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar perlu meningkatkan darjat hidup rakyat yang merangkumi keperluan perlindungan sosial untuk semua, pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan bagi membina sebuah masyarakat yang lebih sejahtera.

 

Isu gaji dan kos sara hidup kian meningkat adalah bebanan rakyat buat masa ini. Secara asasnya, kadar upah dan gaji di Malaysia masih lagi rendah berbanding dengan kadar pendapatan dan kekayaan negara.

 

Gaji rendah di Malaysia

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini turut mengheret pasaran buruh di Malaysia kepada keadaan yang  “tidak sihat”.  Pasaran buruh di Malaysia dilanda isu pampasan pekerja yang rendah.

 

Secara umumnya, konsep pampasan pekerja atau disebut compensation of employees (CE) merujuk kepada kadar gaji atau upah yang dibayar kepada pekerja.

 

Di Malaysia, peratusan CE kepada KDNK masih rendah iaitu sebanyak 32.4%. Ini bermaksud daripada keseluruhan KDNK yang dijana, hanya 32.4% sahaja dikembalikan kepada pekerja dalam bentuk gaji.

 

Jika kita membuat perbandingan dengan negara lain seperti Jerman yang peratusan CE kepada KDNK mereka sebanyak 55%, United Kingdom sebanyak 48%, Korea sebanyak 47% dan Singapura sebanyak 40%.

 

Pasaran buruh gagal cipta pekerjaan berkualiti

Berdasarkan peratusan CE kepada KDNK yang masih rendah memberi gambaran yang pasaran buruh di Malaysia gagal mencipta pekerjaan yang baik dan berkualiti sekali gus  memberi bayaran gaji yang setimpal dan berpatutan.

 

Kenapa perkara ini berlaku? Ini adalah kerana Malaysia masih mempunyai tahap kebergantungan yang tinggi terhadap tenaga buruh luar atau buruh asing.

 

Hal ini menyebabkan kadar pertumbuhan gaji yang perlahan dan akhirnya membawa kepada kesukaran mencipta pekerja mahir dan berpendapatan tinggi. Situasi ini juga mengurangkan moral dan insentif majikan untuk berinovasi dan meningkatkan tahap berdaya saing. 


 

madani

 

Tiada dasar “besar”  untuk tingkat hidup rakyat

Tumpuan 2 dalam Ekonomi MADANI dalam meningkatkan darjat hidup rakyat tidak mempunyai dasar atau kerangka yang besar dalam memberi jaminan kepada mencipta peluang pekerjaan dan gaji bermakna ini.

 

Anwar hanya menyatakan usaha kerajaan akan dilakukan seperti  kajian semula tahap gaji minimum serta memperkenalkan undang-undang yang menjamin persekitaran kerja yang selamat dan selesa.

 

Isu gaji minimum ini telah lama dibangkitkan. Namun sehingga kini, tiada jalan penyelesaian terbaik yang dilakukan oleh kerajaan.

 

Dalam Ekonomi MADANI juga tidak memperincikan apakah tindakan kerajaan dalam melaksanakan gaji minimum ini bagi memastikan tahap kualiti hidup yang bermakna dalam menangani cabaran kos sara hidup.

 

Kerajaan juga perlu bertindak segera dan agresif bagi mengurangkan kebergantungan pada buruh asing kurang mahir. Perkara ini yang membawa kepada nilai gaji yang rendah.

 

Walaupun kerajaan bercadang melaksanakan levi pekerja asing secara berperingkat namun hal ini belum boleh menjamin kepada nilai gaji yang lebih baik dan tinggi.

 

Penyelarasan gaji penjawat awam

Selain kadar upah dan gaji pekerja sektor swasta dan umum, kerajaan juga perlu menilai penyelarasan  gaji penjawat awam bagi meningkatkan darjat hidup rakyat.

 

Walaupun ada yang menyatakan, penjawat awam hidup senang dan mewah, ia tidak benar sama sekali. Bagi penjawat awam yang tangga gaji rendah yang tinggal di bandar-bandar utama, kehidupan mereka ini ibarat miskin bandar dengan kos sara hidup yang tinggi.

 

Kali terakhir gaji penjawat awam diselaraskan pada tahun 2013. Gaji perlu di selaras sekurang-kurangnya setiap 10 tahun sekali.

 

Terdahulu Anwar telah “berjanji” ingin menyelaras gaji penjawat awam, namun dengan beban kerajaan pada masa kini, gaji penjawat awam ini tidak mampu diselaraskan dalam masa terdekat.

 

Namun begitu, Anwar telah mengumumkan bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam dan RM200 kepada pesara kerajaan. Bantuan khas ini dilihat sebagai “gula-gula” Pilihan Raya Negeri (PRN).


 

irsyad

 

Ukuran berjaya Ekonomi MADANI

Terlalu awal untuk mengukur dan menilai berjaya Ekonomi MADANI ini. Ekonomi MADANI gagasan Anwar ini juga mempunyai tumpuan lain yang secara tidak langsung akan membantu meningkatkan darjat hidupan rakyat.

 

Semoga pelan-pelan untuk meningkat ekonomi dan kemampuan daya saing Malaysia akan dapat meningkatkan pendapatan rakyat. Kerajaan perlu mengenal pasti sektor atau industri yang perlu diberi tumpuan untuk membolehkan Malaysia kembali berdaya saing.

 

Sebagai contoh dengan melihat kepada Singapura yang memberi tumpuan kepada sektor perkilangan dan dalam masa yang sama memajukan sektor kewangan dan IT mereka. Hal ini membantu Singapura kekal berdaya saing dan memulihkan ekonomi negara tersebut.

 

Di akhirnya kelak, Ekonomi MADANI perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang baik dan itulah kayu ukur berjayanya kerangka Ekonomi MADANI ini.

 

Apa yang lebih penting ialah manfaat kepada rakyat!   - DagangNews.com

 
 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa