Gaji tidak setimpal, apa status Kertas Putih?
BARU-BARU ini Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali menyatakan pasaran buruh di Malaysia tidak memberi ganjaran atau gaji yang tidak setimpal dengan hasil atau produktiviti seseorang pekerja itu.
Dalam bahasa yang lebih mudah ialah gaji dibayar lebih rendah daripada sepatutnya.
Kenapa hal ini boleh berlaku?
Ini disebabkan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran semakin meningkat kepada 2.02 juta pekerja tahun 2023.
Dengan jumlah ini menyaksikan kumpulan ini bekerja tetapi tidak mendapat gaji yang setimpal dengan kelulusan mereka.
Data jumlah pekerjaan berkemahiran di Malaysia
Pada tahun 2022, sebanyak 83,070 pekerjaan berkemahiran dilaporkan dengan 48,600 jawatan kosong dan 34,47 pekerjaan baharu.
Jumlah 83,070 ini terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan jumlah graduan yang telah tamat pengajian sebanyak 282,038. Secara puratanya jumlah graduan yang akan mengisi pasaran kerja berkemahiran sekitar 200,000 setahun.
Melalui data jumlah pekerjaan kemahiran dan jumlah graduan ini terdapat kekurangan hampir 60% dalam pasaran pekerjaan di Malaysia. Ini yang membawa kepada gaji tidak setimpal kepada pekerja yang berkemahiran.
Apa itu Kertas Putih Cadangan Gaji?
Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif bertujuan untuk menerangkan komitmen Kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat untuk meningkatkan gaji pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.
Walaupun Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif berkaitan gaji, termasuk Perintah Gaji Minimum (PGM) dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS) bagi meningkatkan gaji pekerja, tahap gaji yang rendah masih menjadi isu yang menyebabkan herotan dalam pasaran buruh
Dasar Gaji Progresif yang dicadangkan merupakan satu anjakan dalam Kajian Separuh Penggan (KSP) RMK-12 ke arah meningkatkan gaji dan mencapai pengagihan pendapatan yang lebih seimbang.
Cadangan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif telah dibentangkan dan dipersetujui secara prinsip oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada 7 Ogos 2023 dan kemudiannya mendapat persetujuan Jemaah Menteri pada 27 September 2023.
Kandungan Kertas Putih cadangan gaji
Apa yang sebenarnya kandungan kertas putih dalam cadangan gaji ini yang akan membantu rakyat mendapat gaji yang setimpal?
- Model Bersifat Sukarela
Bersifat Sukarela Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif tidak bersifat mandatori melalui pewujudan sebarang akta baharu. Syarikat yang berminat untuk menyertai Dasar Gaji Progresif boleh mendaftar secara sukarela melalui sistem permohonan secara dalam talian. Hanya syarikat yang mendaftar sebagai ‘Majikan Gaji Progresif’ sahaja akan dipertimbangkan untuk menerima insentif dan perlu memenuhi syarat yang ditetapkan.
- Model Berteraskan Insentif
Hasil soal selidik yang dijalankan mendapati bahawa majikan, terutama dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memerlukan bantuan daripada Kerajaan bagi membiayai kos untuk menyertai Dasar Gaji Progresif. Inisiatif gaji sedia ada pada ketika ini adalah tidak berteraskan insentif dan penerimaan adalah tidak begitu menggalakkan dalam kalangan majikan.
- Model Terkait Dengan Produktiviti
Sistem yang berteraskan produktiviti bertujuan untuk memastikan kesaksamaan antara kedua-dua pihak, iaitu majikan dan pekerja, melalui konsep timbal balik. Konsep ini bertujuan untuk menangani kebimbangan utama pihak majikan, iaitu kenaikan gaji perlu seiring dengan peningkatan tahap kemahiran dan produktiviti pekerja.
Terdapat 3 model ini antara kandungan penting dalam Kertas Putih Cadangan Gaji bagi yang kelak bakal dilaksanakan.
Namun begitu, Model 3 dilihat “paling” sesuai dilaksanakan mengikut tahap kemahiran dan produktiviti pekerja tanpa membebankan majikan.
Adakah Kertas Putih akan menyelesaikan masalah gaji?
Jika diteliti keseluruhan kandungan Kertas Putih yang mengandungi 6 bab ini, secara asasnya memang Kertas Putih ini akan cuba menyelesaikan masalah gaji di Malaysia.
Namun begitu, analisis yang lebih tepat perlu dibuat jika hendak membandingkan dengan gaji bulanan dan pendapatan isi rumah. Ini kerana pendapat isi rumah termasuk dengan pendapatan daripada gaji, daripada kerja lain yang dibuat, pendapatan daripada pelaburan, pendapatan daripada harta atau pun apa-apa sumber yang diterima sebagai hasil.
Di Malaysia Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,589 ini merujuk kepada pendapatan isi rumah dan bukannya gaji. Isu yang kerajaan perlu selesaikan ialah pendapatan yang tidak setimpal dengan pekerjaan atau produktiviti.
Jika dinilai dengan PGK, lebih 3 juta rakyat Malaysia mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada PGK. Tetapi jika penilaian berdasarkan “actual salary” pastinya jumlah rakyat Malaysia melebihi 3 juta yang kurang daripada PGK yang ditetapkan. Ini yang perlu diselesaikan.
Status Kertas Putih Cadangan Gaji?
Kertas Putih ini telah dibentangkan di Parlimen pada 30 November 2023 yang lalu. Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan dimulakan dengan projek rintis pada bulan Jun 2024. Selepas pelaksanaan projek rintis dijalankan, penilaian terhadap keberkesanan projek rintis akan dibuat sebelum keputusan mengenai pelaksanaan Dasar Gaji Progresif secara menyeluruh ditentukan.
Kerajaan menyasarkan memulakan penilaian keberkesanan pada September 2024. Agak-agaknya bila pula perlaksanaan sepenuhnya Dasar Gaji Progresif ini akan dilaksanakan.
Sebelum satu-satu dasar ingin dilaksanakan, kerajaan hendaklah melakukan projek rintis dan menyemak keberkesanannya. Kita tidak mahu pada awalnya menerima pujian tetapi tempoh masanya agak lama. Mungkin akan dilaksanakan sepenuhnya tahun 2025.
Apakah nasib rakyat sehingga tahun 2025 dengan kos sara hidup yang meningkat dan gaji yang tidak setimpal? Apakah tindakan kerajaan dalam strategi jangka masa pendek dalam meringankan beban rakyat?
Ekonomi tidak mencipta kerja yang memerlukan kemahiran
Tidak dinafikan Malaysia kini menunjukkan tanda positif dalam perkembangan ekonomi. Walaupun ekonomi berkembang, tetapi ia hanya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran rendah yang tidak dapat memenuhi keperluan pekerja berkemahiran seperti untuk graduan universiti.
Hal ini merupakan satu kerugian buat negara daripada pelaburan ke atas modal insan apabila kerajaan gagal menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi secukupnya terutamanya graduan universiti. Banyak pekerja berkemahiran tidak diguna pakai sepenuhnya oleh negara.
Malaysia perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi bagi menyelesaikan isu gaji tidak setimpal ini! - DagangNews.com
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI