Hubungan dengan China: Ideologi Pembangunan Ekonomi atau pertahankan kepentingan negara? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 19 September 2023

Hubungan dengan China: Ideologi Pembangunan Ekonomi atau pertahankan kepentingan negara?

 

 

 

MALAYSIA telah menandatangani 3 perjanjian persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China.

 

MoU ini telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri Kabinet Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Nga Kor Ming, Datuk Mohamad Alamin dan Chan Foong Hin.

 

MoU ini bagi mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-China bagi membangunkan semula ekonomi Malaysia.

 

Jumlah dagangan Malaysia-China

Tidak dinafikan hubungan rakan dagang Malaysia-China telah lama wujud. China adalah rakan dagang Malaysia terbesar sejak 2009 dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara tahun lalu sudah melebihi 18% daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai lebih RM3 trilion.

 

Sehingga Julai 2023,perdagangan Malaysia dengan China sebanyak  17.2% iaitu RM37.13 bilion berbanding RM252.81 bilion tempoh sama pada 2022.

 

Sementara jumlah eksport ke China pula  meningkat 9.4% berjumlah RM210.62 bilion (AS$47.84 bilion), manakala jumlah import daripada China mencatatkan peningkatan sebanyak 20.7% berjumlah RM276.50 bilion (AS$62.78 bilion) berbanding tahun lalu.

 

Nilai pelaburan yang besar antara Malaysia dan China ini telah  membuka peluang pekerjaan kepada 6,193 orang.

 

Kita tidak boleh nafikan sumbangan China terhadap ekonomi Malaysia!

 

3 MoU ditandatangani

Terbaru, Malaysia telah menandatangani 3 lagi MoU bersama China iaitu:

 

  1. MoU antara Citaglobal Bhd dan Shanghai Sus Environment  dengan nilai pelaburan dianggar RM15 bilion (AS$5.2 bilion). Kedua-dua syarikat akan meneroka potensi kerjasama pembangunan loji janakuasa sisa kepada tenaga terutamanya di Malaysia.

 

  1. MoU antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group dengan nilai pelaburan kira-kira RM2.34 bilion (AS$500 juta). Ia membabitkan kerjasama pergudangan dan logistik antara kedua-dua syarikat dalam menyokong Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu rantau ini untuk menggalakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Guangxi dan Malaysia.

 

  1. MoU antara Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group dengan anggaran eksport sebanyak RM2.5 bilion. MoU ini adalah mengenai kerjasama membina pusat perdagangan dan pengedaran minyak sawit ditapis dan lelemak di Qinzhou, China dengan anggaran jumlah urus niaga tahunan sebanyak 500,000 tan.

 

Jawatankuasa Penilaian MoU

Ada pihak yang mempersoalkan status syarikat yang menjalinkan hubungan MoU antara Malaysia dan China ini. Adakah syarikat ini benar-benar layak? atau syarikat ini adalah syarikat orang-orang tertentu yang berkepentingan

 

Semua syarikat yang menandatangani MoU ini telah di nilai dan ditapis Jawatankuasa Penilaian MoU yang dianggotai beberapa kementerian serta agensi. Penilaian secara secara komprehensif serta telus termasuk membabitkan penelitian implikasi MoU terhadap dasar luar negara, memastikan syarikat tidak disenarai hitam oleh Kementerian Kewangan (MOF) serta impaknya dalam aspek perdagangan serta pelaburan negara.

 

Limpahan besar pada ekosistem

Dengan menandatangani 3 MoU bersama China ini dilihat bakal mengukuhkan lagi perkongsian sedia ada dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan mengembangkan kerjasama ekonomi dalam bidang pertumbuhan baru seperti pembangunan hijau dan ekonomi digital.

 

Apa yang diharapkan, dengan MoU ini akan memberi manfaat kepada Malaysia  melalui Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA).

 

Belajar dari sejarah terdahulu Malaysia-China

Walaupun dengan MoU ini dijangka akan mendapat limpahan ekosistem ekonomi Malaysia, kita perlu juga “toleh ke belakang”.

 

Malaysia perlu belajar dari sejarah. Mungkin ada yang terlupa apa yang berlaku selepas kebanjiran projek-projek China di Malaysia bermula tahun 2016.

 

Apa yang kita patut ingat semula ialah:

  • Kerajaan telah menjual aset tenaga Edra Energy kepada syarikat milik negara China iaitu China General Nuclear Power Corp Ltd (CGN Group). Penjualan aset tenaga ini bercanggah dengan dasar tenaga Malaysia yang melarang penjualan aset tenaga kepada pelabur asing atas alasan keselamatan.

 

  • Kerajaan telah menjual beberapa bidang tanah kepada pemaju China terutama di koridor selatan negara termasuk projek Forest City, dan beberapa projek lain seperti Melaka Gateway di Melaka.  Penjualan tanah kepada pemaju China ini menimbulkan isu kedaulatan negara. Selain itu, projek-projek di  Forest City dan Melaka Gateway  yang berskala besar bagi menghasilkan pulau buatan dengan kerja-kerja penambakan telah mencemarkan alam sekitar.

 

Malaysia perlu mengambil pengajaran dengan kebanjiran projek-projek China bermula tahun 2016. Jangan kita “menang sorak, kampung tergadai”.

 

Perlu pertahankan kepentingan negara

Apabila adanya kerjasama ekonomi dengan mana-mana negara terutamanya yang mempunyai kuasa besar seperti China, kerajaan perlu mempertahankan kepentingan negara. Kerajaan perlu mempunyai pendirian yang teguh dalam mempertahankan kedaulatan dan  keselamatan negara.

 

Ia bukan sekadar ideologi pembangunan semata-mata tetapi bagaimana kerjasama ekonomi ini boleh menjamin  kedaulatan negara.

 

Selain itu, kerajaan juga perlu untuk terus “melindungi” perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan rakyat khususnya.Tidak dinafikan  ideologi pembangunan penting  tetapi negara  tidak boleh tergelincir dari mengangkat agenda pembangunan berpandukan Ekonomi MADANI .

 

Jangan biarkan China “kawal” kita

Semakin banyak dasar hubungan ekonomi antara kedua belah negara membawa kepada negara yang mempunyai kuasa lebih besar “mengawal” negara yang lebih kurang kuasanya.

 

Ini yang kita tidak mahu berlaku antara China-Malaysia. Malaysia perlu mempertahankan autonomi dan pelaksanaan dasar-dasar yang ingin dilaksanakan daripada tekanan luar iaitu tekanan dari China.

 

Imbangi pengaruh ekonomi China

Bagi mengimbangi pengaruh ekonomi China terhadap Malaysia, kerajaan Malaysia perlu melihat peluang-peluang lain juga. Malaysia boleh mengintai peluang dengan menyertai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) atau peluang lain melalui Kumpulan G7 (Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat) melalui Partnership for Global Infrastructure and Investment (PGII) .

 

Malaysia tidak boleh “bergantung” dengan China semata-mata. Lebih banyak kerjasama dari pelbagai negara dan kuasa ekonomi akan mengimbangi pengaruh ekonomi China terhadap Malaysia.

 

Perlu ada jawatankuasa pemantau MoU

Selain memastikan kepentingan negara dipertahankan, kerajaan perlu mewujudkan satu jawatankuasa khusus pemantau MoU.

 

Jika sebelum ini, semua MoU ini di dipantau mengikut proses biasa yang diamalkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) namun jika ada jawatankuasa khusus MoU ini akan boleh memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan!   - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

 

Portfolio Tags