KDNK dijangka turun, lebih 700 kaunter saham catat kerugian | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 14 Jul 2021 07:30 AM

KDNK DIJANGKA TURUN, LEBIH 700 KAUNTER CATAT KERUGIAN

 

 

 

PASARAN saham yang dibuka pada awal minggu ini dalam keadaan yang masih lagi “mencari rentak” terus mengejutkan pelabur apabila lebih 700 ratus kaunter saham “merah” Isnin lalu.

 

Ia berikutan sesi temubual Menteri Kewangan Malaysia Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama Bloomberg, menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka menyusut ke paras 4% pertumbuhan. Ironinya, pasaran saham terus bertindak negatif dengan laporan ini.

 

Sebanyak 743 kaunter mencatatkan kerugian dengan dengan jumlah dagangan 4,285,336 juta unit saham didagangkan dengan nilai RM2,349,617. Keyakinan pelabur mula goyah terhadap pasaran saham di Malaysia dengan jangkaan penurunan KDNK ini.

 

Bank Dunia telah menurunkan jangkaan pertumbuhan KDNK Malaysia pada paras 4.5% sahaja dan kerajaan persekutuan juga akan menyemak semula sasaran KDNK negara Ogos ini. Terdahulu Bank Dunia mengunjurkan sebanyak 6% pada Mac lalu.

 

Menurut Tengku Zafrul lagi, kerajaan akan menyemak KDNK negara selepas lebih banyak data yang diterima untuk membuat sasaran jangkaan pertumbuhan KDNK negara.

 

Sebelum ini, Malaysia menyasarkan KDNK Malaysia dijangka berkembang pada kadar 6.0% - 7.5% bagi tahun 2021. Sasaran KDNK ini dibuat pada awal tahun ini berikutan permintaan luaran yang lebih kukuh dan peningkatan aktiviti domestik.

 

Menurut Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang diterbitkan Mac 2021 dilihat selari dengan anggaran Bank Dunia sebanyak 6% dan Dana Kewangan Antarabangsa sebanyak 6.5%, di mana kedua-duanya mengunjurkan bahawa Malaysia bakal mencapai salah satu kadar pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di rantau ini.

 

 

volatiliti
Kadar pertumbuhan KDNK dari tahun-ke-tahun bagi S1 2021 pada -0.5%, iaitu penguncupan yang jauh lebih kecil berbanding -3.4% pada S4 2020. Carta ini diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan pada 11 Mei 2021. Kini ia telah berubah.

 

 

Mengapa KDNK penting dalam menilai ekonomi?

KDNK merupakan jumlah nilai pasaran keseluruhan barangan dan perkhidmatan terakhir yang dikeluarkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu KDNK juga mengambil kira jumlah nilai yang dicampur pada setiap peringkat pengeluaran untuk barangan dan perkhidmatan terakhir yang dihasilkan negara pada masa tertentu, dan diberi dalam nilai wang.

 

KDNK negara diukur melalui 3 pendekatan atau kaedah iaitu:

  1. Produk atau Pengeluaran; iaitu penjumlahan nilai ditambah aktiviti ekonomi (Pertanian, Pembuatan, Pembinaan,Perlombongan & Pengkuarian dan Perkhidmatan termasuk Kerajaan)

 

  1. Perbelanjaan; iaitu penjumlahan Perbelanjaan Akhir Isi Rumah, Perbelanjaan Akhir Kerajaan, Pelaburan dan Eksport Bersih

 

  1. Pendapatan; iaitu penjumlahan pendapatan oleh faktor pengeluaran seperti tanah, tenaga buruh, modal dan keusahawanan iaitu pampasan pekerja, Lebihan kendalian kasar dan cukai atau subsidi.

 

KDNK merupakan instrumen untuk mengukur prestasi ekonomi, Pengiraan pertumbuhan ekonomi melalui KDNK adalah ukuran tepat mengenai pertumbuhan ekonomi negara, yang didorong oleh dasar-dasar monetari dan fiskal di samping pelbagai pelan rangsangan ekonomi dan dalam masa yang sama mengimbangi faktor kesihatan dan mengekang penularan COVID-19.

 

Melihat kepada pentingnya KDNK ini dalam menilai kekuatan ekonomi negara dan dijangka menurun, adakah ekonomi Malaysia dalam keadaan terancam?

 

Walapun sasaran pertumbuhan asal KDNK negara sebanyak 6%-7.5% bagi tahun 2021, ia adalah lebih baik daripada 2020 yang mencatat  -5.6%. Pertumbuhan KDNK dijangka turun berikutan keadaan ekonomi yang dalam proses pemulihan yang agak perlahan berikut Malaysia belum mampu mengawal jangkitan COVID-19 yang masih berada pada tahap ketiga proses pemulihan negara.

 

Banyak sektor ekonomi yang ditutup yang merenjatkan proses pemulihan ekonomi negara. Kes positif COVID-19 di Malaysia yang gagal diratakan ke bawah 4,000 kes pastinya menganggu pertumbuhan KDNK negara ini.

 

Tengku Zafrul dalam kenyataannya juga menyatakan, bukan mudah untuk menangani cabaran pandemik COVID-19, terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baru seperti varian Delta Plus.

 

Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menyaksikan peningkatan kes. Menurut WHO, dalam 7 hari kebelakangan ini, berlaku peningkatan kes sebanyak 33% di seluruh Eropah, 16.7% di Afrika, 16.4% di timur Mediterranean, 10% di barat Pasifik dan 8.6% di AsiaTenggara.

 

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion. Setakat ini, sebanyak lebih RM200 bilion telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan.

 

Belanjawan 2021 pula bernilai RM322.5 bilion dan masih berbaki RM100 bilion untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini. Ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memastikan KDNK negara berada pada paras yang baik.

 

Pastinya kerajaan akan mengimbangi faktor kesihatan dan ekonomi bagi mengelakkan ekonomi Malaysia dari terus “terancam” dan KDNK negara mencapai satu angka yang baik menjelang hujung tahun ini.

 

 

volatiliti

 

 

Adakah Malaysia gagal?

Banyak pihak menyatakan Malaysia gagal dalam mengimbangi faktor kesihatan dan ekonomi,  Benarkah tuduhan ini?   Jika dilihat dari faktor kesihatan, dari aspek vaksinasi, Malaysia sudah mencapai secara konsisten kadar vaksinasi melepasi 300,000 dos sehari. Dengan kadar vaksinasi sedia ada, Malaysia merupakan  antara 10 negara tertinggi di dunia kadar vaksinasi harian

 

Bulan Julai ini sahaja, Malaysia bakal menerima sehingga 14 juta dos vaksin, membolehkan kadar vaksinasi terus ditingkatkan sehingga 400,000 dos sehari. Kerajaan akan berusaha memastikan kadar vaksinasi terus ditingkatkan bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

 

Kerajaan juga akan mempercepatkan vaksin dalam sektor pembuatan dan pengilangan menerusi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS). Kerajaan juga menyeru akan lebih banyak syarikat atau majikan dalam sektor industri pembuatan dan pengilangan khususnya untuk menyertai PIKAS.

 

Kerajaan menyasarkan kira-kira 2.5 juta pekerja sektor pembuatan dan pengilangan ini akan selesai menerima vaksin menerusi pelaksanaan Program PIKAS pada September 2021 sekali gus akan memulihkan ekonomi dan memacu KDNK negara.

 

Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat sebagai satu pelan untuk Malaysia keluar dari kemelut ini dengan beralih secara beransur-ansur dari satu fasa ke satu fasa, merupakan pelan yang dinamik dalam menghadapi cabaran COVID-19 yang sentiasa berubah,

 

Adakah Malaysia mampu mencapai pertumbuhan antara 6.5 hingga 7.5% tahun ini seperti yang disasarkan pada awal 2021 dan memacu semula ekonomi serta mengembalikan keyakinan pelabur? Pastinya ia masih sukar diramal dan setakat ini, pelabur masih lagi tidak yakin dengan pasaran saham di Malaysia. Masa akan menentukan. - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI