Keputusan PRN dipantau teliti pelabur | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 8 August 2023

Keputusan PRN dipantau teliti pelabur

 

 

KESTABILAN politik memainkan peranan yang cukup penting dalam membangunkan ekonomi sesebuah negara. Pembangunan ekonomi juga bergantung kepada pelabur luar. Kini, Pilihan Raya Negeri (PRN) akan menjadi ukuran kepada keyakinan pelabur kepada Malaysia.

 

Seperti yang kita tahu, PRN yang akan berlangsung 12 Ogos 2023.  PRN ini adalah untuk menilai bagaimana penerimaan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan ataupun sebaliknya. 

 

Walaupun ia sekadar PRN bukan PRU, hal ini masih penting bagi pelabur luar yang melihat sebagai satu indikator terhadap kestabilan politik negara.

 

PRN 6 Negeri

PRN 2023 akan membabitkan 6 negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. Sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan kali ini iaitu 36 DUN di Kedah, 45 di Kelantan, 32 di Terengganu, 40 di Pulau Pinang, 56 di Selangor dan  36 kerusi di Negeri Sembilan.

 

Daripada 6 negeri dan 245 kerusi DUN yang dipertandingkan, adalah sukar diramal sama ada kerajaan atau pembangkang yang akan menang lebih banyak. PRN kali ini lebih seimbang dan rakyat juga semakin matang selepas menjalani beberapa situasi pilihan raya dan perubahan kerajaan.


 

volatiliti

 


Pelabur lebih yakin jika Kerajaan Perpaduan menang banyak kerusi

PRN kali ini menjadi perhatian pelabur luar. Melihat kepada senario semasa, pelabur pasti akan lebih yakin dengan kerajaan pimpinan Anwar jika  lebih banyak kerusi DUN dalam PRN dimenangi oleh kerajaan pemerintah.

 

Jika banyak kerusi yang dimenangi oleh BN-PH, ini  menjadi isyarat bahawa politik Malaysia sudah matang dan jelas politik berasaskan pemikiran “kuno dan perkauman” tidak mendapat tempat di hati rakyat.

 

Secara asasnya, sentimen pelabur lebih suka kepada kuasa memerintah itu diberi kepada kerajaan yang memerintah. Kuasa yang kuat daripada kerajaan pemerintah akan mengukuhkan kestabilan politik sesebuah negara dan membawa kepada kestabilan ekonomi. Ini yang pelabur mahukan.

 

Mudah laksanakan reformasi struktur

Jika Kerajaan Perpaduan memenangi banyak negeri atau kerusi dalam PRN kali ini akan membolehkan Kerajaan Perpaduan melaksanakan reformasi struktur ke atas negeri-negeri ini dengan lebih mudah.

 

Enam negeri dalam PRN kali ini juga merupakan antara negeri yang berpotensi besar dalam membawa pelaburan masuk ke Malaysia. Antara yang boleh dilakukan ialah memperkenalkan dasar yang meningkatkan kecekapan serta daya saing, dan melaksanakan langkah fiskal untuk meningkatkan kedudukan kewangan setiap negeri tanpa menjejaskan pertumbuhan.

 

Kesan jika DUN dimenangi pembangkang

PRN kali ini sukar diramal. Kerajaan dan pembangkang mempunyai kelebihan masing-masing untuk menawan 6 negeri ini dan kerusi DUN. Jika kerusi DUN banyak dimenangi oleh pembangkang, dikhuatiri pelabur asing kurang yakin mengenai kestabilan politik negara, untuk kesekian kalinya.

 

Jika kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dari kepimpinan yang sama, ia lebih mudah. Namun begitu, jika sebaliknya berlaku pelabur asing tidak perlu risau. Jika kita toleh ke belakang, sebelum ini juga banyak sahaja kerajaan negeri dipimpin oleh parti yang tidak sama dengan kerajaan persekutuan namun begitu tetap menyokong pelabur asing yang masuk ke negeri-negeri di Malaysia.


 

infineon

 


Pelaburan Infineon Technologies AG

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah €5 bilion (RM25 bilion) oleh Infineon Technologies AG ke Kedah. Ini petanda baik yang membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

 

Secara asasnya, pelaburan Infineon ini dilihat satu perkembangan yang sangat baik menunjukkan pelabur antarabangsa yakin terhadap kapasiti negara untuk membangunkan perniagaan mereka di Malaysia, walaupun kemasukan syarikat itu sudah diumumkan oleh perdana menteri lain tahun lepas.

 

Dengan pelaburan Infineon di Kedah ini, pastinya membawa limpahan ekonomi terhadap negeri itu khususnya dan Malaysia amnya. Antaranya pastilah banyak peluang pekerjaan yang bakal dicipta kesan langsung dari pelaburan ini.

 

Perlu pelaburan berkualiti

Malaysia perlu menarik pelaburan berkualiti untuk masuk ke Malaysia. Dengan pelaburan yang berkualiti boleh melonjakkan ekonomi negara. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui peluang pekerjaan yang dicipta.

 

Selain itu, pelaburan yang berkualiti ini akan membolehkan tenaga kerja di negara ini dapat meningkatkan taraf pengetahuan dan kemahiran dan tidak lagi hanya tertumpu kepada industri buruh yang berkemahiran rendah.

 

Sumitmoto, Tesla, Rongsheng dan Samsung

Antara syarikat antarabangsa yang menunjukkan minat terhadap pelaburan di Malaysia ialah Sumitmoto, Tesla, Rongsheng, Geely dan Samsung.  Malaysia perlu jaga “baik-baik” pelabur berkualiti ini untuk melabur di Malaysia ini.

 

Sebagai contoh, rundingan Malaysia dengan pengasas dan CEO Tesla, Elon Musk menzahirkan persetujuan menubuhkan ibu pejabat Tesla di Cyberjaya amat penting kepada ekonomi Malaysia bagi menggalakkan pelaburan asing dan ia membuka mata pelabur asing yang lain.


 

tnb

 


Rundingan terhadap syarikat-syarikat yang berpotensi ini perlu diperhalusi dengan baik kerana kehadiran pelabur antarabangsa ini pasti akan membawa limpahan ekonomi kepada Malaysia terutamanya dengan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

 

Perlu segera lakukan pembaharuan

Selain “kestabilan politik” yang kita akan tahu selepas keputusan PRN kali ini, Kerajaan Perpaduan perlu segera melakukan pembaharuan untuk menarik pelabur asing untuk masuk ke Malaysia. Antaranya ialah

  1. Perlu segera memperkukuh agensi galakan pelaburan di bawah MIDA dengan tumpuan untuk mempergiatkan usaha menarik pelaburan dengan memudah cara urusan pelabur secara lebih proaktif
     
  2. Perlu segera mengkaji semula insentif pelaburan supaya tertumpu kepada galakan pelaburan yang menjana pekerjaan berpendapatan tinggi serta daripada sumber tempatan
     
  3. Perlu segera menaik taraf kawasan perindustrian dengan prasarana lengkap serta meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur dan melengkapkan infrastruktur kawasan perindustrian terutamanya prasarana berkonsepkan hijau

 

Sasaran 30 ekonomi terbesar dunia

Jika mahu mencapai sasaran 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033, Malaysia perlu meningkatkan daya saing negara dengan mensasarkan lebih banyak pelabur luar yang berkualiti masuk ke Malaysia.

 

Dalam masa terdekat, Malaysia perlu menstruktur semula ekonomi bagi menjadikan negara sebagai peneraju ekonomi Asia. Rantau Asia dilihat sebagai peluang dan ruang yang besar yang boleh dikuasai oleh Malaysia.


 

tnb

 


Bagi membolehkan Malaysia mengusai perdagangan di Asia, reputasi dan kestabilan politik penting di mata pelabur antarabangsa. Keyakinan pelabur luar kerana kestabilan politik akan membuka pintu kerjasama perdagangan dan pelaburan buat Malaysia.

 

Kita tunggu keputusan PRN minggu depan, moga yang baik-baik sahaja buat Malaysia bagi menjamin kestabilan politik! - DagangNews.com

 
 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

Portfolio Tags