Kerajaan perlu ambil serius “Rompakan” dalam talian | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 30 Mar 2022 08:34 AM

Kerajaan perlu ambil serius “Rompakan” dalam talian

 

 

 

“ROMPAKAN” dalam talian atau online scamming semakin parah. Hal ini bukan hanya berlaku di Malaysia malah berlaku di seluruh dunia. Kenapa rompakan ini terus berlaku? Adakah masyarakat tidak tahu? Siapakah sasaran perompak? Inilah yang menjadi persoalan utama.

 

Jumlah rompakan ini semakin hari semakin meningkat. Tahun 2019 lebih RM700 juta kerugian penipuan dalam talian, tahun 2020 pula melebih RM900 juta dan terus meningkat bagi tahun 2021.

 

Jumlah ini satu jumlah yang sangat besar. Adakah kita mahu lebih ramai rakyat di Malaysia terus dirompak? Apakah yang kerajaan perlu lakukan?

 

Penipuan e-dagang

Selain rompakan atau penipuan dalam talian, penipuan e-dagang juga terus meningkat. Semenjak pandemik COVID-19, transaksi e-dagang terus melonjak naik.

 

Inilah peluang online scammer untuk  menipu masyarakat. Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, penipuan e-dagang dilaporkan sebanyak RM41 juta pada tahun 2021.

 

Rompakan konvesional sudah tidak popular

Dahulu isu rompakan dan kecurian, pastinya terlintas di fikiran kita, bahawa rompakan dan kecurian ini rompakan yang bersenjata, dan mungkin melibatkan tumpahan darah mahupun pembunuhan atau kematian.

 

Kebiasaannya,rompakan melibatkan kedai-kedai emas, bank, atau rumah kediaman. Namun rompakan begini mempunyai risiko yang tinggi kepada perompak.

 

Rompakan konvesional ini tidak lagi popular. Rompakan dalam talian ialah rompakan norma baharu dan  tidak lagi melibatkan senjata mahupun melibatkan kematian.

 

Rompakan dalam talian ini lebih bahaya dan nilai rompakan juga akan lebih banyak daripada rompakan biasa.


 

volatiliti

 


Kenali perompak norma baharu

Masyarakat perlu sedar tahu, apakah teknik atau kaedah rompakan norma baharu ini supaya lebih ramai masyarakat dapat dielak daripada terus dirompak dan ditipu.

 

Antara jenis rompakan dalam talian yang popular di Malaysia pada masa kini ialah:

 

  1. Macau Scam

Macau Scam atau sindiket penipuan macau ini bermula di tiga buah negara iaitu Taiwan,  China dan Hong Kong. Macau Scam menggunakan teknik spoofing panggilan telefon dengan menyamar menjadi pegawai sama ada dari mahkamah, pegawai polis,  pegawai  bank/ banmk negara atau pegawai kastam.  Inilah model operandi yang digunakan oleh Macau Scam.

 

  1. Scam KWSP

Semua masyarakat perlu berhati-hati dengan scam KWSP ini. Pastinya rakyat yang terkesan dengan kelangsungan hidup memang mengharapkan duit KWSP. Scammer ini memang menanti peluang keemasan ini untuk menangguk di air keruh. Taktik yang digunakan oleh scam KWSP ini ialah dengan menghantar SMS dan aplikasi palsu i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari kepada magsa.

 

  1. Scam Cinta (Love Scam)

Kini banyak platform online dating. Melalui paltform inilah, scammer  mengambil kesempatan untuk mencari mangsa. Dengan menggunakan profil palsu,  scammer akan berpura-pura berminat untuk bercinta dengan mangsa. Taktik yang akan digunakan oleh scam cinta ini ialah meminta pasangan cintanya memindahkan duit (transfer) ke akaun nya kerana dia ada kes kecemasan kewangan ataupun ada barang yang ditahan kastam. Inilah yang taktik yang digunakan scam cinta untuk memperdayakan pasangan cintanya.

 

  1. Scam Pinjaman Peribadi

Scammer ini akan menawarkan pinjaman tanpa faedah dengan 0% kadar faedah dan kelulusan 100%. Apa yang scammer lakukan dengan meminta mangsa untuk bayaran pendahuluan atau deposit untuk membuat pinjaman dan dijanjikan deposit ini akan dipulangkan semula dengan jumlah pinjaman itu nanti. Jangan lah masyarakat terpedaya dengan taktik ini.

 

  1. Scam Pelaburan

Ini juga popular dalam masa kini. Ramai masyarakat ingin menggandakan wang mereka melalui pelaburan. Apa yang scammer pelaburan ini lakukan dengan menjanjikan keuntungan yang besar. Inilah modus operandi scam pelaburan ini. Apa yang masyarakat perlu tahu dan elakkan ialah jangan melabur dengan pelaburan yang tidak ada pemegang amanah. Ini kerana pengarah syarikat tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan duit daripada akaun yang dipegang oleh pemegang amanah.

 

  1. Scam Parcel

Dalam scenario kini, pastinya masyarakat Malaysia banyak membuat pembelian secara online. Scammer menggunakan parcel secara satu satu cara untuk menipu. Teknik yang digunakan oleh scammer ini dengan perkhidmatan Charge on Delivery (COD) untuk menipu mangsa untuk membayar sesuatu yang mereka tidak beli. Selain itu, scammer juga menggunakan taktik menghantar parcel ke rumah mangsa yang mana parcel itu datang daripada keluarga atau rakan terdekat dan meminta bayaran. Ramai masyarakat Malaysia yang telah tertipu dengan scam parcel ini.

 

  1. Scam Skim Cepat Kaya

Walaupun semua masyarakat tahu yang skim cepat kaya adalah skim penipuan tetapi masih terdapat masyarakat yang terpedaya dengan skim ini. Skim ini akan menjanjikan pulangan daripada duit yang dilaburkan dengan jumlah keuntungan yang besar Masyarakat  jangan terpedaya sebab skim cepat kaya ini  dan selalunya indah khabar dari rupa. Skim cepat kaya ini  menggunakan taktik MLM.


 

volatiliti

 


Perkasakan Akta untuk perompak dalam talian

Terdapat beberapa akta yang boleh diperkasakan bagi membendung rompakan dalam talian ini. 

 

Antara akta yang boleh digunakan pakai oleh kerajaan untuk mengenakan hukuman dan tindakan ialah melalui:

 

  • Akta 613:

Antara kesalahan membabitkan pengubahan wang haram ialah (a) mana-mana individu yang melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung, dalam transaksi yang melibatkan hasil dari aktiviti haram atau peralatan kesalahan, (b) memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa, melupuskan, atau menggunakan hasil dari aktiviti haram atau peralatan kesalahan.

 

Perompak ini boleh  disabitkan penjara tidak melebihi 15 tahun, dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil dari aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan, atau denda RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

 

  • Seksyen 420 Kanun Keseksaan

 Membabitkan kesalahan menipu secara curang ​​untuk mendorong secara memperdayakan bagi penyerahan wang atau harta benda mangsa kepada perompak ini. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, dan hukuman sebat, dan boleh juga dikenakan denda.

 

Mengapa akta ini tidak dikuatkuasa sebaik mungkin?

Walaupun terdapat akta yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk mengenakan tindakan kepada perompak dalam talian ini, namun apabila ianya tidak di kuatkuasa dengan sebaik mungkin membuatkan aktiviti perompak dalam talian ini terus berleluasa.

 

Sebagai contoh, 51 warga negara China yang dihadapkan ke mahkamah di Ayer Keroh  tahun lalu dengan tuduhan menjadikan rumah sebagai pusat judi terbuka dan melakukan kegiatan penipuan dalam talian.

 

Malangnya hukuman dijatuhkan sangat ringan, iaitu penjara sebulan dan denda RM20,000 terhadap setiap tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

 

Dengan sebulan penjara dan denda hanya RM 20,000 ini dilihat terlalu rendah dengan rompakan yang dilakukan dengan nilai ratusan dan jutaan ringgit.

 

Kita bukan mahu menidakkan keputusan hakim dan mahkamah, tetapi jika penguatkuasa akta yang lebih tegas jika digunakan sedikit sebanyak boleh membendung aktiviti rompakan dalam talian ini.


 

volatiliti

 


Segerakan semakan pindaan Akta Perdagangan Elektronik 2006

Selain perkasa kan akta sedia ada, kerajaan juga perlu segerakan semakan pindaan Akta Perdagangan Elektronik 2006 Dengan aktiviti e-dagang yang sangat berkembang luas, pindaan akta ini sebagai satu langkah yang baik bagi melindungi masyarakat dengan aktiviti jual beli dalam talian ini.

 

Penguatkuasa “kotorkan tangan”

Apa yang lebih menyedihkan, apabila ada dalam kalangan pegawai penguatkuasa yang sanggup 'mengotorkan tangan' dengan turut terlibat dalam kegiatan ini.

 

Jika ada pegawai penguatkuasa yang terlibat dalam kegiatan ini, mereka boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

 

Keruntuhan nilai integriti

Jika perkara ini berlaku pastinya ia boleh merosakkan integriti dan nama baik badan pelaksana undang-undang.

 

Isu ketirisan integriti dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai penguatkuasa ini amat membimbangkan.

 

Tuntas nya, kerajaan perlu mengawal perkara ini, tidak kira sama ada perompak dalam talian mahupun penguatkuasa yang melindungi aktiviti ini bagi membendung aktiviti ini dan sekali gus melindungi masyarakat Malaysia!    - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI