​​​​​​​Mengapa ramai betul mahukan lesen bank digital Malaysia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 22 Sep 2021 08:00 AM

Mengapa ramai betul mahukan lesen bank digital Malaysia?

 

 

 

SIAPAKAH 5 syarikat atau organisasi yang bakal mendapatkan lesen bank digital di Malaysia masih lagi menjadi tanda tanya?

 

Setakat ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menerima 29 permohonan yang telah dihantar oleh bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan kerajaan negeri untuk mendapatkan lesen bank digital.

 

Kerajaan negeri juga berhajatkan lesen

Jangkaan awal syarikat teknologi, pemain teknologi kewangan dan institusi kewangan yang akan merebut bahagian pasaran perbankan digital tetapi sebaliknya banyak syarikat dan organisasi yang membentuk konsortium sehingga kerajaan negeri juga berebut untuk mendapatkan lesen bank digital ini.

 

Kerajaan Negeri Sarawak bersama-sama Revevue Group Berhad dan Kenanga Investment Bank Berhad juga ingin merebut antara 5 lesen bank digital ini.

 

Pelik bukan? Kerajaan negeri pun nak lesen digital bank.

 

Antara yang turut bersaing dalam pembidaan lesen digital bank di Malaysia ialah:

  1. Anak syarikat Axiata Group Bhd, Boost Holdings Sdn Bhd membentuk konsortium dengan Kumpulan Perbankan RHB
  2. Grab Holdings Inc dan Razer Inc
  3. ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa)
  4. ManagePay Systems Bhd (MPay) 
  5. Air Asia
  6. AEON Credit Service (M) Bhd dan AEON Financial Service Co Ltd (AFS)
  7. Green Packet bersama rakan kerjasama ZICO Holdings Inc (ZHI) dan M24 Tawreeq
  8. Pertama Digital Bhd

    Dan banyak lagi.

 

Dijangka, yang mempunyai kelebihan untuk “memenangi perebutan” ini adalah yang mempunyai syarikat yang mengendalikan operasi pembayaran elektronik dan e-dompet mempunyai peluang yang cerah.

 

Tetapi apa yang lebih mengejutkan, Touch ‘n Go tidak turut serta dalam merebut lesen bank digital ini. Menurut Kenanga Research,  Touch ‘n Go akan menjadi pesaing yang kuat dalam merebut lesen digital ini jika mereka turut serta. Namun kenapa dan mengapa Touch ‘n Go tidak menyertai persaingan ini masih belum terjawab.

 

Peluang Meraih Keuntungan Jangka Masa Panjang

Pastinya kesemua 29 yang memohon lesen bank digital ini melihat potensi bank digital di Malaysia sangat besar. Senario dan pertumbuhan baharu yang ditawarkan  daripada segmen digital ini bagi memenuhi keperluan persekitaran norma baharu sangat meluas pada masa kini dan hadapan.

 

Bank digital yang terbesar di dunia adalah Nubank yang berpusat di Sao Paulo, Brazil, kini mempunyai sekitar 35 juta pelanggan dengan nilai kewangan sebanyak AS$25 bilion.

 

Manakala saiz pasaran aset digital di Malaysia dijangka mencecah AS$5 trilion (RM20.8 trilion) dalam dua hingga tiga tahun. Perubahan teknologi yang membawa kepada peningkatan pasaran kewangan ini.

 

Jangkaan “untung besar” inilah yang mendorong bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan kerajaan negeri untuk mendapatkan lesen bank digital.

 

 

atm
KEPERLUAN wang tunai berkurangan bila semakin banyak kedai menerima pembayaran secara dalam talian atau digital.

 

 

Apa itu bank digital?

Bank digital Malaysia dijangka akan memulakan operasi “sulung” mereka pada awal tahun 2022 nanti.

 

Masih ramai rakyat Malaysia yang masih keliru dengan bank digital ini. Adakah fungsinya sama macam bank sedia ada? Apakah aktiviti yang dijalankan? Selamat ke berurusan dengan bank digital ini? Sah di sisi undang-undang ke? Semua ini persoalan yang bermain di minda rakyat.

 

Sesuatu yang baharu pastinya menjadi tanda tanya?

Bank digital memiliki fungsi dan peranan yang hampir sama dengan bank tradisional sedia ada. Bank digital juga akan menawarkan perkhidmatan seperti deposit wang, pengeluaran, pemindahan, menyemak atau menyimpan pengurusan akaun, pengurusan pinjaman, membayar bil atau invois dan lain-lain lagi.

 

Bank digital kelihatan seperti perkhidmatan online banking dan mudah alih kerana membolehkan perkhidmatan perbankan dapat diakses di mana sahaja orang berada dengan menggunakan telefon pintar atau peranti elektronik masing-masing.

 

Jika semua sama, apa bezanya?

Bank digital menerapkan teknologi seperti sistem kecerdasan buatan dan penggunaan pelbagai Application Programming Interface (API) atau bentuk algoritma prediktif lain bersama dengan analisis data raya,

 

Bank digital boleh melaksanakan penilaian alternatif risiko kredit bagi membolehkan penyertaan kewangan yang lebih baik dan mempunyai kelebihan kos operasi rendah memandangkan kurangnya intervensi manusia.

 

Bank digital dengan lebih mudah berbanding bank tradisional kerana ia melibatkan proses perbankan tanpa kertas atau dokumen. Setiap bukti pengenalan diri, pekerjaan dan alamat yang dimuat naik di dalam bank digital akan disahkan dengan mudah dan cepat.

 

Pelanggan bank juga dapat mengakses akaun masing-masing setiap hari dan melakukan semua jenis transaksi dan “mengawal” urusan kewangan sendiri.

 

 

volatiliti

 

 

Undang-undang dan garis panduan untuk bank digital

Pelaksanaan bank digital masih tertakluk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) termasuk keperluan berkaitan yang terdiri daripada standard kehematan, pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna, dan juga pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

 

BNM telah menggariskan syarat yang perlu dipatuhi oleh bank digital seperti:

  1. Mengekalkan dana modal minimum yang tidak terjejas oleh kerugian sebanyak RM100 juta sepanjang tempoh fasa asas.
     
  2. Selepas 5 tahun beroperasi perlu mempunyai dana modal sebanyak RM300 juta.
     
  3. Had ke atas aset kumulatif yang boleh dijana tidak melebihi RM2 bilion pada tiga hingga lima tahun awal operasi.
     
  4. Mempunyai pelan keluar yang perlu ditunjukkan dalam 5 tahun operasi termasuk tanda-tanda yang berpotensi, pilihan korporat, potensi kekurangan wang dan sumber dana serta kecairan aset.
     
  5. Pengurusan risiko yang menyeluruh dan kemampuan mematuhi undang-undang.
     
  6. Mengaplikasikan teknologi yang boleh mengubah dan menaiktaraf servis kewangan termasuk penggunaan scalable dan agile tech stack.
     
  7. Akses kepada khidmat analisis pelanggan yang baik dan berkesan.
     
  8. Menunjukkan kekuatan kewangan secara berterusan.
     
  9. Mempunyai kepakaran dalam kewangan Syariah (untuk bank digital Islamik)

 

 

volatiliti

 

 

Adakah bank digital akan mengancam bank tradisional?

Dengan adanya bank digital di Malaysia tahun hadapan pasti akan membuatkan persaingan dalam landskap industri perbankan lebih sengit.

 

Adakah persaingan ini akan mengancam bank tradisional sedia ada?

Dari sudut pandang berbeza, dengan adanya bank digital ini akan membawa persaingan yang baik dan sihat kepada bank tradisional sedia ada.

 

Dalam situasi semasa, pastinya bank tradisional sedia ada perlu melakukan transformasi digital untuk memastikan peranan dan fungsi mereka kekal relevan selari dengan perkembangan teknologi terkini.

 

Penganalisis dari Bank Islam Malaysia Bhd dan HLIB Research juga berpendapat pemberian lesen bank digital oleh BNM tentunya akan merancakkan lagi persaingan di dalam industri perbankan kelak dan bukannya satu ancaman.

 

Melihat kepada apa yang berlaku di China dan Korea, selepas pelaksanaan bank digital, trajektori pertumbuhan deposit dan pinjaman dan margin faedah bersih tetap kekal kukuh, sekali gus memperlihatkan bank digital bukan ancaman utama kepada bank tradisional  dan ia boleh beroperasi bersama secara harmoni dengan bank tradisional lain

 

 

volatiliti

 

Risiko gandaan dari pelaksanaan bank digital

Bank digital yang akan memberi servis perbankan kepada sektor di mana bank tradisional kurang memberi perhatian seperti golongan “tidak layak”, dan industri kecil dan sederhana (IKS).

 

Pelanggan “tidak layak” ini kebiasaannya yang ditolak institusi kewangan sedia ada disebabkan risiko kredit yang lebih tinggi yang berkemungkinan pelanggan tidak membayar balik pinjaman. Hal ini membawa risiko kepada bank digital kelak.

 

Kesan penggandanya, kadar hutang isi rumah negara dijangka akan lebih meningkat. Ini kerana bebanan komitmen akan meningkat apabila permintaan pinjaman terus meningkat.

 

Dengan nisbah hutang isi rumah Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia paling tertinggi pernah dicapai adalah pada kadar 87.5% dan ianya boleh  menjadi faktor utama kepada kadar muflis di Malaysia.

 

Selain itu, aspek risiko ini akan turut dibebani dengan kadar pengangguran negara yang semakin meningkat iaitu pada 4.6%.

 

Pelan strategik bagi bank tradisional

Bagi bank tradisional pula, selain melakukan transformasi untuk kekal relevan,  bank tradisional perlu merangka strategi perniagaan yang lebih jitu dengan mengambil kira faktor persaingan yang kian mencabar di samping keperluan untuk mematuhi keperluan perundangan yang ditetapkan oleh BNM.

 

Bank tradisional boleh mengukuhkan peranan mereka melalui penyediaan program atau khidmat nasihat bagi tujuan keperluan dan pengurusan kewangan yang mana peranan dan fungsi ini tidak mampu diambil alih oleh bank digital.

 

 

volatiliti

 

 

Kesan positif bank digital kepada ekonomi Malaysia

Langkah strategik BNM yang berani untuk membawa perubahan dalam struktur kewangan seharusnya dipuji yang akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan terutama sumber manusia.

 

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, aset digital akan memacu ekonomi pada masa depan kerana penggunaan teknologi yang cekap mempercepatkan pertumbuhan dan produktiviti.

 

Dengan pemberian lesen bank digital dan pelaksanaannya awal tahun 2022 nanti akan membawa pelabur  memasuki pasaran dan teknologi yang akan mengubah landskap sektor perbankan di Malaysia dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI