Model Gaji Progresif bantu atau eksploitasi pekerja? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 29 Aug 2023 08:00 AM

Model Gaji Progresif bantu atau eksploitasi pekerja?

 

 

 

MALAYSIA bakal melaksanakan model gaji progresif tahun depan. Walaupun dasar ini telah diluluskan dalam kabinet, isu ini masih menjadi pertikaian pelbagai pihak sehingga hari ini.

 

Adakah model ini akan menggantikan gaji minimum? Adakah model ini betul-betul model terbaik yang akan membantu meningkatkan pendapatan rakyat atau menguntungkan majikan berskala besar semata-mata?

 

Apa itu gaji progesif?

Gaji progesif merujuk kepada sistem penggajian di mana jumlah gaji yang diterima oleh seseorang pekerja meningkat secara berperingkat selari dengan pertumbuhan ekonomi.

 

Dalam sistem gaji progresif, semakin tinggi tanggungjawab pekerja, semakin tinggi juga kadar kenaikan gaji yang mereka terima. Ini biasanya digunakan untuk memastikan bahawa pekerja yang memiliki tanggungjawab lebih besar atau pengalaman yang lebih luas mendapat ganjaran yang sesuai dengan sumbangan dan usaha mereka kepada organisasi.

 

Sistem gaji progresif juga dapat membantu mendorong motivasi dan prestasi pekerja serta memastikan adilnya pembayaran dalam organisasi.

 

Bagaimana pelaksanaan gaji progresif?

Masih banyak pihak yang agak keliru dengan gaji minimum dan model gaji progesif yang akan diperkenalkan. Gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan sebelum ini akan dikekalkan di bawah sistem gaji progresif.

 

Ini bermakna gaji minimum adalah paras yang paling asas yang akan diterima oleh pekerja. Jika pekerja itu mempunyai pengalaman dan bekerja semakin lama, gaji mereka boleh meningkatkan di bawah sistem gaji progresif ini.

 

Secara ringkasnya, gaji ini bukan “gaji mati” iaitu kekal RM1,500 sahaja.

 

Progesif jangan jadi regresif

Jika kerajaan ingin memperkenalkan sistem gaji progesif ini, kerajaan perlu mengambil kira gaji minimum yang telah diperkenalkan sebelum ini.

 

Apa yang dirisaukan jika ada majikan yang akan mengamalkan sistem gaji progesif ini dan gaji pekerja di turunkan mengikut tahap pengetahuan dan pengalaman pekerja.

 

Jika perkara ini berlaku, ini bukan progresif tetapi regresif!

 

Jika gaji minumum dikekalkan akan eksploitasi pekerja

Dari sudut pandangan berbeza, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa kerajaan agar gaji minimum tidak dikekalkan. SPCAAM menyatakan jika gaji minimum dikekalkan akan mengeksploitasi pekerja.

 

Mengeksploitasi pekerja? Langkah mengekalkan kadar minimum di bawah dasar gaji progresif yang belum diketahui butiran model atau sistem itu, menunjukkan kejayaan syarikat besar memujuk kerajaan untuk meneruskan sistem pekerjaan eksploitatif.

 

Hal ini dilihat menyumbang kepada ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan tidak mampan dan berkembang.

 

Perkasakan MASCO

Kerajaan perlu perhalusi pelaksanaan gaji progresif dan membuat timbang tara dalam gaji minimum ini. Apa yang kita tidak mahu dasar atau sistem yang dilaksanakan kelak membebankan pekerja akhirnya.

 

Jika kerajaan mahu laksanakan gaji progresif, kerajaan perlu memperkasakan garis panduan yang jelas untuk menentukan kemahiran pekerja.

 

Kementerian Sumber Manusia perlu mengariskan dengan jelas The Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) untuk menentukan jenis pekerjaan pekerja dengan peringkat pengelasan.

 

Ini kerana di Malaysia tidak semua pekerjaan yang wujud ini mengikut klasifikasi yang ditetapkan oleh MASCO. Akta 520 contohnya mempunyai perbezaan dengan ketetapan di dalam MASCO.

 

Diskriminasi dan kesenjangan gaji

Jika  tiada garis panduan yang jelas untuk menentukan kemahiran pekerja dalam sistem gaji progresif terutama jika kriteria penilaian subjektif melibatkan pekerjaan pekerja dengan peringkat pengelasan akan membawa  kepada  bias atau diskriminasi yang tidak disedari.

 

Kesenjangan gaji akan berlaku  apabila terdapat perbezaan ini tidak dapat dijelaskan  dalam pengelasan  dan faktor-faktor lain seperti tanggungjawab, pengalaman, atau produktiviti yang sepatutnya mempengaruhi gaji.

 

Terdapat beberapa pekerjaan yang sukar untuk ditentukan tahap kemahirannya. Oleh itu, kerajaan harus bersedia untuk menentukan kemahiran terbabit kerana ia akan membawa kepada kenaikan gaji yang progresif.

 

Model gaji progresif pelengkap sistem gaji ideal

Walaupun perbagai dimensi berkaitan dengan model gaji progresif ini, sebenarnya model gaji progresif bukanlah untuk menggantikan model gaji minimum yang telah dilaksanakan di Malaysia, sebaliknya ia perlu menjadi pelengkap kepada satu sistem gaji yang ideal.

 

Jika sebelum ini, gaji minimum yang diguna pakai dalam sistem upah di Malaysia membolehkan majikan seolah-olah menetapkan gaji RM1,500 sebagai gaji minimum pekerja tanpa memikirkan berapa lama pekerja itu berkerja atau pengalaman yang mereka ada.

 

Majikan juga agak selesa dengan kadar gaji minimum ini. Dengan situasi semasa yang kos sara hidup yang semakin meningkat adalah wajar model gaji progesif ini diperkenalkan.

 

Model gaji progesif lebih adil

Kerajaan perlu memastikan model gaji progesif yang bakal dilaksanakan kelak lebih adil kerana ia membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dan kemajuan kerjaya. Model gajii progresif ini perlu memberi laluan kerjaya berdasarkan tingkat pengalaman dan kemahiran bagi mengimbangi kehendak majikan dan pekerja.

 

Bagi  majikan perlu meningkatkan produktiviti bersama-sama dengan kenaikan gaji. Dengan peningkatan produktiviti akan menghasilkan output yang lebih baik, lebih banyak keuntungan, dan seterusnya mengimbangi kos peningkatan gaji.

 

Apabila  mencapai situasi ini yang peningkatan produktiviti yang diterjemah kepada keuntungan. Kedua-dua pihak memperoleh manfaat melalui peningkatan gaji yang adil.

 

Secara tuntasnya, dasar gaji progresif ini adalah usaha untuk membantu Malaysia muncul negara yang berdaya saing dan mencapai status negara berpendapatan tinggi, sejajar kerangka Ekonomi MADANI.

 

Model gaji progesif bukan “alat” tangani kos sara hidup

Walaupu kelak kerajaan akan memperkenalkan model gaji progesif yang dilihat  bakal memberi keadilan kepada rakyat tetapi perlu diingat, ini bukan jalan penyelesaian kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

 

Tidak dinafikan peningkatan jumlah pendapatan rakyat sedikit sebanyak mengurangkan bebam rakyat tetapi ini bukan “alat” tangani kos sara hidup rakyat yang tinggi buat masa ini.

 

Kerajaan masih lagi perlu mengambil tindakan dalam mengawal kos barang-barang keperluan yang naik sangat tinggi buat masa ini. Permasalahan asas kepada peningkatan sara hidup perlu dimuktamadkan juga, bukannya mengalih penyelesaian masalah kepada isu lain. - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa