Moga IPR Tidak Sekadar Indah Khabar Dari Rupa
MELEWATI melewati suku tahun pertama 2023 ini, kos sara hidup yang masih tinggi masih membimbangkan rakyat. 100 hari pemerintahan Kerajaan Perpaduan masih belum mampu untuk mengawal harga barang dan menurunkan kos sara hidup rakyat.
Setelah lebih 60 tahun merdeka, jumlah golongan miskin tegar masih lagi tinggi dengan 136,000 isi rumah sementara 308,000 lagi isi rumah dalam kategori miskin. Ini sesuatu yang agak memalukan buat negara yang masih tidak mampu menyelesaikannya.
Negara pernah ada dasar bagi isu kemiskinan ini iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1990) oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak dengan matlamat mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan masih lagi gagal!
Adakah nasib golongan ini akan dibela oleh kerajaan Malaysia Madani? Adakah matlamat asal DEB akan berjaya kita capai?
Tegakkan keadilan sosial
Malaysia Madani gagasan Anwar Ibrahim yang mahu menegakkan keadilan sosial diharap agar benar-benar menegakkan keadilan sosial ini terutamanya membantu golongan miskin di Malaysia.
Jika benar keadilan sosial ini berjaya ditegakkan, pastinya golongan miskin dan miskin tegar di Malaysia akan “berubah nasib”. Namun begitu, kejayaan Malaysia Madani dan keadilan sosial impian Anwar Ibrahim ini masih belum boleh kita lagi.
Apa pun, sebagai rakyat, kita tetap menyokong dan menyambut baik untuk menegakkan keadilan sosial ini terutamanya bagi golongan miskin dan miskin tegar di Malaysia.
Miskin tegar kumpulan terdesak
Kumpulan miskin tegar di Malaysia merupakan kumpulan yang terdesak demi kelangsungan hidup.
Golongan miskin tegar merujuk kepada individu yang berpendapatan bulan isi rumah kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM500 dan pendapatan per kapita sebanyak RM100.
Miskin tegar juga boleh termasuk dalam golongan rentan yang terdiri daripada wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU), orang miskin dan belia.
Kategori miskin ialah pendapatan ketua isi rumah (KIR) kurang daripada RM980 sebulan dan untuk miskin tegar pula mesti kurang daripada RM560 sebulan.
Dengan pendapatan yang kurang RM1,000 ini, bayangkan bagaimana golongan miskin tegar ini mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Menoktahkan Miskin Tegar
Dalam pembentangan bajet Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sebanyak RM750 juta bagi membantu golongan B40 dan miskin tegar.
Secara atas kertas, ia sesuatu yang sangat baik bagi golongan miskin dan miskin tegar ini. Namun adakah pelaksananya benar-benar mampu untuk membantu golongan ini masih belum dapat kita pastikan.
Model IPR
Dijangka IPR akan melibatkan 3 Model utama iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
- INTAN adalah inisiatif untuk merekrut golongan sasar yang berminat dalam pertanian dengan memilih hasil tanaman yang tinggi dalam jumlah import seperti cili, halia dan jagung.
- INSAN adalah inisiatif bagi menyasar golongan sasar menjual makanan umum pada harga rendah, menerusi perniagaan mesin vending yang mampu meningkatkan jualan melalui penambahan lokasi tumpuan.
- IKHSAN adalah inisiatif merekrut golongan sasar yang berminat untuk bekerja sebagai pekerja pembersihan, sekali gus mampu mengatasi masalah kekurangan buruh bagi menyelenggara beberapa kemudahan awam.
IPR perlu fokus jana pendapatan rakyat
IPR perlu lebih fokus kepada bagaimana untuk menjana pendapatan rakyat. Jika sebelum ini banyak inisiatif dan bantuan dalam menyediakan alatan, mesin dan kelengkapan untuk memulakan perniagaan dan lain-lain lagi, namun begitu peratusan yang berjaya keluar dari kumpuan miskin tegar terlalu rendah.
Menerusi INTAN, INSAN dan IKHSAN ini, bagaimana IPR boleh membantu miskin dan miskin tegar ini bekerja dan menjana pendapatan.
Jangan sekadar indah khabar dari rupanya
Bagi memastikan IPR dan usaha membasmi kemiskinan berjaya, kerajaan perlu menumpukan perhatian terhadap tiga aspek iaitu pembangunan kawasan luar bandar, pengukuhan dasar perlindungan sosial serta memantapkan jentera kerajaan dalam pengurusan kebajikan masyarakat.
Kita tidak mahu apa yang dirancang sekadar indah khabar dari rupa sahaja. Biarlah kali ini ia betul-betul membantu golongan ini!
Risiko tergelincir semula ke miskin tegar
Membantu golongan ini menjana pendapatan melalui pekerjaan adalah lebih baik bagi situasi semasa. Bukan kita tidak mahu mereka berusaha melalui perniagaan. Dari pemerhatian semasa, memang banyak inisiatif kerajaan terdahulu untuk membantu golongan miskin tegar ini “ tidak berjaya”. Ibarat “hangat-hangat tahi ayam”!
Semua inisiatif dan bantuan yang diberikan tidak dipantau sebaik-baik mungkin. Akhirnya apa yang terjadi, golongan ini tergelincir semula ke kategori miskin tegar kerana tidak mampu menjana pendapatan walaupun pelbagai inisiatif dan bantuan yang telah diberikan.
Contoh negara lain basmi kemiskinan
Kerajaan Perpaduan boleh juga melihat bagaimana negara China membasmi kemiskinan mereka. Apa yang dibuat oleh negara China dengan memastikan kebajikan untuk rakyatnya dijaga dan penekanan kepada aspek tadbir urus sosial yang menumpu kepada usaha membanteras kemiskinan turut diberikan.
Strategi ini tertumpu kepada pengurusan di peringkat lokal dengan menyasarkan perkampungan atau kawasan miskin. Pasukan terlibat dalam rangkaian pembasmian kemiskinan digerakkan di setiap lokaliti dan bekerjasama dengan masyarakat tempatan bagi memudah cara pengurusan kemiskinan.
Liberalisasi Pendidikan perlu disegerakan
Selain itu, antara pelan jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu miskin dan miskin tegar adalah liberalisasi pendidikan kepada golongan ini.
Mahu pun pahit untuk ditelan, hakikatnya kebanyakan golongan ini tidak mendapat pendidikan yang baik.
Dengan adanya pendidikan, golongan ini boleh mendapatkan pekerjaan yang baik bagi menjana pendapatan.
Jika liberalisasi pendidikan dapat diangkat kepada golongan ini, pastinya dalam tempoh jangka masa panjang, masalah miskin tegar ini dapat diselesaikan. Ia bukan klise! - DagangNews.com