Negara kerugian RM70 bilion daripada ekonomi bayangan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 21 November 2023

Negara kerugian RM70 bilion daripada ekonomi bayangan

 

 

 

RANGKA Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2023-2025 diunjurkan kepada pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 4.7%  sementara sebelum ini MTFF 2022-2024 diunjurkan sebanyak 5.5%.

 

Kerajaan perlu mempertimbangkan langkah dasar dan inisiatif pembaharuan untuk membina semula penampan fiskal dan mengukuhkan kewangan kerajaan.

 

Sasaran defisit fiskal pada 2023 akan berkurangan kepada 5.0%  sejajar dengan mengambil kira prospek ekonomi global yang lembap dan aktiviti ekonomi domestik yang lebih baik.

 

Kutipan cukai dijangka menjadi sumber utama hasil pada 2023, dengan jangkaan meningkat sebanyak 4.6% kepada RM218.3 bilion, didorong oleh kutipan yang lebih tinggi daripada cukai langsung  sebanyak RM153.5 bilion pada tahun 2022 yang lalu. Kutipan cukai juga diimbangi oleh kutipan yang rendah sedikit daripada cukai tidak langsung sebanyak RM55.3 bilion pada tahun 2022.

 

Cukai sumber pendapatan utama

Cukai menjadi sumber pendapatan utama Kerajaan.  Namun begitu banyak juga cukai yang tidak dapat di kutip.

 

Negara dianggarkan kehilangan kira-kira RM70 bilion setiap tahun dalam bentuk hasil cukai daripada aktiviti perniagaan yang tidak didaftarkan dan kegiatan haram, dikenali sebagai ekonomi bayangan.

 

Apa itu ekonomi bayangan?

Ekonomi bayangan ini digunakan bagi menggambarkan ekonomi bawah tanah,ekonomi yang tidak mematuhi perundangan,ekonomi tersembunyi, grey economy, black economy, ekonomi berasaskan tunai ataupun ekonomi tidak formal.

 

Menurut pakar kriminologi Datuk Seri Akhbar Satar pula, ekonomi bayangan yang digelar juga sebagai ekonomi bawah tanah atau underground economy  berkait dengan aktiviti jenayah, termasuk penyeludupan senjata, tembakau, dadah, pelacuran, perjudian haram, pemalsuan pasport serta penyeludupan manusia

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)  ekonomi bayangan ini agak sukar ditentukan. Kebiasaannya, individu ataupun perniagaan yang terlibat di dalam aktiviti ini akan memastikan mereka tidak dapat dikesan oleh agensi penguatkuasa.

 

Jenis-jenis  ekonomi bayangan

Secara umum ekonomi bayangan terdapat dua kategori iaitu yang aktiviti yang sah di sisi undang-undang dan aktiviti yang tidak sah di sisi undang-undang. Mungkin kita pening nak bezakan apakah yang sah atau tak di sisi undang-undang bagi ekonomi bayangan ini.

 

  • Aktiviti ekonomi bayangan yang sah di sisi undang-undang

Individu ataupun perniagaan di bawah kategori ini, kebiasaannya patuh dengan undang-undang untuk menjalankan perniagaan mereka seperti mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan memperoleh lesen PBT tetapi tidak mematuhi undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan.

 

  • Aktiviti ekonomi bayangan yang tidak sah di sisi undang-undang

Kebanyakan aktiviti bagi kategori ini melibatkan aktiviti jenayah. Aktiviti ini juga tertakluk kepada penguatkuasaan di bawah Akta Cukai Pendapatan. Contoh aktiviti bagi kategori ini adalah seperti aktiviti penyeludupan di sempadan negara, pengubahan wang haram, perjudian haram, pengedaran dadah, kelab-kelab malam yang tidak berdaftar dan juga pemerdagangan manusia berasaskan tunai ataupun ekonomi tidak formal

 

Negara kerugian 70 bilion daripada ekonomi bayangan

Menurut Kementerian Kewangan Malaysia, hasil cukai pendapatan merupakan hasil utama negara yang menyumbang kepada 50% ke 55% pendapatan negara  setiap tahun.

 

Negara dianggarkan kehilangan kira-kira RM70 bilion setiap tahun dalam bentuk hasil cukai daripada ekonomi bayangan. Ia satu jumlah yang besar.

 

Jumlah itu kira-kira 20%  daripada anggaran keseluruhan pendapatan ekonomi bayangan bernilai RM350 bilion setahun. Nilai itu adalah 30% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Bank Negara perlu tegas

Bank Negara Malaysia (BNM) perlu tegas bagi memastikan integriti sistem kewangan negara dilindungi daripada kegiatan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan yang mana tergolong sebagai aktiviti ekonomi bayangan.

 

 Antara langkah yang boleh  dilaksanakan BNM termasuk mengekang salah guna tunai, memperkukuhkan penguatkuasaan, meningkatkan pengawasan dan merapatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan dan institusi kewangan.

 

Terdahulu BNM telah cuba untuk mengekang salah guna tunai apabila BNM mengurangkan keperluan bagi Laporan Paras Siling Tunai (CTR) harian daripada RM50,000 kepada RM25,000.

 

Selain itu BNM juga telah mengenakan had transaksi tunai (CTL) dan menjalankan konsultasi awam mengenai had transaksi yang sesuai. Tindakan ini bagi memastikan aktiviti penggubalan wang haram dapat dibendung.

 

Mantapkan Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang

Kerajaan boleh memantapkan Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang bagi menangani aktiviti ekonomi bayangan ini dalam penggubalan wang haram.

 

Kerajaan menerusi BNM boleh menggunakan “big data” untuk membuat analisa dan seterusnya boleh meningkatkan pengawasan risiko penggubalan wang haram dan pembiayaan keganasan.

 

Dengan  kawal selia yang berkesan kepada semua perniagaan perkhidmatan wang dan melaporkan semua transaksi kiriman wang oleh perniagaan perkhidmatan wang berlesen boleh membantu mengesan aktiviti ekonomi bayangan yang tidak sah di sisi undang-undang ini.

 

Kerajaan perlu bekerjasama dengan dengan pihak swasta untuk membenarkan unit perisikan kewangan, agensi penguatkuasaan undang-undang dan institusi pelaporan untuk memanfaatkan kerjasama risikan dan perkongsian maklumat untuk mengesan jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan.

 

Impak negatif kepada ekonomi negara

Kerajaan perlu memandang serius kepada ekonomi bayangan ini. Jika ekonomi bayangan ini tidak dikawal, ia boleh menyumbang kepada kehilangan pendapatan yang sepatutnya yang diterima oleh kerajaan.

 

Kesan berganda daripada kekurangan pendapatan bagi kerajaan boleh mengheret kesan kepada ekonomi negara apabila  perbelanjaan awam kerajaan juga akan terjejas.

 

Ekonomi bayangan juga boleh menjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan. Ekonomi bayangan juga akan menggangu perkembangan yang mapan.

 

Akhirnya kesan ekonomi bayangan termasuk kurangnya akses kepada pembiayaan formal, perlindungan sosial, dan pembangunan modal insan yang penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan bagi masa panjang. - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

 

 

Portfolio Tags