Pemanasan Global heret kerugian besar
PASTINYA ramai mengeluh cuaca yang sangat panas. Cuaca panas ini dijangka berpanjangan. Fenomena cuaca yang panas ini diberi nama El Niño.
El Niño merupakan fenomena fasa berlawanan putaran iklim semula jadi yang dikenali sebagai Getaran Selatan El-Nino (El Nino-Southern Oscillation - ENSO).
Fenomena lautan-atmosfera ini merujuk kepada perubahan besar kepada suhu permukaan laut merintangi timur pasifik tropika
El Niño menyebabkan pemanasan air permukaan di timur Lautan Pasifik yang mengubah arus udara dan air di seluruh dunia.
Pastinya kita semua tahu, kesan El Niño atau panas ini kepada manusian secara umumnya. Namun begitu, El Niño juga mengheret kesan kepada ekonomi dan beban kewangan.
Sejarah kesan El Niño terhadap ekonomi
Sejarah El Niño pada1982 hingga 1983 dan 1997 hingga 1998 telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan dek kerana kesan El Niño ini.
Satu kajian yang dijalankan oleh penyelidik di Dartmouth College Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan dalam jurnal Science yang mengkaji aktiviti ekonomi global dalam beberapa dekad mendapati ekonomi global merosot sehingga AS$4.1 trilion pada tahun 1983 dan AS$5.7 trilion pada 1997 dalam setengah dekad selepas setiap peristiwa El Niño.
Jangkaan kerugian kepada ekonomi global semasa
Fenomena El Niño yang melanda duni kini pada tahun 2023 ini juga bakal membawa kesan yang berpanjang. Mengambil kira sejarah El Niño yang berlaku pada tahun 1982 dan 1997, kesan El Niño itu sehingga 5 tahun selepas kejadian itu.
Ramai juga ahli ekonomi menjangkakan yang fenomena El Niño 2023 ini bakal menjejaskan ekonomi global dan membawa kerugian.
Penyelidik, Justin Mankin dan Christopher Callahan mengunjurkan bahawa kerugian ekonomi global untuk abad ke-21 dianggarkan berjumlah AS$84 trilion akibat El Niño ini.
Kegagalan Perjanjian Iklim Paris
Jika ia tidak mampu diselesaikan, pastinya kerugian yang besar bakal berlaku. Perjanjian Iklim Paris sepatutnya boleh membantu untuk menyelesaikan isu ini.
Namun apa yang berlaku? Walaupun ada Perjanjian Iklim Paris, pemanasan global terus berlaku dan meningkat. Adalah kandungan Perjanjian Iklim Paris tidak menekankan isu utama pemanasan global?
Kandungan Perjanjian Iklim Paris
Perjanjian Iklim Paris adalah sebuah perjanjian dalam Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang berurusan dengan pengurangan pelepasan gas rumah hijau, adaptasi serta kewangan yang berkaitan bermula pada tahun 2020.
Antara tujuan utama perjanjian ini ialah:
Menjaga peningkatan suhu global di bawah 2 darjah celsius berbanding tahap pra-industri, dengan usaha-usaha untuk menghadkan kenaikan suhu hingga 1.5 darjah celsius.
Meningkatkan keupayaan negara-negara untuk menyesuaikan diri terhadap kesan perubahan iklim dan memperkuatkan ketahanan terhadap ancaman iklim.
Meningkatkan aliran kewangan dan teknologi dan peralihan kapasiti kepada negara-negara berkembang untuk memudahkan usaha dalam mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan menangani perubahan iklim.
Kurangnya komitment dan kekurangan dana
Isi kandungan Perjanjian Iklim Paris ini sudah cukup baik jika dapat dilaksanakan. Perjanjian ini gagal dilaksanakan dengan baik adalah kerana kurangnya komitmen di antara negara-negara peserta. Negara-negara di dunia gagal mengurangkan pelepasan gas rumah kaca yang kini akibatnya menyebabkan dunia semakin panas.
Walaupun ada sasaran yang ditetapkan kepada negara peserta Perjanjian Iklim Paris, namun negara ini gagal mencapai sasaran yang ditetapkan. Ada juga negara peserta yang menarik diri kerana ketidakmampuan mencapai sasaran yang ditetapkan.
Antara faktor lain, kegagalan perjanjian ini ialah masalah kewangan dan pembiayaan. Untuk menerokai pasaran baharu dalam perubahan iklim ini memerlukan dana atau satu pelaburan yang besar.
Tidak dinafikan, banyak negara peserta perjanjian ini tidak mampu. Namun ia bukan alasan untuk tidak menepati apa yang disasarkan dalam perjanjian ini.
Kajian 100 halaman Kewangan dan Tindakan Iklim
Terbaru, satu kajian dan analisa tentang pemanasan global ini telah dihasilkan. Analisa setebal 100 halaman yang bertajuk 'Kewangan untuk Tindakan Iklim' dilakukan bagi membentuk strategi dan pelan tindakan pelaburan bagi menghijaukan ekonomi global secara pantas.
Kajian ini dilihat ke arah memenuhi matlamat Perjanjian Iklim Paris terutamanya berkaitan mengehadkan kenaikan suhu global kepada bawah 2 darjah celsius dan sebolehnya pada 1.5 darjah celsius.
Kajian dan analisa juga menekankan tentang pelaburan yang diperlukan merentasi pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang mendorong pemanasan (mitigasi), menyesuaikan diri dengan kesan iklim masa depan (adaptasi), dan memberi pampasan kepada negara miskin serta rentan atas kemusnahan sudah berlaku yang tidak dapat dielakkan yang gagal dilaksanakan dalam Perjanjian Iklim Paris.
Perlukan RM9.48 trillion bagi hentikan pemanasan global
Bagi mengekang pemanasan global ini, negara membangun dan sedang membangun memerlukan pelaburan lebih AS$2 trilion (RM9.48 trilion) setiap tahun menjelang 2030.
Ini satu jumlah yang sangat besar yang perlu diperuntukan oleh negara membangun dan sedang membangun dalam menangani isu pemanasan global ini.
Dunia perlu serius dalam memikirkan apakah cara terbaik dalam menguruskan hal ini kerana bagi menghentikan pemanasan global ini, ia memerlukan sumber kewangan yang besar.
Negara kaya jangan pentingkan diri
Negara-negara kaya janganlah terlalu mementingkan diri sendiri sahaja demi kepentingan mereka. Negara-negara kaya boleh membantu untuk melabur dalam isu pemanasan global ini.
Mereka perlu melihat kebelakang semula, selama ini negara kaya dan maju ini melakukan pembangunan ekonomi mereka dengan melakukan pelepasan gas yang tinggi dan akhirnya hari ini kesan jangka masa panjang yang dunia hadapi ialah pemanasan global.
Bukan untuk menunding jari kepada negara kaya ini, tetapi, mereka perlu sama-sama kini untuk melabur dalam tindakan iklim di pasaran baharu.
Sumber kewangan ini penting untuk pasaran baharu serta negara kaya menyokong tindakan memulihkan tanah dan alam semula jadi, selain bagi melindungi serta bertindak balas terhadap kerugian dan kerosakan akibat kesan perubahan iklim.
Ini satu isu global, semua negara perlu sama-sama berganding bahu bagi menangani isu ini! - DagangNews.com