Peranan genting Khazanah bantu pulihkan Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 15 Jun 2022 07:38 AM

Peranan genting Khazanah bantu pulihkan Malaysia

 

 

 

Khazanah Nasional Berhad dijangka membahagikan tumpuannya untuk suntikan kepada ruang pertumbuhan baharu serta pengukuhan sektor-sektor yang menjadi elemen penting dalam ketahanan negara.

 

Lebih-lebih lagi sekarang ketika negara keluar daripada pandemik dan berdepan pula dengan inflasi global.

 

Khazanah sedang mengatur strategi untuk mengukuhkan pelaburannya di samping peranan hakikinya untuk meningkatkan nilai dana dan turut memikirkan bagaimana mereka dapat membantu memajukan Malaysia.

 

Sebanyak RM6 bilion diperuntukkan kepada sektor-sektor yang dapat membangunkan Malaysia. Khazanah akan memberi tumpuan kepada berkaitan perkhidmatan penjagaan kesihatan, keselamatan tenaga, sekuriti makanan dan pendidikan  untuk menambah dan memperkuat daya tahan negara berdepan sebarang kemungkinan masa hadapan.

 

Bagi membantu bangunkan semula negara, Khazanah sendiri perlu menguatkan kedudukannya. Ibarat, “jika lagi kaya, lagi senang nak membantu”

 

Kenali Khazanah Nasional

Khazanah Nasional Berhad merupakan dana kekayaan negara Malaysia yang diamanahkan untuk menyampaikan nilai mampan untuk rakyat Malaysia.

 

Selaras dengan strategi jangka panjang memajukan Malaysia, Khazanah menyasarkan untuk mencapai tujuannya dengan melabur dalam sektor pemangkin, mencipta nilai melalui pengawasan aktif, meningkatkan kehadiran globalnya, serta membina kapasiti dan komuniti yang bertenaga untuk manfaat rakyat Malaysia.

 

Kejayaan Khazanah Merentas Portfolio

Walaupun berhadapan tahun yang mencabar, pada tahun 2021, Khazanah telah mencatatkan beberapa kejayaan ketara merentas portfolio, kewangan dan kapasiti organisasi. Antaranya ialah:

  1. Jumlah Nilai Aset Bersih (“NAV”) meningkat daripada RM79 bilion kepada RM86 bilion pada 2021
  2. Dana Komersial 2021 Kadar Pulangan Berwajaran Masa ("TWRR") NAV 19.0% – melebihi sasaran Indeks Harga Pengguna + 3.0%
  3. Mengambil langkah untuk mengekalkan nilai aset – termasuk menyelesaikan proses penstrukturan semula Malaysia Aviation Group
  4. Mencatatkan keuntungan RM670 juta dengan bayaran dividen RM2 bilion untuk 2021
  5. Membangunkan strategi kemampanan menyeluruh, Prinsip Panduan dan mengenal pasti isu utama ESG untuk Khazanah
  6. Pelaksanaan selanjutnya inisiatif pendigitalan dan penggunaan platform teknologi baharu
  7. Nilai teras yang diperbaharui dilaksanakan di seluruh organisasi
     

 

khazanah

 

Melabur dalam Peralihan yang Mampan 2022

Khazanah  melancarkan rangka kerja dan sasaran jangka sederhana berkaitan kemampanan yang akan menjadi panduan baginya serta syarikat-syarikat pelaburan utama miliknya untuk menghasilkan nilai mampan dalam perniagaan teras masing-masing.

 

Rangka Kerja Kemampanan Khazanah digubal secara holistik dan mengambil kira tiga pertimbangan utama ESG serta menumpukan kepada isu yang memberi kesan paling ketara kepada perniagaan daripada perspektif organisasi dan portfolio.

 

Untuk melaksanakan suatu tindakan yang koheren berkaitan kemampanan, Khazanah akan mengguna pakai pendekatan yang menyeluruh merangkumi segala aspek berkaitan tindakan yang kami ambil sebagai pelabur yang bertanggungjawab, organisasi yang mampan serta warga korporat yang baik.

 

Kemampanan akan diterapkan dalam setiap tindakan Khazanah daripada cara menguruskan pelaburan, kepada kaedah beroperasi sebagai sebuah firma, sehinggalah kepada pendekatan dalam menyokong dan menyumbang kepada objektif pembangunan masyarakat  dan bertanggungjawab ke arah masa depan yang mampan untuk Malaysia.

 

Polisi Pelaburan Bertanggungjawab (RI) perlu dikemas kini

RI ini adalah untuk menggariskan prinsip dan komitmen Khazanah berkaitan pelaburan bertanggungjawab. “Pelaburan bertanggungjawab” adalah pelaburan yang bertujuan untuk menjana pulangan kewangan sambil menguruskan risiko dengan lebih baik serta menjana nilai jangka panjang yang mampan. Polisi ini menjadi asas kepada falsafah pelaburan kami dalam Penyata Polisi Pelaburan.

 

RI ini perlu dikemas kini dari semasa ke semasa selari dengan usaha untuk menambah baik pendekatan dengan mengambil kira pertimbangan tadbir urus, alam sekitar, dan sosial dalam proses penghasilan keputusan pelaburan dalam pelbagai sektor dan kelas aset.


 

volatiliti

 


Perlu  fokus kepada integrasi ESG merentasi aktiviti pelaburan

Bagi menjamin pencapaian yang baik bagi tahun 2022, Khazanah perlu fokus kepada integrasi ESG dalam merentasi semua aktiviti pelaburan yang dibuat.

 

Prinsip pelaburan yang berteraskan kepada faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dapat menyumbang kepada peningkatan pengurusan risiko dan menjana pulangan jangka panjang secara mampan.

 

Syarikat yang mempertimbangkan dan bertindak balas terhadap persekitaran operasi ini menerusi pertimbangan ESG akan memastikan keperluan masa kini tidak akan menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka dan menjadi lebih mampan dan berprestasi tinggi dalam jangka masa panjang.

 

Sasaran Kemampanan Khazanah

Khazanah perlu mengenal pasti “Pelaburan Mampan dan Kemampanan Perusahaan” sebagai dua bidang tindakan utama untuk membantu mencapai sasarannya.

 

Melalui Pelaburan Mampan, Khazanah perlu menerapkan pertimbangan ESG dalam proses pembuatan keputusan pelaburannya dan pengawasan semua syarikat pelaburannya. Selain itu, melalui Dana Impak, Khazanah perlu melabur secara aktif dalam sektor pemangkin yang akan membantu membina daya tahan negara dan menghasilkan manfaat sosio-ekonomi kepada negara.

 

Ini termasuk tema sekitar membina daya tahan iklim dan menyediakan peluang pekerjaan yang baik dan bermaruah, serta mobiliti sosial untuk rakyat.

 

Pada masa yang sama, melalui pendekatan Kemampanan Perusahaan, Khazanah perlu menerapkan kemampanan dalam operasi hariannya melalui pengurusan penggunaan tenaga, corak penggunaan bahan serta amalan perjalanan yang lebih baik.


 

volatiliti

 


Tanggungjawab lindungi aset semula jadi

Selain “mengatur” Strategi dalam memampankan pelaburan, Khazanah juga boleh bertanggungjawab dalam melindungi aset semula jadi negara serta melindungi alam sekitar untuk generasi hari ini dan akan datang.

 

Khazanah boleh secara aktif menilai cara amalan kerja yang lebih baik serta inisiatif pembiayaan dan projek yang menyediakan pengimbangan karbon.

 

Jika hal ni boleh dilakukan oleh Khazanah, ia selari dengan sasaran untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan akan berusaha mencapai operasi neutral karbon menjelang 2023.

 

Khazanah dan pertimbangan sosial

Dalam membangunkan semula negara, Khazanah perlu sasarkan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi semua kumpulan berkepentingan dengan mengambil kira bagaimana keputusan perniagaan mempengaruhi pelanggan, pekerja, pembekal, kontraktor dan komuniti.

 

Terdahulu Khazanah cukup komited terlibat program sosial kebangsaan seperti:

  • Yayasan Hasanah mengedarkan 152,000 peranti elektronik kepada pelajar di 1,324 sekolah
  • Khazanah menyumbang RM25 juta kepada CERDIK, dan menghantar 208 peranti ke sekolah di Kedah dan Kuala Lumpur melalui kutipan derma kakitangan
  • Kakitangan Khazanah menyumbang RM180,000 kepada Mercy dan RM70,000 kepada Malaysian Relief Agency
  • Yayasan Hasanah menyerahkan bantuan COVID-19 sebanyak RM455 juta (termasuk sumbangan daripada GLC lain)
  • Khazanah menyumbang RM5 juta untuk bantuan mangsa banjir, dan YH menyumbang RM2.5 juta
  • GLC/GLIC Disaster Response Network (GDRN) mengumpul RM63 juta; 62,000 orang dibantu,  1,144 sukarelawan berikan khidmat  dan  20 rakan GLC/GLIC
  • 7,060 peserta diberikan latihan dan penempatan jangka pendek di GLC di bawah skim Khazanah My-Step.


 

hasanah

 


Bagi membangunkan semula negara, Khazanah perlu terus terlibat sama dalam membantu kepada kegiatan sosial ini bagi kesejahteraan sosio-ekonomi masyarakat dan rakyat.

 

Tuntasnya, Khazanah perlu kukuh pelaburannya untuk jangka masa panjang bagi bangunkan negara tidak kira dari aspek ekonomi, alam sekitar mahukan sosial.

 

Moga 2022 dan ke hadapan, menjadi tahun yang lebih baik buat Khazanah mengukuhkan pelaburannya!  - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Cawangan Segamat, Johor

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI