Perdagangan karbon: Apa sasaran Malaysia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 22 August 2023

Perdagangan karbon: Apa sasaran Malaysia?

 

 

 

CUACA panas yang berlaku kini bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), suhu dunia berkemungkinan besar akan melepasi had suhu yang ditetapkan dalam tempoh 5 tahun akan datang.

 

Pemanasan global ini  menjadi agenda utama dunia kini dan membawa negara-negara dunia berikrar dalam Perjanjian Iklim Paris untuk mengehadkan pemanasan global kepada di bawah angka 2 darjah Celsius.

 

Berdasarkan komitmen negara-negara di dunia tentang isu pemanasan global ini, perdagangan karbon dilihat sebagai salah satu solusi kepada isu ini kepada dunia.

 

Apa itu perdagangan karbon?

Perdagangan karbon adalah proses membeli dan menjual hak untuk mengeluarkan atau menyerap sejumlah tertentu gas rumah kaca, terutamanya karbon dioksida (CO2).

 

Perdagangan karbon merupakan salah satu cara untuk mengurangkan kesan negatif kepada perubahan iklim.


 

volatiliti

 

Tujuan perdagangan karbon dilakukan

Perdagangan karbon dilihat sebagai satu usaha untuk mendorong pengurangan emisi gas rumah kaca dengan memberi insentif kewangan kepada entiti yang berjaya mengurangkan emisi rumah kaca.

 

Perkara ini penting dalam usaha global dalam mengurangkan impak kepada perubahan iklim. Menerusi mekanisme ini, entiti yang tidak mencapai sasaran emisi boleh membeli “karbon kredit” dari entiti yang telah mencapai penurunan emisi melepasi sasaran mereka. 

 

Punca kuasa perdagangan karbon melalui Protokol Kyoto

Protokol Kyoto merupakan satu pakatan oleh negara-negara semasa Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kyoto pada tahun 1997 untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

 

Terdapat beberapa mekanisme yang dipersetujui dalam Protokol Kyoto dalam isu pelepasan gas rumah hijau ini antaranya ialah:

 

  1. Joint Implementation (JI)

Mekanisme ini melibatkan kerjasama sesama negara maju di dalam usaha mengurangkan emisi GHG ke udara.

 

  1. Clean Development Mechanism (CDM)

Negara maju boleh bekerjasama dengan negara membangun dan membiayai projek mengurangkan emisi GHG ke udara.

 

  1. International Emmision Trading (IET)

Mekanisme ini membenarkan mana-mana negara, individu atau organisasi untuk melakukan perdagangan “karbon kredit”. Negara yang mempunyai lebihan karbon kredit boleh menjualnya kepada mana-mana negara yang mempunyai komitmen untuk mengurangkan emisi GHG.


 

volatiliti

 


Bagaimana kredit karbon boleh jadi satu perniagaan?

Kredit karbon merupakan kaedah di mana sesebuah negara mempunyai kadar tertentu yang dibenarkan untuk melepaskan gas karbon dioksida ke udara.

 

Harga permit pelepasan karbon dioksida dikira dalam unit tan metrik. Harganya pula sama seperti harga saham atau komoditi yang bergantung kepada permintaan dan pengeluaran.

 

Anggaran harga CO2

Secara asasnya, anggaran harga 1 unit Certificate Emission Reduction (CER) = 1 ton CO2 emission. Harga 1 unit CER sememangnya bergantung kepada tawaran dan permintaan.

 

Anggaran kasar harga  CER adalah seperti berikut:

1 unit CER = 1 Ton C/Ha.
1 unit CER berharga AS$6.50 atau (x RM4.20) = RM27.50.

Namun harga yang sebenar berdasarkan permintaan dan penawaran semasa.

 

Bagaimana negara boleh berniaga kredit karbon?

Konsep asasnya yang perlu kita harus faham bahawa semua tumbuhan akan melalukan proses fotosintesis untuk membuat makanan bagi proses tumbesaran. Semasa proses fotosintesis ini, CO2 diserap dari udara dan kemudian disimpan di dalam tumbuhan yang di panggil “stok karbon”.

 

Pokok yang ditebang, dibakar dan sebagainya, stok karbon ini akan terlepas ke udara melalui proses pereputan dan pembakaran tetapi  jika pokok ini disimpan, stok karbon akan kekal bahkan akan bertambah seiring dengan saiz pokok tersebut.

 

Malaysia mempunyai banyak kawasan hutan yang boleh menyimpan stok karbon. Secara asasnya 1,000 hektar hutan boleh menyerap  sekitar 400-500 ton CO2 per ha setahun. Daripada jumlah ini, 50% akan disimpan dalam bentuk karbon kredit. Dari jumlah ini boleh didarabkan dengan harga 1 unit CER berharga AS$6.50 atau (x RM4.20) = RM27.50, pastinya satu jumlah hasil bagi negara.

 

Jumlah ini pasti mempunyai nilai berjuta ringgit jika mengambil kira kawasan hutan di Malaysia yang mempunyai keluasan berjuta hektar.


 

volatiliti

 


Bursa Carbon Exchange (BCX) kawal selia

Malaysia melihat perdagangan karbon ini satu peluang yang baik bagi menjana hasil negara. Mungkin ada yang masih belum mengetahui yang perdagangan karbon sudah dimasukkan dalam Bursa Malaysia di bawah Bursa Carbon Exchange (BCX).

 

Segala kawal selia berkaitan perdagangan karbon yang merangkumi penyimpanan dan perdagangan di mana di peringkat kebangsaan perdagangan karbon adalah  bidang kuasa Bursa Carbon Exchange (BCX).

 

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar yakin pasaran karbon mempunyai potensi besar untuk membekalkan kredit karbon dengan 55% yang mampu memberi peluang kepada negara untuk menjana kredit karbon melalui penyelesaian yang berasaskan alam semula jadi.

 

Melalui BCX  pemaju projek dan projek yang berminat boleh membekalkan kredit karbon mereka untuk membuat bidaan. Selain itu, ia juga terbuka kepada pembeli korporat yang ingin mengambil bahagian dalam bidaan dan membeli kredit karbon.

 

Pengukuhan tadbir urus perubahan iklim negara

Perdagangan karbon ini pasti akan berjaya jika kerajaan terus mendokong aspirasi GHG sifar menjelang 2050. Dalam mendokong aspirasi GHG sifar ini, apakah yang perlu kerajaan lakukan?

 

Kerajaan perlu mengukuhkan tadbir urus perubahan iklim negara bagi mencapai sasaran GHG sifar menjelang 2050. Bagi mencapai matlamat ini, dua perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah:

 

  1. Kajian Mekanisme Pasaran dan Instrumen Ekonomi bagi Menangani Perubahan Iklim

Bagi membuat kajian mekanisme pasaran dan instrumen ekonomi ini dan  semakan semula Dasar Iklim Negara perlu dilakukan. Selain itu, pembangunan kerangka undang-undang dalam perubahan iklim juga perlu diperhalusi.

 

  1. Pembangunan Rangka Kerja Pelaksanaan Nationally Determined Contribution (NDC)

Pembangunan pelan hala tuju NDC perlu diperincikan yang perlu mengandungi sasaran  GHG setiap sektor dan industri di Malaysia bagi tempoh jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Dengan menetapkan sasaran pengurangan GHG mengikut sektor ini akan membantu mencapai misi sifar GHG menjelang 2050.


 

NLCCM

 


Perkasa Pelan Induk Rendah Karbon Negara (NLCCM)

Kerajaan perlu melihat semula dan memperkasa NLCCM bagi mencapai objektif yang disasarkan pada tahun 2050.  Pendekatan 3M (Measurement, Management dan  Mitigation) boleh diambil sebagai panduan pelaksanaan bandar rendah karbon oleh Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

Malaysia telah menyasarkan 33 bandar status rendah karbon 2050. Jika NLCCM betul-betul diperkasakan, ia tidak mustahil untuk dicapai dan sekali gus, perdagangan karbon boleh dilakukan oleh kerajaan.

 

NRECC perlu proaktif

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) perlu proaktif dalam mewujudkan pendorong dan infrastruktur utama bagi membantu peralihan ekonomi rendah karbon ini.

 

Dasar Karbon Kebangsaan  perlu segera dilaksanakan untuk menjadi panduan dalam perdagangan karbon ini. Walaupun masih baru, masih belum terlewat untuk Malaysia merebut peluang dalam perdagangan karbon ini.  - DagangNews.com

 
 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

 

Portfolio Tags