PERMAI: suntikan fiskal bantu rakyat, rancakkan ekonomi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 20 Jan 2021 07:00 AM

PERMAI: suntikan fiskal bantu rakyat, rancakkan ekonomi

 

 

PADA 18 Januari 2021, Kerajaan Malaysia menerusi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan suntikan fiskal yang dinamakan Pakej Pelindungan Ekonomi Rakyat Malaysia (PERMAI) yang memperuntukan RM15 bilion menerusi 22 Inisiatif dengan 3 teras utama.

 

Tiga teras itu ialah :

1. Memerangi wabak COVID-19,

2. Memelihara kebajikan rakyat dan

3. Menyokong kelangsungan perniagaan.

 

Ia adalah tambahan kepada empat pakej ransangan ekonomi yang sudah dilaksanakan sejak penularan wabak COVID-19 Mac 2020 yang berjumlah RM305 bilion.

permai

Apa yang kita faham mengenai suntikal fiskal ini? Adakah kerajaan akan membelanjakan RM15 bilion ringgit lagi bagi mencapai 3 matlamat yang di gariskan dalam PERMAI 2021 ini.  Jawapannya adalah tidak.

 

PERMAI dan suntikan fiskal sebanyak RM15 bilion ini merupakan satu pakej ransangan yang bukan hanya kepada pemberi tunai sahaja. Ia termasuk pinjaman, penangguhan bayaran pinjaman, penangguhan sewa, pengecualian cukai, dan lain-lain lagi.

 

Jika pemberian tunai seperti subsidi upah, insentif petugas kesihatan barisan hadapan dan pemberian tunai secara “one-off” dikategorikan sebagai suntikan fiskal langsung. Pemberian wang tunai ini akan mewujudkan kesan berganda bagi meningkatkan kepenggunaan dan perbelanjaan pengguna. Tuntasnya,  pengumuman Perdana Menteri pada Isnin lalu, merangkumi suntikan fiskal secara langsung dan tidak langsung.

 

Bagaimana suntikan fiskal ini dianggap membantu rakyat dan boleh merancakkan ekonomi. Sebagai contoh, Ramli pekerja kilang kain yang tidak dapat bekerja akibat PKP dan diminta mengambil cuti tanpa gaji akan memperoleh subsidi upah dari majikannya sebanyak RM600.

 

Dari wang RM600 ini, Ramli membelanjakan pemberian wang tunai ini di kedai runcit bagi membeli barang-barang keperluan makanan harian keluarganya. Dari pembelian Ramli ini akan menaikkan modal kedai runcit tersebut.

 

Seterusnya kedai runcit tersebut boleh membuat pembelian daripada pemborong manakala pemborong pula perlu mendapatkan bahan dari kilang manakala kilang pula perlu mendapatkan bahan-bahan mentah daripada pembekal. Jika proses ini berlaku di pelbagai sektor dan tempat, pastinya banyak rantaian ekonomi akan berkembangan dengan baik. Beginilah bagaimana suntikal fiskal yang dimumumkan Kerajaan itu mampu untuk membantu rakyat dan merancakkan ekonomi.

 

BACA JUGA : 5 Strategi  Utama Pulihkan Negara Pada 2021

 

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM) Ahmed Razman abdul Latif, bantuan dan suntikan fiskal secara langsung penting untuk memastikan aktiviti ekonomi terus disokong, di samping bantuan berterusan untuk sektor kesihatan dan golongan yang terjejas terutamanya golongan rentan.

 

Semua usaha suntikan fiskal ini untuk membantu rakyat dan merancakkan semula ekonomi negara. Gelombang ketiga wabak COVID-19 ini semakin mencabar dan pastinya memberi impak kepada keadaan ekonomi.  

permai

Prof. Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, Ketua Penyelidik Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM) menyatakan usaha untuk memulihkan dan seterusnya menyusun semula ekonomi menjadi sukar apabila lengkung jangkitan pandemik tidak dapat diratakan pada masa terdekat dan rantaian jangkitan wabak tidak dapat diputuskan dengan segera. Justuru, tindakan Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan dan PERMAI juga dilancarkan bagi mengimbangi faktor kesihatan dan ekonomi.

 

Menerusi matlamat pertama PERMAI iaitu memerangi wabak COVID-19, Kerajaan memperuntukan hampir RM1 bilion dengan pecahan RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan RM200 juta kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi-agensi lain.

 

Selain itu peruntukan RM3 bilion bagi perolehan vaksin COVID-9 yang akan bermula Mac 2021 untuk 27 juta rakyat Malaysia selama 12 bulan. Ini satu tanggungjawab yang besar yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia bagi melindungi rakyat negara ini dari segi kesihatan dan keselamatan.

 

Bagi menghargai petugas barisan hadapan pemberian “one-off” RM500 dan bayaran bulan RM600 diberikan kepada petugsan barisan hadapan kesihatan dan RM300 “one-off” dan RM200 bulanan kepada barisan petugasan hadapan yang lain. Selain itu, Kerajaan juga faham bahawa ketidakcukupan petugas barisan hadapan kesihatan yang terpaksa bekerja lebih masa dengan menambah 3,500 anggota kesihatan dalam masa terdekat.

 

Memelihara kebajikan rakyat terus menjadi agenda utama Kerajaan buat masa ini. Menerusi PERMAI Kerajaan telah mengumumkan lanjutan  moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman bagi golongan B40, M40, mangsa banjir dan semua Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan.

 

Selain itu moratorium dan kemudahan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN dan MARA dilanjutkan sehingga 31 Mac 2021.  Ramai rakyat Malaysia yang gembira dengan berita mengenai i-sinar yang mana proses permohonan i-Sinar di mudahkan. Pemohon boleh mengisytihar secara kendiri dan dokumen sokongan boleh dihantar secara dalam talian.

 

Semua pemohon Kategori 2 akan mendapat bayaran pendahuluan RM1,000 pada 26 Januari 2021. Sehingga 13 Januari 2021, terdapat 3 juta permohonan i-Sinar yang akan melibatkan peruntukan sebanyak RM24 bilion.

permai

Kerajaan juga melihat keadaan COVID-19 ini adalah satu peralihan kepada keadaan digital. Kini banyak urusan harian, pekerjaan dan perniagaan dilakukan secara digital. Pelepasan cukai sebanyak RM2,500 akan berikan kepada rakyat yang membeli telefon pintar atau komputer baharu sehingga 31 Disember 2021.

 

Selain itu, pelajar sekolah yang akan menduduki SPM, STPM dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) juga akan memperoleh data 1GB secara percuma sehingga 1 April 2021 dan Kerajaan memperuntukan sebanyak RM500 juta atas usaha ini.

 

Kerajaan juga peka dengan kelangsungan perniagan di Malaysia dengan menyokong PKS, usahawan dan peniaga. Menerusi PERMAI 2021,  banyak insentif  yang memberi manfaat kepada golongan ini. Program subsidi Upah diteruskan dengan melancarkan Subsidi Upah 3.0 dan kali ini  mengambil kira semua sektor ekonomi yang mana RM600 diberi bagi pekerja yang gaji dibawah RM 4,000 dan had pekerja ditingkatkan daripada 200 pekerja kepada 500 orang pekerja.

 

Inisiatif ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM1 bilion. Hal ini untuk membantu perniagaan membayar gaji atau upah kepada pekerja mereka. Selain itu, Geran Khas Prihatin PERMAI sebanyak RM650 juta, Skim Mikrokredit sebanyak RM1 billion menerusi BSN, Agro Bank dan TEKUN, bantuan “one-off” RM500 dan RM1,000 kepada pemandu teksi, bas, e-hailing dan peniaga dan penjaja bagi negeri PKP juga dilaksanakan.  

 

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO untuk “delivery ridders”,  Sistem Insurans Pekerjaan Prihatin, Kelonggaran Pengeculaian Duti Eksais dan Cukai Jualan, Pengecualian Levi  bagi majikan HRDF dan lain–lain insiatif  di umumkan bagi membantu kelangsungan perniagaan di Malaysia.

 

Terdahulu, pada 14 Januari 2021, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membentangkan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulasi Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-36 dan menyatakan semua inistiatif yang dibuat oleh Kerajaan adalah  bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan bagi memulihkan ekonomi Malaysia.

 

Menurut Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rasyid, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, walaupun proses pemulihan ekonomi di jalankan, dari segi defisit, ia mungkin kekal melebar pada tahun ini namun apabila ekonomi mula pulih, strategi untuk mengecilkan defisit fiskal perlu dilaksanakan. - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah seorang pensyarah kanan dan pelabur tegar di  Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.