Pertahankan sektor sawit negara, jangan macam lembu dicucuk hidung | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 14 November 2023

Pertahankan sektor sawit negara, jangan macam lembu dicucuk hidung

 

 

 

MALAYSIA adalah negara pengeluar sawit kedua terbesar di dunia. Ini membuktikan bahawa peranan komoditi sawit ini  menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara dan global.

 

Pertumbuhan pesat dalam industri sawit Malaysia yang memberi impak positif terhadap sektor ekonomi, pekerjaan, dan perdagangan antarabangsa.

 

Pertumbuhan ekonomi Malaysia juga di sokong oleh industri sawit. Malaysia mengeksport sejumlah besar minyak kelapa sawit ke pelbagai pasaran global.

 

Sawit penyumbang utama ekonomi Malaysia

Sektor sawit merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dengan pendapatan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit melonjak kepada RM137.89 bilion pada 2022 daripada RM108.52 bilion pada 2021.

 

Minyak sawit Malaysia menyumbang 31% daripada pasaran eksport minyak sawit dunia iaitu 51 juta tan metrik tahun lalu. Pencapaian sedemikian adalah luar biasa kerana keluasan tanaman sawit di Malaysia hanya kira-kira 5.67 juta hektar tanah, iaitu kurang daripada 2% daripada jumlah keseluruhan 300 juta hektar kawasan tanaman minyak bijian.

 

Tahun 2023 ini juga akan mencatatkan angka yang lebih baik. Ini kerana sehingga Ogos tahun ini sahaja Malaysia mencatat nilai eksport minyak sawit berjumlah RM40.51 bilion dengan kuantiti eksport sebanyak 9.66 juta tan. Ini mencerminkan pentingnya industri sawit sebagai penyumbang utama kepada pendapatan eksport negara dan ekonomi Malaysia khususnya.

 

India pengimport utama minyak sawit Malaysia

India merupakan pengimport utama minyak sawit Malaysia dengan nilai dan kuantiti masing-masing berjumlah RM7.08 bilion dan 1.81 juta tan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023.

 

Selain India, pasaran utama minyak sawit Malaysia ialah China, Kesatuan Eropah, Turkiye, Kenya, Jepun, Pakistan, Korea Selatan, Filipina dan Arab Saudi.

 

Malaysia perlu tentang perdagangan diskriminasi

Bagi melindungi sektor komoditi negara terutamanya sawit, Malaysia perlu menentang amalan perdagangan diskriminasi terhadap sektor komoditi.

 

Malaysia perlu mempertahankan industri minyak sawit daripada Peraturan Produk Bebas Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

 

Apa yang EUDR lakukan?

Pelaksanaan EUDR  dan beberapa peraturan lain yang diperkenal Eropah dilihat satu bentuk diskriminasi yang bertujuan menyekat perniagaan dan industri sawit negara.

 

Tindakan EUDR ini dilihat sebagai “tindakan sengaja” Kesatuan Eropah (EU) untuk menyekat akses pasaran dan melindungi pasaran minyak bijian domestik mereka yang tidak cekap dan tidak dapat bersaing dengan kos minyak sawit.

 

Dari sisi yang lain, inisiatif melibatkan sebelah pihak ini akan menjejaskan perdagangan bebas dan adil di samping boleh memberi kesan buruk kepada rantaian bekalan global.

 

Situasi ini juga akan menyebabkan harga makanan menjadi lebih tinggi selain mengurangkan pengeluaran ketika infliasi global yang tinggi dalam sejarah.

 

Adakah ini agenda terancang EU?

Keputusan Parlimen Kesatuan Eropah (EU) meluluskan undang-undang EUDR yang melarang eksport produk yang menyumbang kepada penebangan hutan adalah usaha terancang untuk meningkatkan kos dan halangan terhadap sektor sawit .

 

Pastinya Malaysia  akan terkesan dengan undang-undang ini khususnya terhadap 450,000 pekebun kecil.

 

Malaysia perlu menekankan pendirian mendesak EU memberi pengecualian pelaksanaan Peraturan EUDR terhadap pekebun kecil. Jika peraturan ini dikenakan akan menyebabkan pekebun kecil terkeluar daripada rantaian bekalan pengimportan sawit dan produk sawit ke EU.

 

EU juga tidak boleh sesuka hati untuk mengklasifikasikan Malaysia sebagai negara "Risiko Tinggi" dan tidak mengenakan “jurisdictional approach”. Pengkelasan Malaysia sebagai berisiko tinggi adalah tidak berasas sama sekali.

 

Malaysia diiktiraf UN FAO dan World Bank

Malaysia memenuhi komitmen terhadap pemeliharaan hutan dan pertanian mampan yang diiktiraf oleh institusi terkemuka dunia seperti UN FAO dan World Bank.

 

Selain itu, Malaysia mempunyai Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) iaitu pensijilan mampan mandatori, Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) dan amalan Pengurusan Hutan Mampan (SFM).

 

Kerjasama dengan Indonesia untuk kalahkan EU

Malaysia dan Indonesia perlu berbincang dengan teliti isu diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) di peringkat ASEAN.

 

Jika Malaysia dan Indonesia boleh mencapai kata sepakat dalam isu ini mungkin akan “mengurangkan’ ego EU dalam melakukan diskriminasi terhadap industri sawit.

 

Malaysia dan Indonesia menguasai 85 % eksport minyak sawit dunia, manakala minyak sawit Malaysia menguasai 9.4% pasaran minyak sawit EU atau 1.47 juta tan.

 

Jangan macam lembu dicucuk hidung

Malaysia perlu mempertahankan industri sawit negara dan membela nasib pekebun kecil terutamanya.

 

Malaysia tidak boleh takut untuk bersuara dan menyekat peraturan EUDR ini dilaksanakan. EU bukanya satu-satunya negara pengimport minyak sawit negara.

 

Kerjasama dengan China juga dilihat sebagai satu strategi jangka masa panjang untuk terus mengukuhkan industri sawit negara.

 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Sawit MPOB (PORTSIM)  perlu melakukan penyelidikan dan pembangunannya (R&D) untuk mengembangkan lagi produk nilai tambah berasaskan minyak sawit bagi pasaran China dan juga untuk dieksport ke negara-negara Islam lain.

 

Industri sawit tonggak ekonomi negara

Kerajaan perlu serius bertindak dalam isu diskriminasi industri sawit ini.  Malaysia tidak boleh memandang “rendah” kepada industri sawit.

 

 Industri sawit Malaysia akan terus menjadi tonggak ekonomi negara yang berperanan penting dalam mencapai matlamat Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN 2030).

 

Industri sawit menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang berkekalan dan menjamin kestabilan dalam sektor agrikomoditi.

 

Industri sawit Malaysia diramal meneruskan prestasi memberangsangkan dengan didorong oleh permintaan minyak sawit yang dijangka kukuh oleh negara-negara pengguna.

 

Dengan keluasan tanaman sawit Malaysia mencecah 5.6 juta hektar, pembangunan industri sawit s akan memberi banyak manfaat yang signifikan bukan sahaja kepada para pekebun kecil sawit, tetapi juga kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya. - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

 

 

Portfolio Tags