Politik simbiosis belia tentukan pola geopolitik negara | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 19 Oct 2022 07:46 AM

Politik Simbiosis Belia Tentukan Pola Geopolitik Negara

 

 

 

BAHANG kehangatan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin terasa selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 oleh YAB Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri.

 

Pembubaran Parlimen ini selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan.

 

Kini semua parti politik sedang mengatur strategi dan membangunkan manifesto masing-masing bagi menghadapi PRU15 yang dijangka dalam masa terdekat ini.

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal bermesyuarat esok (20 Oktober 2022) dan akan mengumumkan butiran tarikh penamaan calon dan pengundian.

volatiliti

 

Belia antara pengundi terbesar PRU15

Setiap parti politik harus bersedia dengan politik simbiosis belia. Dari segi klasifikasikan belia merupakan golongan individu berumur 18 hingga 40 tahun.

 

Rekod statistik Jabatan Perangkaan Malaysia kepada bilangan belia melebihi 16 juta atau lebih 50% daripada penduduk Malaysia.

 

Pastinya suara golongan ini  juga akan “ditakuti” oleh setiap parti politik. Daripada data dan statistik SPR  pula, pada PRU15 seramai 12.2 juta  pengundi belia antara 18 hingga 40 tahun.

 

Jumlah ini merupakan jumlah yang terbesar dalam peratusan jumlah pengundi yang mana jumlah ini mencatatkan sebanyak 58% daripada keseluruhan pengundi berdaftar di Malaysia.

 

Tentukan pola geopolitik negara

Daripada jumlah yang akan besar ini, dilihat golongan belialah yang bakal menentukan pola geopolitik negara.

 

Pastikan pengundi belia ini mampu untuk memberi kesan kepada  calon yang bertanding dalam PRU15 pada kali ini.

 

Kita tidak boleh menafikan belia merupakan aset yang bakal meneraju arus perdana negara. Suara-suara belia bakal menentukan landskap kepimpinan negara.

 

Jika parti politik tidak memandang serius perkara ini, pasti akan memberi kesan yang kurang baik pada prestasi parti mereka kelak.

 

 

Undi18

 

 

Pindaan Akta Perlembagaan Persekutuan, Perkara 119 (1)

Selain pengundi belia yang akan membawa landskap baharu, pengundi baharu juga perlu diberi perhatian oleh parti-parti politik.

 

Akta Perlembagaan Persekutuan, Perkara 119 (1) Pindaan Akta Perlembagaan Persekutuan, Perkara 119 (1) yang dilaksanakan pada Julai 2019 telah membuka ruang kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun. 

 

Pindaan yang mendasari had umur layak mengundi bagi pilihan raya umum negara diturunkan dari usia 21 tahun kepada 18 tahun.

 

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen anjakan berkenaan sewajarnya diberikan kerana hak mengundi pada usia 18 tahun telah dilakukan di kebanyakan negara luar semenjak bertahun lamanya.

 

Kurang matang

Namun begitu, mengambil faktor usia muda, kenaifan serta kurang pendedahan pengalaman dalam memahami pergolakan politik tanah air membuatkan mereka tidak boleh membuat keputusan yang baik.

 

Ini ditambah dengan kesibukan kehidupan dalam fasa umur paling aktif mengurus aktiviti harian mereka.

 

Kematangan golongan ini juga sesuatu yang subjektif kerana pada usia 18 tahun ini mereka masih lagi mencari identiti-identiti dan lebih terdorong kepada sifat-sifat emosi dalam membuat keputusan.

 

 

volatiliti

 

 

Anasir subversif bermotifkan agenda politik

Apa yang diharapkan agar parti politik tidak menyebarkan anasir subversif yang bermotifkan agenda politik “kotor” dan memanipulasikan kenaifan pengundi muda yang belum mencapai kematangan ini dalam memilih tampuk pemerintahan negara.

 

Dikhuatiri sekiranya mereka terpengaruh dengan dakyah-dakyah isu politik di media massa dengan agenda politik parti-parti tertentu dan menyebabkan mereka  terkeliru dengan keputusan yang bakal diambil.

 

Belia juga bijak menilai

Dari sudut pandang berbeza, belia juga adalah golongan yang bijak menilai.  Pendedahan kepada media sosial membuatkan golongan ini paling mempunyai banyak maklumat.

 

Faktor ideologi politik semata-mata mungkin bukan lagi suatu keutamaan bagi belia.

 

Ramai juga belia kini lebih matang dengan melihat faktor pembangunan dan ekonomi yang lebih menjadi keutamaan untuk mereka membuat perhitungan demi hala tuju negara.

 

Kini belia mahukan kerajaan dalam memberi jaminan untuk masa depan mereka dalam bidang pendidikan, sektor pekerjaan, perkembangan kerjaya dan peluang-peluang perniagaan.

 

 

volatiliti

 

 

Adakah MUDA mewakili suara belia?

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) adalah parti yang diasaskan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai presiden. Sehingga kini,  kira-kira 750,000 pengundi baharu termasuk golongan muda telah berdaftar dengan MUDA.

 

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan bahawa beliau percaya pengundi baharu menjadi perubahan besar kepada landskap politik dan MUDA akan memenangi golongan tersebut yang dilihat sebagai satu kelebihan

 

Mampukah MUDA?

MUDA dilihat  lebih bergantung kepada personaliti seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sendiri dan bukannya belia secara keseluruhan.

 

Mungkin akan ada peluang untuk menang dalam bilangan kerusi yang sedikit sahaja.

 

Namun kes mahkamah membabitkan Syed Saddiq dilihat mencalarkan reputasinya tetapi beliau berpeluang membersihkan namanya. Kalau gagal, ada kemungkinan MUDA akan hanyut bersama beliau.

 

 

volatiliti

 

 

Perlukan kerajaan yang stabil

Walaupun komposisi terbesar pengundi adalah belia dan pengundi baharu, parti politik juga tidak boleh menafikan golongan lain. Golongan lain akan menyaksikan “pelengkap kekuatan” kemenangan sesebuah parti selain belia.

 

Pada masa ini, komposisi kerusi Dewan Rakyat menyaksikan PH dengan 90 kerusi, BN (43), Bersatu (28), GPS (19), PAS (17), Warisan (7), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (6), Pejuang (4), Bebas (3), dan masing-masing 1 kerusi bagi parti MUDA, Parti Sarawak Bersatu (PSB).

 

Pastinya PRU15 ini menjadi perebutan antara beberapa “kem besar” seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), dan Gerakan Tanah Air (GTA).

 

Tidak kiralah siapa pun yang diberi mandat oleh rakyat kelak, apa yang diharapkan kerajaan yang bentuk adalah kerajaan yang stabil dan mampu memulihkan semula ekonomi negara demi kelangsungan hidup rakyat.

 

Sejarah buat negara

Akibat kerajaan yang tidak stabil, buat pertama kali dalam sejarah negara, Malaysia mempunyai tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal.

 

Bermula dengan Tun Dr Mahathir selama 22 bulan, Muhyiddin (17 bulan) dan Ismail Sabri (14 bulan).

 

 

volatiliti
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

 

Dalam kemelut COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi, Malaysia mempunyai 3 Perdana Menteri dalam satu penggal. Apa yang diharapkan agar PRU15 nanti akan terbentuk satu kerajaan yang lebih stabil dan biarlah hanya 1 Perdana Menteri untuk satu penggal berikutnya.

 

Janganlah sejarah berulang lagi! – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI