Proton sudah 40 tahun, adakah masih relevan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 8 May 2023

Proton Sudah 40 Tahun, Adakah Masih Relevan?

 

 

PERUSAHAAN Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) telah mencecah usia 40 tahun pada 7 Mei 2023.  Dengan model pertama Proton Saga yang dilancarkan pada 9 Julai 1985 yang menjadi sejarah  apabila menjadi kereta nasional pertama Malaysia.

 

Selepas 40 tahun perjalanan Proton, pelbagai model kereta telah dikeluarkan dengan hampir 5 juta kereta telah dikeluarkan oleh Proton. Sempena 40 tahun ini, Proton telah melancarkan Proton X90.

 

Perjalanan yang dilalui oleh Proton bukannya mudah. Banyak ranjau berliku yang terpaksa ditempuhi oleh Proton.

 

Proton sering “dimanjakan” terutamanya oleh kerajaan. Adakah Proton masih relevan dalam menghadapi pasaran automotif masa hadapan?


 

volatiliti

 


Menyingkap sejarah Proton

PROTON merupakan pengeluar kereta pertama Malaysia yang ditubuhkan pada 9 Julai 1985 dengan modal berbayar sebanyak RM150 juta. Penubuhannya merupakan gagasan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mencapai matlamat negara perindustrian.

 

Proton sebahagian besarnya pengilang kenderaan kejuruteraan lencana daripada Mitsubishi Motors antara tahun 1985 dan awal 2000-an. Syarikat itu telah menghasilkan beberapa model reka bentuk asli dan beroperasi dalam sekurang-kurangnya 26 negara hari ini, majoriti  adalah di Asia. Proton pernah dimiliki oleh Khazanah Nasional.

 

Berhabis jutaan Euro untuk Lotus

Proton pernah membeli saham Lotus  pada tahun 1996 sebagai satu strategi jangka masa panjang bagi memperluaskan porffolio perniagaan Proton dan meningkatkan kedudukan Proton dalam pasaran global. Proton melihat Lotus sebagai pengeluar kereta sport  yang terkenal dan reputasi ini akan membantu Proton bagi mengukuhkan kedudukan Proton dalam pasaran Global.

 

Proton telah berhabis jutaan Euro untuk Lotus namun adakah pulangannya setimpal. Secara asasnya, Lotus dan Proton ibarat “langit dan bumi” yang mana Lotus lebih tertumpu kepada kereta sport sedangkan Proton adalah kenderaan entry level. Bagaimana teknologi Lotus mahu digunakan oleh Proton?

 

Proton secara relatifnya tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi dari Lotus. Akses terhadap penyelidikan dan pembangunan juga sangat terhad memandangkan modul perniagaan kedua-dua berbeza. Proton memfokuskan produksi kereta entry level sementara Lotus adalah perniagaan falsafah Colin Chapman, tentang kereta sports yang kecil, ringan dan pengendalian jitu.


 

volatiliti

 


Selain itu, Proton juga pernah menghabiskan jutaan Ringgit untuk pasukan Rali Dunia. Ia tidak berbaloi. Proton  juga tidak menggunakan publisiti dari Rali Dunia itu ke tahap global, dalam memasarkan keluarannya. Ia sesuatu yang mengecewakan.

 

DRB HICOM beli saham proton dari Khazanah Nasional

Pada 2012, DRB-HICOM membeli saham Proton dari Khazanah Nasional, pemilik saham majoriti Proton dalam usaha untuk memperoleh kawalan ke atas syarikat automotif nasional Malaysia ini.

 

DRB-HICOM membeli 42.74% saham Proton dengan harga RM1.2 bilion. DRB-HICOM menjadi pemilik majoriti PROTON dan dengan itu memperoleh hak untuk mengawal syarikat tersebut

 

Geely “selamatkan” DRB HICOM

Dalam menghadapi jualan yang semkain menurun dan situasi kerugian,  DRB HICOM telah memilih Zheijang Geely Holding Group sebagai rakan strategik. DRB-HICOM Bhd telah menjual 49.9% daripada pegangannya di dalam syarikat kereta nasional, Proton Holdings Bhd kepada Geely.

 

Geely  ialah syarikat pengilang automotif nasional China beribu pejabat di HangzhouZhejiang. Ia menjual kenderaan penumpang di bawah Geely Auto, Lotus, Lynk & Co,  dan Volvo dan kenderaan komersial di bawah jenama London EV Company dan Yuan Cheng Auto.


 

geely

 


Adakah dengan menjual pegangan kepada Geely satu keputusan yang betul?

Jika dilihat kepada analisis di atas kertas, ia boleh dikatakan satu tindakan yang baik kerana dengan bersama-sama Geely Proton akan mampu bersaing  bukan sahaja dalam pasaran tempatan tetapy juga antarabangsa.

 

Keupayaan Geely dalam bidang automatif tidak dapat dinafikan kerana Geely juga akan memegang saham-saham dalam syarikat gergasi automatif terkenal di dunia.

 

Antaranya Geely memiliki 10% saham dalam kumpulan Mercedes Benz  dan Geely juga merupakan pemilik kepada jenama Volvo yang dikuasai oleh Sweden.

 

 Geely memperuntukan dana  berbilion ringgit bagi membangunkan kemajuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam kemajuan bidang automatif. Proton juga dilihat akan mendapat limpahan kelebihan daripada Geely ini.

 

Penjualan saham ke Geely jejas kedaulatan negara?

Ada pihak yang menyatakan  penjualan saham Proton ke Geely jejas kedaultan negara. Secara mmatematiknya, DRB-HICOM masih memegang 50.1 peratus pegangan dalam Proton dan Proton akan tetap menjadi kereta nasional dan kebanggaan negara.

 

Adakah dengan menjual saham kepada syarikat luar tidak patrotik? Kita perlu faham bahawa Proton adalah entiti perniagaan. Sebuah entiti perniagaan pastinya membuat objektif yang utama untuk menghasilkan keuntungan.


 

volatiliti

 


Dalam industri automatif, penjualan saham syarikat-syarikat kereta ini kepada syarikat lain adalah satu perkara biasa. Syarikat hebat seperti Lamborghini sekalipun menjual saham mereka kepada syarikat asing.

 

Kerajaan bantu Proton RM1.5 bilion

Kerajaan pernah meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM1.5 bilion daripada kerajaan. Proton meminjam bagi membolehkan membuat pembayaran kepada vendor yang membekalkan komponen kepadanya.

 

Kenapa kerajaan bantu Proton?

Proton mempunyai 12,000 orang pekerja yang bekerja secara langsung dan kira-kira 50,000 orang bekerja dengan syarikat vendor yang bergantung kepada Proton.


Kerajaan mengambil kira kebajikan kira-kira 60,000 orang pekerja yang bergantung secara langsung kepada Proton

 

Proton perlu bangunkan industri kenderaan elektrik

Bagi memastikan Proton kekal relevan, Proton perlu segera bangunkan industri kenderaan elektrik (EV). EV adalah satu industri yang bakal berkembang. Isu “Global Warming”  akan memacu penggunaan EV di peringkat global termasuk di Malaysia. Kemajuan EV  selari dengan peningkatan seruan ke arah alam sekitar, sosial dan tadbir urus  (ESG) di peringkat global.

 

Jika Proton tidak mengambil kira pembangunan EV, Proton  akan ketinggalan dan kita tidak mahu Proton  “terkubur” dalam industri automatif.

 

Senario semasa, ekosistem industri EV ditambah baik dari semasa ke  semasa. Sehingga kini, stesen pengecesan EV sebanyak 900 stesen di Malaysia.


 

volatiliti

 


Jadikan pengalaman dahulu sebagai pengajaran

Dalam melakukan pembangunan EV, Proton jangan terburu-buru. Proton perlu mengambil pengalaman dahulu sebagai pengajaran dalam melakukan pemindahan teknologi. Sejarah terdahulu Proton pernah melakukan pemindahan teknologi dengan jenama Eropah yang kurang berjaya.

 

Antaranya Proton Tiara usaha sama dengan Citroen, Savvy yang menggunakan enjin Renault serta model-model lain dengan sentuhan Lotus. Walaupun dengan menggunakan pemidahan teknologi yang hebat namun model-model ini kurang berjaya dalam pasaran.

 

Dari sudut pandang berbeza pula, sejarah gabungan paling berjaya semestinya gabungan Proton dan Mitsubishi yang menghasilkan model yang sensasi seperti model Satria GTI. 

 

Proton sepatutnya sudah “matang” kerana perjalanan Proton dalam pemindahan teknologi kepada kereta nasional ini sudah melalui banyak kerjasama. Proton tidak boleh buat kesilapan lagi selepas ini.


 

volatiliti

 


Pelan Penstrukturan dan Model Perniagaan Baharu

Sudah sampai masanya Proton perlu menyediakan Pelan Penstrukturan semula syarikat dan pelan strategik. Ia adalah bertujuan bagi membolehkan Proton untuk terus memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.

 

Dalam persaiangan industri automatif yang kompetitif kini, Proton perlu merangka model perniagaan yang baharu supaya Proton mampu berdaya maju dan berdaya saing. Semoga Proton mampu bertahan demi maruah negara! - DagangNews.com

 

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags