Rakyat tarik nafas lega tiada kenaikan tarif elektrik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 26 June 2023

Rakyat tarik nafas lega tiada kenaikan tarif elektrik

 

 

RAKYAT agak panik apabila ada ura-ura yang menyatakan tarif elektrik akan dinaikkan. Golongan B40 dan M40 lagi akan rasa terbeban jika tarif elektrik ini. Kenapa tarif elektrik ini perlu dinaikkan.

 

Bukankah Tenaga Nasional Berhad (TNB) syarikat monopoli dalam pembekalan elektrik di Malaysia? Bukankah TNB untung berjuta ringgit setiap tahun? Adakah TNB masih lagi mahu menaikkan kadar tarif elektrik?

 

Rakyat perlu faham juga, harga bahan api naik secara mendadak semenjak tahun 2022 lagi.

 

Ketika kemuncak krisis tenaga global pada tahun lalu, harga arang batu dan gas mencecah paras tertinggi dengan peningkatan masing-masing sebanyak 83% dan 11%  tahun ke tahun. Ini membawa kos operasi TNB yang semakin tinggi.

 

Namun begitu, TNB kekal teguh dengan komited untuk memenuhi keperluan tenaga pelanggan industri, komersial dan kediaman di Malaysia.


 

tnb

 


Kerajaan setuju tampung subsidi elektrik

Bagi menanggung kos operasi yang tinggi akan berlaku pelarasan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

 

Bagi mengimbangi pelarasan tarif elektrik ini, kerajaan perpaduan bersetuju untuk menampung kos subsidi elektrik sebanyak RM 5.2 bilion.

 

Rakyat jangan risau

Subsidi sebanyak RM 5.2 bilion ini akan memberi nafas lega kepada hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah yang tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik yang terbaru ini.  Di bawah pelaksanaan mekanisme (ICPT), walaupun ada pelarasan tarif elektrik tetapi pengguna tidak akan terkesan.

 

Pengguna yang tak terkesan ialah:

  • Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.
     
  • Pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.
     
  • Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik.
     
  • Pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembetungan di negeri-negeri akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj.
     
  • Pengguna bukan domestik iaitu pengguna-pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri dan komersil akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj.

 

Dengan jaminan kerajaan ini, membuat rakyat lega di atas kebimbangan terhadap isu kenaikan tarif elektrik ini.


 

tnb

 


Perkasakan peranan KWIE

Kerajaan menerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) boleh memperkasa peranan Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Fungsi KWIE adalah bagi menguruskan impak tarif elektrik terhadap pengguna atau yang berkaitan dengan industri elektrik sebagaimana yang disifatkan perlu oleh ST.

 

KWIE yang ditubuhkan pada 1 Januari 2016 di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (ABE) [Akta 447] dan telah beroperasi secara rasmi pada 1 Februari 2017 perlu mengendalikan dana secara berhemah dan teratur.

 

Jika dana KWIE dapat diuruskan dengan baik, KWIE boleh membantu mengurangkan beban rakyat seperti memberi diskaun kerana tarif elektrik. Walaupun mungkin jumlahnya kecil, namun boleh mengurangkan beban rakyat.

 

Subsidi lintang kaedah tampung kos elektrik

Kerajaan juga  perlu memperkukuhkan pelaksanaan subsidi lintang bagi membantu rakyat dalam mengurangkan beban atas tanggungan atas tarif elektrik yang tinggi.

 

Subsidi lintang ialah bagaimana kepada kadar tarif pengguna yang lebih tinggi dibayar oleh sektor bukan domestik bagi menampung kos elektrik pengguna domestik di bawah 300 kWj untuk keseimbangan ekuiti.

 

Sebagai contoh, sektor perindustrian serta komersial yang membayar kos tarif yang tinggi dan dari jumlah bayaran ini dibawa bagi menanggung kos tarif domestik sebagai subsidi. Jika subsidi ini lintang ini diperkukuh oleh kerajaan, kelak boleh membantu menyalurkan subsidi kepada pengguna domestik.

 

Galakan pemasangan sistem solar PV

Bagi mengurangkan ke-bergantungan kepada elektrik dan bebanan bayaran tarif elektrik yang tinggi di masa akan datang, perniagaan atau pengguna domestik digalakkan melakukan  pemasangan sistem solar PV terutamanya pada struktur bumbung premis bangunan perniagaan  atau bumbung rumah.


 

tnb

 


Bagi menyokong usaha pemasangan sistem solar PV ini,  kerajaan juga telah melakukan ketetapan untuk melonggarkan syarat di bawah Program Net Energy Metering (NEM) dan Program Self-Consumption for Solar PV Installation (SelCo).

 

Kini, had kapasiti setiap rumah bagi permohonan NEM Rakyat dilonggarkan, berbanding had 4kW untuk pemasangan 1 fasa dan 10kW untuk pemasangan 3 fasa dan pengguna boleh melakukan pemasangan sistem solar berdasarkan kriteria teknikal yang ditetapkan.

 

Selain itu, had kapasiti sistem solar PV yang dibenarkan di bawah Program NEM NOVA dan Program SelCo ditingkatkan daripada 75% kepada 85%. Semua pelaksanaan ketetapan baharu di bawah Program NEM dan SelCo ini akan berkuatkuasa mulai 15 Julai 2023 ini yang akan  berpandukan garis panduan yang akan dikemaskini oleh Suruhanjaya Tenaga.

 

Malaysia perlu meneroka tenaga boleh diperbaharui (RE)

Sudah sampai masanya Malaysia untuk meneroka RE bagi memastikan penjanaan tenaga  dilaksanakan secara lebih cekap. Hal ini boleh membantu negara untuk mencapai sasaran RE yang telah di tetapkan.  RE ini juga amat di galakkan kerana mengutamakan konsep hijau dan bersih.

 

Pada tahun 2022 yang lalu, Malaysia mencapai 25% RE dari jumlah kapasiti penjanaan. Ini satu usaha yang sangat baik dalam mencapai dunia sifar bersih menjelang 2050. Usaha Malaysia  meneroka RE dilihat penting kerana ia bukan sahaja memastikan perjalanan ke arah RE dibuat secara mesra alam tetapi juga mampan.

 

RE boleh bantu kurangkan pemanasan global

Jika Malaysia sama-sama menyokong usaha meneroka RE, ini bukan sahaja membantu negara dalam memperoleh sumber tenaga malah membantu mengehadkan pemanasan global.


 

tnb

 


Melalui Kesatuan Eropah (EU) telah meletakkan matlamat untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius menjelang 2050. Adakah ini boleh dicapai?

 

Secara ramalannya, perkara ini masih jauh ketinggalan. Namun begitu jika semua negara dunia termasuk Malaysia menyokong usaha meneroka RE, pasti perkara ini boleh dicapai! - DagangNews.com

 

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags