Rancangan Thailand bina jambatan: Peluang atau ancaman terhadap Malaysia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 5 December 2023

Rancangan Thailand bina jambatan: Peluang atau ancaman terhadap Malaysia?

 

 

 

RANCANGAN Thailand untuk membina pelabuhan dan jambatan darat yang menghubungkan antara Teluk Siam dan Laut Andaman yang akan memintas laluan perkapalan di Selat Melaka.

 

Cadangan Thailand ini “kononnya” akan menggalakkan lagi aktiviti perdagangan kerana perjalanan yang diambil dapat dipendekkan bagi kapal-kapal perdagangan. Secara puratanya, jika pelabuhan dan jambatan ini dilaksanakan kelak, ia akan menjimatkan  masa perjalanan antara 3-5 hari.

 

Dengan masa yang lebih singkat ini pastinya akan mengurangkan kos operasi kapal-kapal ini. Dijangka kos operasi kapal-kapal dapat dikurangkan sehingga 10%-20%.

 

Secara teorinya apabila kos operasi iaitu kos pengangkutan ini dapat dikurangkan, kos jualan barang dagangan ini juga boleh dikurangkan.


 

volatiliti

 


Jambatan sepanjang 90 kilometer

Menurut Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin semasa sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco baru-baru ini, projek yang yang dianggarkan melibatkan kos 1 trillion Bath (AS$28 bilion) menerusi pembinaan pelabuhan baharu Ranong di barat dan Chumphon di timur yang akan dihubungkan melalui landasan kereta api atau jalan.

 

Projek laluan sejauh 90 kilometer itu dijangka memendekkan perjalanan menerusi laut antara Teluk Siam dan Laut Andaman.

 

Saingan dan tekanan kepada sektor perkapalan negara

Dari sudut pandang berbeza, projek pelabuhan dan jambatan ini mungkin boleh memberi persaingan dan tekanan kepada sektor perkapalan negara.

 

Perniagaan perkapalan pelabuhan di Malaysia berisiko mengalami gangguan jika rancangan untuk memintas Selat Melaka ini dilakukan.

 

Hal ini pastinya akan memberi saingan dan tekanan yang kritikal kepada pelabuhan Malaysia dengan ketidaktentuan mengenai kapal yang akan memilih laluan perkapalan baharu Thailand itu dan kapal yang terus menggunakan pelabuhan negara ini.

 

Kapal-kapal yang melalui Selat Melaka dari segi logistik nya akan menanggung kos yang lebih mahal kerana tempoh perjalanan yang lebih lama.


 

volatiliti

 


Pelabuhan di Malaysia perlu lebih proaktif

Pada masa kini landskap perkapalan global sedang melalui potensi transformasi, pelabuhan Malaysia perlu menekankan keperluan naik taraf strategik infrastruktur dan kecekapan operasinya.

 

Jika pelabuhan dan jambatan darat ini dilaksanakan pasti akan mengurang trafik di Selat Melaka. Bagi mengekalkan Selat Melaka sebagai pelabuhan yang kompetitif Malaysia perlu melaksanakan langkah memudahkan cara perdagangan yang mantap dan menyeragamkan prosedur kastam bagi mengekalkan daya tarikan.

 

Pelabuhan Malaysia perlu mengekalkan pelanggan sedia ada dan fokus terhadap pasaran pertumbuhan. Pelabuhan Malaysia juga perlu terus memainkan peranan untuk memberikan perkhidmatan kepada perdagangan kargo maritim negara, termasuk penghantaran barang.

 

Jika trafik yang kurang akan menjadikan pergerakan lebih cekap, pantas dan kos perkapalan lebih rendah bagi penghantaran kargo antara Lautan Hindi dan Pasifik.

 

Ia satu kelebihan pula atas projek ini kepada industri perkapalan di Malaysia.

 

Malaysia perlu bangunkan wilayah utara

Malaysia perlu mengambil peluang di atas projek ini dengan membangunkan sektor perindustrian di bahagian utara Malaysia. Negeri seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang boleh menjadi kekuatan Malaysia jika projek ini dilaksanakan.

 

Bagi memajukan kawasan utara Malaysia yang bersempadan dengan Thailand, Malaysia perlu segera menyelesaikan segala isu berkaitan, terutama masalah sempadan yang masih berlarutan. Malaysia perlu campur tangan dalam menyelesaikan konflik di antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah di selatan negara itu.

 

Selain itu, isu jaringan lalu lintas supaya lebih pantas dan selesa untuk rakyat kedua-dua negara, industri halal, keselamatan serta masalah pemburuan haram di kawasan hutan di sempadan juga perlu diberi perhatian untuk diselesaikan.


 

volatiliti

 


Malaysia juga boleh terlibat sama

Jika Malaysia mahu projek ini akan membawa manfaat bersama bagi kedua-dua negara, Malaysia perlu terlibat sama dalam melaksanakan projek ini.

 

Adakah Thailand akan bersetuju?

 

Malaysia boleh menawarkan pelaburan kepada Thailand dalam menjalankan projek ini. Selain itu, kerjasama daripada syarikat tempatan juga boleh digunakan bagi melaksanakan projek ini dengan syarikat dari Thailand.

 

Projek yang dianggarkan bernilai 1 trillion Bath (AS$28 bilion) ini telah diintai oleh pelabur dari  Amerika Syarikat.

 

Lawatan Anwar ke Thailand bincang lebih lanjut

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pergi ke Thailand dalam usaha memperhalusi perkara ini.  Menurut Anwar, Thailand bersedia untuk “membenarkan” Malaysia turut serta dalam projek ini. Sejauh mana kebenaran turut serta ini tidak dapat dipastikan.

 

Terdahulu, Anwar dan Srettha turut mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dan tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

 

Selain itu perbincangan memperkasa sinergi antara Malaysia dan Thailand dalam bidang pelancongan juga telah dibincangkan. Thailand “bersetuju” untuk mengagihkan manfaat pelancongan Phuket kepada Langkawi.

 

Perjumpaan Anwar dan Srettha memberi satu petanda yang positif antara hubungan kedua negara ini. Jika hubungan ini kekal baik, perancangan membina pelabuhan dan jambatan ini boleh diperhalusi oleh kedua-dua belah negara bagi memberi manfaat bersama.


 

anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual dengan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin pada 27 November 2023.

 


Malaysia perlu cepat bertindak

Walau bagaimana, Malaysia tidak boleh tunggu dan lihat sahaja buat masa ini sehingga projek pelabuhan dan jambatan ini siap.

 

Malaysia perlu memperhalusi sebaik-baik adakah projek ini akan membawa limpahan ekonomi kepada Malaysia atau satu ancaman kepada ekonomi negara.

 

Malaysia perlu segera memikirkan apakah strategi atau tindakan yang boleh diambil yang mendatangkan manfaat kepada Malaysia jika projek ini dilaksanakan kelak.

 

Menang sabung, kampung tergadai

Projek ini juga akan membawa kesan jangka masa panjang buat kedua-dua negara. Bagi Malaysia, apakah limpahan ekonomi dan manfaat yang bakal diperoleh dan bagaimana industri perkapalan negara perlu diberi perhatian secara jangka masa panjang perlu diperhalusi.

 

Kita tidak mahu projek pelabuhan dan jambatan yang dikatakan termoden dan gah ini ibarat menang sorak kampung tergadai! - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

 

Portfolio Tags