Ringgit terus melemah: Adakah Kerajaan Perpaduan gagal? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 4 July 2023

Ringgit terus melemah: Adakah Kerajaan Perpaduan gagal?

 

 

RINGGIT mencatat prestasi “terburuk” apabila  bagi separuh tahun pertama 2023 ini, nilai ringgit menyusut hampir 6% disebabkan aliran keluar modal. Ini merupakan kejatuhan terbesar dalam kalangan negara negara Asia.

 

Selain nilai ringgit, ekuiti Malaysia menerusi pasaran saham tempatan jatuh sehingga 7.7%  dalam tempoh sama dan antara negara yang mencatatkan prestasi terburuk di rantau ini.

 

Rakyat mula mempersoalkan kredibiliti Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan gagal membawa proses pemulihan ekonomi Malaysia kerana nilai ringgit yang semakin melemah berbanding Dolar Amerika Syarikat (Dolar AS).

 

Ringgit melemah kegagalan kerajaan perpaduan?

Adakah Anwar yang memikul tanggungjawab ini? Adakah ini bukti “kegagalan” kerajaan perpaduan?

 

Adalah tidak adil untuk meletakkan semua kesalahan ringgit melemah  ini kepada kerajaan perpaduan semata-mata. Dalam ketidaktentuan ekonomi global banyak faktor yang boleh mengheret ringgit terus melemah. Namun begitu, kerajaan perpaduan tidak boleh “berpeluk tubuh” semata-mata melihat nilai ringgit yang semakin melemah berbanding Dolar AS.

 

Punca ringgit terus melemah

Banyak faktor luaran dan domestik yang membawa kepada ringgit yang semakin melemah berbanding Dolar AS. Antaranya ialah:

  1. Apabila Amerika Syarikat menerusi Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), (Jerome) Powell terus membayangkan retorik kadar faedah tinggi dengan memberikan isyarat sekurang-kurangnya dua kali lagi kenaikan kadar memberi tindak balas kepada ringgit.
  2. Penurunan renminbi ekoran kelemahan ekonomi China.
  3. Kitaran kenaikan berpanjangan dalam harga komoditi.
  4. Harga minyak telah jatuh daripada tahap tertinggi selepas pandemik tetapi masih kekal melebihi purata sebelum pandemik.
  5. permintaan lebih rendah daripada India, sebuah negara pengimport penting, serta bekalan tinggi daripada Indonesia dan Malaysia, telah menambah kepada sentimen negatif bagi harga minyak sawit.
  6. Risiko berkaitan El Nino
  7. Lebihan akaun semasa yang semakin berkurangan dan langkah berhati-hati BNM mengetatkan dasar monetari selepas penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) utama.

 

Sejarah tambat ringgit 1998

Semasa Krisis Kewangan Asia (AFC) 1997, Malaysia telah menambat ringgit sebagai usaha bagi menstabilkan nilai ringgit pada 1 September 1998. Ringgit disandarkan kepada dolar AS pada AS$1.00 = RM3.80 dalam usaha menstabilkan mata wang ringgit.


 

parafrasa

 


Setelah hampir dua dekad ditambat berbanding dolar AS pada RM3.8, Bank Negara Malaysia (BNM) menarik balik tambatan Ringgit Malaysia kepada dolar AS pada 21 Julai 2005, sejurus selepas pengumuman China berhubung penarikan tambatan renminbi kepada dolar AS.

 

Keputusan ini dibuat kerajaan dan BNM  membenarkan mata wang untuk mencatat prestasi berdasarkan permintaan dan penawaran sebenar tanpa campur tangan aktif oleh BNM.

 

Kenapa ringgit tidak wajar ditambat?

Kenapa kini Malaysia tidak boleh menambat ringgit seperti 1998? Untuk melakukan tambatan ringgit, memerlukan kos yang sangat tinggi kerana jika Malaysia mahu menambat ringgit, negara perlu menggunakan sejumlah rizab negara yang besar.

 

Adakah kini Malaysia mempunyai rizab yang banyak sedangkan semasa pandemik dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) pun sudah digunakan. Berbeza dengan tahun 1998 yang mana ketika itu, Malaysia mempunyai rizab antarabangsa yang banyak berbanding kini.

 

Selain itu, jika Malaysia membuat tambatan ringgit dan ini akan mempunyai risiko dan penggantian (trade-off) yang besar serta ia bukan langkah yang terbaik untuk ekonomi Malaysia.

 

Kenapa pula bukan langkah yang baik? Pada masa kini, kadar pertukaran yang fleksibel lebih wajar dikekalkan bagi membolehkan ekonomi negara membuat penyesuaian terhadap sebarang kejutan luaran dengan lebih baik.

 

Selain itu, kadar pertukaran yang fleksibel akan lebih memudahkan penetapan dasar monetari, iaitu pengurusan kadar faedah. Kadar pertukaran tetap (fixed exchange rate) dalam menambat ringgit akan “mengikat” dasar monetari negara.

 

Sebagai contohnya, jika ringgit ditambat kepada dolar AS dan sekiranya kadar faedah Rizab Persekutuan meningkat maka Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga perlu dinaikkan pada kadar yang sama meskipun Malaysia berada pada tahap pemulihan ekonomi dan membawa kepada tekanan inflasi.

 

Jika Malaysia melalukan tambatan ringgit, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menentukan dasar monetari dan natijahnya rakyat pula terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun ekonomi kita belum pulih sepenuhnya

 

Jejas pelaburan portfolio dan pelaburan asing

Dengan menambat ringgit juga akan memberi kesan yang negatif kepada pelabur. Kelemahan ringgit ini akan membawa hilangnya kepercayaan pelabur asing kepada Malaysia.

 

Apabila pelabur asing mula hilang kepercayaan kepada Malaysia, pelabur asing mula membawa dana mereka keluar daripada Malaysia dan melabur di negara yang lebih stabil dan kukuh mata wangnya.

 

Pastinya Malaysia akan kehilangan pelabur yang berpotensi untuk melabur di Malaysia. Kesan pengganda daripada kehilangan pelabur ini bukan sahaja akan melemahkan ringgit tetapi membawa kesan kepada hilangnya penciptaan peluang pekerjaan daripada pelabur asing yang membina perniagaannya di Malaysia.

 

Tidak boleh lagi bergantung kepada eksport petroleum

Untuk jaga masa panjang, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada eksport petroleum. Ini kerana jika Malaysia terlalu bergantung kepada petroleum akan membawa kesan yang besar kepada ringgit.

 

Bagaimana? Semasa Great Oil Crash yang berlaku sebelum ini, Malaysia hilang berjuta-juta hasil atau sumber pendapatan. Malaysia pernah hilang hasil sehingga RM300 juta dek kerana kejatuhan AS$1 pada harga minyak.

 

Pastinya Malaysia terkesan kerana bergantung agak besar dengan hasil petroleum bagi kerajaan dan apabila berlaku kejatuhan harga bahan bakar ini.

 

Pastikan kemampanan fiskal

Bagi mengukuhkan nilai ringgit, kerajaan perlu memastikan kemampanan fiskal dan keadaan ekonomi yang stabil dengan memastikan dasar fiskal terus teguh. Kerajaan perlu betul-betul merangka dasar fiskal sederhana yang mampan.

 

Bagi mengatasi risiko kemeruapan pasaran asing, BNM  menguruskan risiko-risiko domestik dan global dengan menggunakan instrumen dasar operasi BNM bagi memastikan pasaran yang lebih baik dan stabil.

 

Antara yang boleh dilakukan oleh BNM bagi mengawal risiko ini adalah dengan penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar yang berhemah dan kedalaman pasaran tempatan. Dengan cara ini dapat mengawal pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS.

 

Kabinet Jangan Membisu

Bagi situasi semasa, kabinet kerajaan perpaduan diharap tidak membisu terhadap isu ringgit yang semakin melemah.  Ringgit terus melemah berbanding mata wang lain khususnya Dolar AS dan Singapura Dolar (Dolar SG).

 

Kerajaan perlu segera melaksanakan perancangan dalam mengukuhkan semula ekonomi negara. Ini kerana jika perkara ini terus berlaku, rakyat akan terus terkesan demi kelangsungan hidup mereka.

 

Kerajaan perpaduan perlu bijak bertindak tatkala Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya menunggu masa untuk diadakan. Jika kerajaan pimpinan Anwar ini gagal untuk menstabilkan semula ringgit, mungkin menjadi asbab PRN tidak mampu dikuasai oleh kerajaan perpaduan! - DagangNews.com

 

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

parafrasa

 

Portfolio Tags