Segera laksanakan Gaji Progresif untuk bantu rakyat
KERAJAAN digesa sekali lagi untuk segera memperhalusi pelaksanaan gaji progresif di Malaysia.
Seperti yang kita sedia maklum, buat masa ini pelaksanaan gaji minimum iaitu RM1,500 yang dilaksanakan. Adakah gaji minimum ini masih relevan?
Dalam senario semasa dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi, gaji minimum RM1,500 ini dianggap sudah tidak sesuai.
Apa itu gaji progresif?
Gaji progresif merujuk kepada sistem gaji di mana gaji pekerja meningkat selari dengan pengalaman, kelayakan dan prestasi kerja.
Apabila seseorang pekerja ini memiliki pengalaman yang lebih lama, memiliki kemahiran tertentu atau menyumbang banyak kepada syarikat, pekerja ini layak untuk diberi gaji yang lebih bersesuaian.Ia dilihat lebih adil.
Namun begitu, bagaimana kerajaan mahu memperkenalkan gaji progresif di Malaysia?
Cadangan model gaji progresif
Jika kerajaan mahu melaksanakan pelaksanaan gaji progresif ini, kerajaan perlu membentuk model gaji progresif ini.
Kementerian Ekonomi; Kementerian Kewangan; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia antara kementerian yang boleh sama-sama membentuk model gaji progresif ini.
Berikut antara cadangan model gaji progresif yang boleh diperhalusi oleh kerajaan ialah:
i. Model kenaikan gaji berdasarkan kelayakan
Model kenaikan gaji berdasarkan kelayakan ialah kenaikan gaji pekerja apabila pekerja itu mempunyai kelayakan tambahan.
Dalam situasi semasa, kerajaan sememangnya menggalakkan aktiviti upskilling dalam kalangan pekerja.
Pekerja yang mengikut kursus-kursus tertentu untuk meningkatkan kepakaran mereka boleh dinaikkan gaji mereka. Pekerja yang mahir ini pastikan akan menyumbang kepada produktiviti syarikat.
ii. Model kenaikan gaji berdasarkan pengalaman
Model kenaikan gaji berdasarkan pengalaman boleh dilaksanakan oleh kerajaan. Pekerja yang mempunyai pengalaman dalam sesuatu bidang boleh menikmati kenaikan gaji yang sesuai.
iii. Model kenaikan gaji berdasarkan prestasi
Model kenaikan gaji berdasarkan prestasi ini adalah antara yang mudah dilaksanakan.
Pekerja akan dinaikkan gaji berdasarkan prestasi atau sumbangan. Syarikat boleh menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang perlu dicapai oleh pekerja. Jika pekerja itu berjaya mencapai KPI yang ditetapkan, pekerja itu layak untuk dipertimbangkan kenaikan gaji.
Kurangkan kebergantungan kepada tenaga asing
Jika kerajaan berjaya untuk melaksanakan gaji progresif ini, ia akan dapat mengurangkan kebergantungan sektor-sektor tertentu kepada tenaga buruh asing.
Senario semasa memperlihatkan rakyat Malaysia tidak berminat dengan sektor-sektor tidak popular seperti pembinaan dan pertanian. Sektor ini yang dianggap panas, kotor dan dengan bayaran yang sedikit yang tidak setimpal dengan tenaga yang dilakukan.
Seperti yang kita sedia maklum, hampir 70% sektor ini dipenuhi oleh tenaga kerja asing dek kerana tiada minat di kalangan rakyat Malaysia sendiri. Jika pelaksanaan gaji progresif ini dilaksanakan, sedikit sebanyak mampu menarik minat rakyat Malaysia kepada sektor tidak popular ini.
Elak ketidaksepadanan peluang kerja
Buat masa kini, ketidaksepadanan kerja banyak berlaku dalam kalangan graduan universiti yang sepatutnya mengisi kekosongan dalam sektor-sektor tertentu. Namun apa yang berlaku kini ialah graduan tidak berminat untuk bekerja dalam bidang mereka kerana pembayaran gaji yang tidak setimpal.
Jika kerajaan benar-benar mahu menyelesaikan isu ketidaksepadanan peluang pekerjaan ini, pelaksanaan gaji progresif adalah salah satu jalan penyelesaiannya.
Meningkatkan produktiviti dan kepuasan kerja
Gaji progresif dilihat akan mendorong pekerja untuk meningkatkan kualiti dan kemahiran pekerja dan akan meningkatkan produktiviti. Jika pekerja berpuas hati dengan bayaran yang diterima, pasti akan memotivasikan pekerja dan akhirnya membantu pembangunan sumber manusia.
Penghargaan yang adil kepada pekerja yang memberi sumbangan yang lebih besar melalui pelaksanaan gaji progresif juga akan memberi impak positif kepada prestasi pekerja.
Mengurangkan jurang gaji
Senario semasa di Malaysia menunjukkan bahawa dalam pasaran kerja atau pasaran buruh, masalah jurang gaji masih belum dapat diatasi. Ia berkaitan dengan tahap pengalaman dan kemahiran pekerja itu sendiri.
Jika gaji progresif dapat dilaksanakan, masalah jurang gaji ini dapat diatasi apabila gaji disesuaikan dengan kemahiran, prestasi dan sumbangan pekerja itu sendiri.
Keadaan ini akan membawa kepada persekitaran yang lebih adil dan merangsang pertumbuhan kerjaya pekerja.
Boleh contohi Singapura
Bagi melaksanakan gaji progresif ini, Malaysia boleh mengambil Singapura sebagai contoh. Singapura melaksanakan sistem gaji progresif sejak tahun 2013 bermula dari kumpulan berpendapatan rendah.
Singapura memulakan pelaksanaan gaji progresif ini bermula dengan pekerja dalam bidang landskap, keselamatan, pekerjaan pendapatan rendah.
Keterbatasan sumber daya kewangan
Dari sudut pandang berbeza, jika pelaksanaan gaji progresif ini dilaksanakan, ia akan menjadi beban kewangan kepada syarikat. Kenaikan gaji secara berkala mengikut model-model tertentu pasti meningkatkan kos syarikat.
Jika syarikat yang besar, mungkin tidak mempunyai masalah dalam pelaksanaan gaji progresif ini tetapi bagaimana nasib syarikat yang kecil.
Terdahulu, Setiausaha Agung Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Mohamed Mustakim Manaf, menyatakan kegusaran pelaksanaan gaji progresif yang boleh menjejaskan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) .
Dalam melaksanakan gaji progresif ini, kerajaan perlu memperhalusi beban kewangan kepada syarikat terutamanya PMKS. Ia perlu situasi “menang-menang” kepada kedua-dua belah pihak.
Perlu ada persetujuan antara kerajaan dan majikan
Apa jua perancangan yang dibuat kerajaan melalui jawatankuasa yang ditubuhkan, yang lebih penting ialah persetujuan antara kerajaan dan majikan.
Menurut Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, gaji progresif perlu memberi situasi “menang-menang” kepada pekerja, majikan dan negara dalam jangka masa panjang.
Kerajaan perlu segera memperhalusi perkara ini bagi membantu rakyat demi kelangsungan hidup dek kerana kos sara hidup yang meningkat. Atas nama kerajaan Malaysia MADANI, maka perlulah cari jalan yang adil! - DagangNews.com