Selamat tinggal 2023, cabaran 2024 bina kekuatan ekonomi negara | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 26 December 2023

Selamat Tinggal 2023, Cabaran 2024 Bina Kekuatan Ekonomi Negara

 

 

 

TINGGAL berbaki beberapa hari sahaja lagi tahun 2023 akan melabuhkan tirainya. Pelbagai cabaran telah dihadapi oleh negara sepanjang tahun 2023 ini dalam membina semula ekonomi negara.

 

Menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim isu kekuatan ekonomi termasuk pelaburan luar dan dalam negeri akan menjadi tumpuan sepenuhnya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2024.

 

Apa kekuatan ekonomi yang perlu dibangunkan?

Bagi membolehkan Malaysia mencapai pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan yang lebih baik, negara perlu memperluas integrasi ekonomi dengan negara jiran, menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi menembusi pasaran ASEAN, dan menggalakkan aktiviti perdagangan terutamanya dalam mendepani isu rantaian bekalan global.

 

Antara petunjuk prestasi utama negara yang menjadi sandaran ialah Malaysia berkedudukan antara 30 ekonomi terbesar dunia dan tangga ke-12 teratas dunia dalam daya saing global.

 

Ini membuktikan bawa Malaysia mempunyai kekuatan ekonomi yang tersendiri.

 

Malaysia sebagai “singa” baru Asia

Untuk mengukuhkan lagi kekuatan ekonomi negara 2024, Malaysia perlu mengukuhkan kedudukan ekonomi Malaysia  dengan negara jiran dan negara Asia.

 

Bagi menjadikan Malaysia “singa” baru Asia, Malaysia perlu melakukan penstrukturan ekonomi. Penstrukturan ekonomi ini dengan melakukan transformasi daripada ekonomi berorientasikan buruh kepada berasaskan inovasi.

 

Dengan transformasi ekonomi ini akan meningkatkan produktiviti tinggi dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

 

Selain itu, kerajaan perlu menggiatkan semula sektor perindustrian dan meningkatkan kecekapan agihan peruntukan sumber serta barangan dan perkhidmatan bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh disokong oleh dasar fiskal yang lebih mampan.

 

Tarik lebih banyak pelabur ke Malaysia

Malaysia perlu memberi penekanan yang lebih besar kepada pengukuhan agensi penggalakan pelaburan serta mengkaji semula insentif pelaburan bagi menggalakkan pewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi dan penggunaan sepenuhnya sumber tempatan.

 

Secara asasnya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) optimistik 2024 akan menjadi tahun yang lebih positif bagi pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam Malaysia, memanfaatkan perancangan yang telah dirangka.

 

Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 juga akan menjadi satu garis panduan yang komprehensif bagi menarik lebih banyak pelaburan luar asing (FDI) atau  langsung domestik (DDI).

 

Belanjawan 2024 juga telah memperuntukkan  sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk inisiatif NIMP 2030 yang meliputi pelbagai sektor utama dengan tumpuan kepada empat misi utama.

 

Dengan RM200 juta ini bakal memajukan ekonomi dan antara tumpuannya untuk memperluas kepada aktiviti nilai tambah tinggi dalam rantaian nilai di samping membangunkan keseluruhan ekosistem untuk menyokong aktiviti nilai tambah tinggi bagi menggalakkan FDI dan DDI di Malaysia.

 

FDI yang banyak masuk ke Malaysia akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan,mewujudkan limpahan kepada industri lain negara seperti sektor pembinaan atau dari segi bekalan dan meningkatkan ekonomi sebagai sebuah negara pengeksport.

 

Mengantarabangsakan syarikat pemula tempatan

Bagi membina kekuatan ekonomi Malaysia 2024, Government Linked Companies (GLC) perlu diberi galakkan untuk terus memacu DDI dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik seperti E&E, ekonomi digital dan aeroangkasa.

 

Jika usaha untuk mendorong lebih banyak syarikat pemula untuk menceburi bidang pertumbuhan baharu akan meningkatkan pertumbuhan eksport serta melahirkan lebih banyak syarikat unicorn tempatan dan syarikat senaraian awam yang berjaya dan antara usaha yang diberi keutamaan adalah pengukuhan ekosistem E&E, ekonomi digital dan aeroangkasa negara.

 

Perkukuhkan ekonomi dan kewangan Islam

Kedudukan Malaysia kekal pada kedudukan pertama dalam keseluruhan Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) global untuk 10 tahun berturut-turut. Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) perlu terus memperkukuh daya saing negara dalam bidang kewangan Islam di samping mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi aktiviti perolehan dana dan pelaburan Islam serta hab takaful semula.

 

Pelarasan semula sistem kewangan Islam perlu dilakukan dalam usaha memperkasa impak sektor kewangan Islam agar berpeluang memberikan kesaksamaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua peringkat masyarakat.

 

Ekosistem kewangan yang komprehensif akan dimajukan berteraskan prinsip Maqasid Syariah bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Islam global.

 

Selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan perlu bekerjasama dengan pemain industri kewangan Islam untuk menawarkan instrumen kewangan Islam yang lebih berbentuk digital, inovatif dan pelbagai dengan memanfaatkan kewangan sosial Islam seperti zakat, wakaf dan sedekah.

 

Kewangan Islam yang mampan dan berkesan merangkumi prinsip halal dan tayyib perlu diselaraskan dengan peningkatan dana alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada peringkat global.

 

Pentingnya ekonomi digital buat Malaysia

Bagi membina kekuatan ekonomi, Malaysia perlu membangunkan ekonomi digital. Ekonomi digital merupakan pemangkin penting untuk memacu Malaysia ke arah pertumbuhan yang saksama, inklusif dan mampan.

 

Dokumen Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 menyasarkan sumbangan ekonomi digital sekurang-kurangnya 25.5% daripada KDNK menjelang 2025 dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau menjelang 2030.

 

Malaysia perlu segera untuk menyelesaikan jurang digital oleh liputan jalur lebar dan sambungan Internet yang terhad di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

 

Jurang ketidaksamaan dalam penggunaan produk dan perkhidmatan digital merentas pelbagai segmen masyarakat perlu ditangani melalui peluasan akses kepada pembiayaan untuk perniagaan dan meningkatkan kemahiran digital.

 

Jika kerajaan betul-betul membuat penyelesaian komprehensif untuk menangani masalah jurang digital ini dalam memastikan transformasi digital negara yang inklusif pastinya akan meningkatkan potensi ekonomi digital ke arah ekonomi yang mampan.

 

KDNK berkembang 4.3% tahun 2024

Moga Malaysia mampu membina kekuatan ekonomi pada tahun 2024. Jangkaan KDNK sebenar Malaysia berkembang 4.3 peratus pada 2024, meningkat daripada pertumbuhan 4.0 peratus yang diunjurkan untuk 2023.

 

Apa yang rakyat lebih harapkan agar dengan kekuatan ekonomi ini akan mengurangkan kadar inflasi negara dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. Moga tahun 2024 membawa sinar yang lebih baik buat semua! - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

 

Portfolio Tags