Selesai sudah pilihan raya, mari semua bangunkan ekonomi Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 15 August 2023

Selesai sudah pilihan raya, mari semua bangunkan ekonomi Malaysia

 

 

 

BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) masih lagi hangat. Walaupun keputusan PRN telah diketahui umum, rata-rata rakyat masih lagi asyik berbincang perihal PRN kali ini.

 

Walaupun PRN ini tidak mempunyai kesan kepada kedudukan Kerajaan Persekutuan tetapi ia memberi gambaran penerimaan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

 

Keputusan 3-3 di 6 negeri yang menjalankan PRN sememangnya sudah dijangka. Semua negeri ini meneruskan status quo semasa. Namun begitu, penolakan undi Melayu kepada PH-BN berlaku di kebanyakan kerusi DUN pada PRN kali ini.

 

Referendum rakyat kepada Kerajaan Perpaduan

Kerajaan Perpaduan yang baru “setahun jagung” ini  berhadapan tugas besar untuk mendapat keyakinan rakyat. Apa yang berlaku di Kedah, Terengganu dan Kelantan dilihat satu referendum penolakan rakyat terhadap PH-BN.

 

Ini memberi satu gambaran yang negatif kepada kedudukan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Secara asasnya, melalui PRN ini falsafah pembentukannya Kerajaan Perpaduan melalui gabungan PH-BN ini tidak begitu diterima pengundi terutamanya pengundi Melayu.

 

Walaupun PH-BN menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dominasi PH-BN berjaya “dilonggarkan” apabila PN memenangi 22 kerusi di Selangor, 11 di Pulau Pinang dan 5 di Negeri Sembilan.

 

Keputusan PRN jadi petunjuk

Keputusan PRN menjadi petunjuk pengundi mengundi bukan kerana parti. Walaupun calon muka baharu yang ditampilkan oleh parti politik yang tidak memiliki tarikan, tiada rekod untuk dijadikan panduan dan tiada pengalaman tetap menang PRN mewakili DUN masing-masing.

 

PRN kali ini lebih kepada siapa yang sokong Anwar, Zahid, Muhyiddin atau Abdul Hadi Awang? Aura siapa yang kuat, itu yang rakyat pilih.

 

Perubahan landskap politik

Politik di Malaysia bukan lagi seperti sebelum ini. Rakyat kini lebih matang untuk menilai sesuatu perkara dan memilih calon dan parti yang mereka suka berdasarkan hemat mereka.

 

Keseimbangan politik akan dapat dicapai dengan baik bila ada semak dan imbang antara kerajaan dan pembangkang dalam sesebuah pentadbiran Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

 

Namun kini, walaupun semua negeri PRN ini telah ditentukan kerajaan masing-masing, terdapat lagi provokasi yang boleh menggugat kestabilan politik.

 

Hentikan provokasi, fikir kestabilan ekonomi

Bak kata pepatah, rumah dah siap, pahat masih berbunyi. PRN dah berakhir, diharapkan semua parti politik atau wakil rakyat untuk berhenti menuding jari sesama mereka dan hentikan provokasi.

 

Tindakan mencipta provokasi ini akan membawa kesan negatif kepada imej negara dan akhirnya membawa kepada kesan kepada kestabilan ekonomi. Jika kestabilan ekonomi negara terus “tergugat” kerana provokasi politik ini, kesan langsungnya kepada rakyat akhirnya.

 

Apa yang lebih penting, sama ada Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan ialah memberi tumpuan kepada kestabilan ekonomi negara.

 

Kerajaan Negeri & Kerajaan Persekutuan, balas sokongan rakyat

Sama ada Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan perlulah mula “bekerja” dengan kuat untuk membalas rakyat yang mengundi mereka. Kini, kos sara hidup yang menjadi beban rakyat perlu dicari jalan penyelesaiannya.

 

Kerajaan perlu membuat perancangan yang konstruktif dan inklusif bagi membangunkan semula ekonomi negara  dan meningkatkan hasil yang baik bagi memberi manfaat kepada rakyat.

 

Kerajaan yang terbentuk perlu mewujudkan persekitaran politik yang lebih harmoni. Jangan dok “berpolitik” sahaja tanpa membela nasib rakyat. Kini masa untuk berkhidmat!

 

Kerajaan perlu kurangkan defisit fiskal

Kerajaan Perpaduan juga perlu kembalikan fokus selepas tamat PRN ini. Fokus kerajaan perlu untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.0% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau lebih rendah dari semasa ke semasa.

 

Walaupun kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan fiskal yang melihat kepada pengurusan keseluruhan perbelanjaan fiskal, sumber hasil fiskal dan menangani isu menyelubungi pengurusan hutang awam.

 

Dari sudut kemampanan fiskal, kerajaan boleh melakukan rasionalisasi subsidi yang boleh meringankan beban fiskal dan paling penting memastikan semua subsidi disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

 

Apa tindakan kerajaan sekali pun, kerajaan perlu memberi keutamaan dengan menyediakan sokongan dan bantuan yang diperlukan kepada rakyat yang menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

 

Kerajaan perlu imbangi keperluan dan pertumbuhan ekonomi

Bagi memastikan dasar fiskal negara kekal responsif dalam menangani sebarang risiko terhadap ekonomi negara, kerajaan perlu mengimbangi antara keperluan untuk mempercepat momentum pertumbuhan dan mengawal tekanan inflasi dengan meneruskan pengurusan fiskal yang berhemat.

 

Jika hal ini dapat dilaksanakan, kesejahteraan rakyat dapat dicapai berikutan ketidaktentuan aktiviti ekonomi global.

 

Selari dengan Ekonomi MADANI yang baru lancarkan sebelum ini, sumber fiskal negara perlu disalurkan bagi  memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat, menambah baik infrastruktur pendidikan dan pembelajaran, memperkukuh sektor kesihatan, memastikan keterjaminan makanan, meningkatkan aktiviti pelaburan yang memberi impak serta menggalakkan digitalisasi.

 

Semak semula Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2023-2025

Kerajaan juga perlu  menyemak semua Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2023-2025 berasaskan situasi semasa bersandarkan KDNK negara. Terdahulu MTFF dirangka berdasarkan andaian makroekonomi, perkembangan ekonomi global dan perubahan harga komoditi.

 

MTFF ini perlu disemak dengan mengambil kira beberapa tindak balas dasar dan inisiatif pembaharuan bagi membina semula ruang fiskal dan mengukuhkan kewangan awam dalam jangka masa sederhana dan panjang.

 

MTFF perlu merangka  beberapa langkah berperingkat bagi meningkatkan mobilisasi hasil serta mengurangkan ketirisan perbelanjaan dan peralihan kepada mekanisme subsidi lebih bersasar.

 

Akauntabiliti dan ketelusan dalam menguruskan kewangan

Kerajaan perlu  meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan dalam menguruskan kewangan awam.  Usaha ini perlu segera dipergiat untuk meningkatkan kecekapan sistem percukaian, meluaskan asas cukai, meningkatkan keberkesanan pengurusan perbelanjaan dan mengurangkan pendedahan risiko fiskal ke arah memastikan dasar fiskal yang kukuh dan pengurusan hutang yang berhemat.

 

Inisiatif pembaharuan fiskal seperti Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan semakan semula perbelanjaan awam akan memperkukuh rangka kerja dasar fiskal dalam menyokong agenda Ekonomi MADANI dan melindungi kesejahteraan rakyat.

 

Bagi masa untuk Anwar “bernafas”

Walaupun keputusan PRN kali ini  bukan petanda baik bagi Anwar, rakyat perlu memberi masa kepada Kerajaan Perpaduan dan Anwar untuk “bernafas”. Memerintah Putrajaya belum setahun lagi. Janganlah kita menilai terlalu awal.

 

Ikrar Anwar membangunkan negara melalui konsep Malaysia MADANI yang mampan dan makmur bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang adil melalui penerapan aspek keterangkuman dan kesaksamaan perlu ditunaikan. Jangan janji tinggal janji!  - DagangNews.com

 
 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

Portfolio Tags