Semak dan Imbang Kajian Separuh Penggal RMK12 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 12 Sep 2023 08:00 AM

Semak dan Imbang Kajian Separuh Penggal RMK12

 

 

 

TAHUN 2024 merupakan tahun keempat bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) yang perlu diselaraskan dengan konsep Malaysia MADANI untuk membangunkan negara dan memperkasa ekonomi Malaysia.

 

Enam rukun Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan adalah tonggak dalam memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera tanpa meminggirkan nilai kemanusiaan yang perlu gabung jalinkan dengan pelaksanaan RMK12 bagi tahun berikutnya.

 

RMK12 ini perlu disemak dan diimbang bagi memastikan segala sasaran negara dalam pembangunan ekonomi negara dapat dicapai.

 

Sasaran kerajaan tahun 2023

Bagi tahun 2023, kerajaan menyasarkan defisit fiskal pada 5% daripada KDNK berbanding 5.6% pada tahun 2022. Kerajaan juga komited untuk terus menyokong agenda pembaharuan fiskal dan meneruskan semula usaha konsolidasi fiskal untuk jangka masa sederhana yang disasarkan pada purata 4.1% daripada KDNK dalam Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (Medium-Term Fiscal Framework-MTFF) (2023–2025).

 

Senario semasa prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2023 turut terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi global. Sehubungan itu, pertumbuhan KDNK 2023 dijangka menyederhana pada sekitar 4.5% pada tahun ini.

 

 

volatiliti

 

 

Kajian Separuh Penggal RMK12

Bagi memastikan prospek ekonomi terus berada di landasan yang betul, Kajian Separuh Penggal RMK12 yang dibentangkan akan menjadi “semakan semula atau penilaian” keberkesanan.

 

Kajian Separuh Penggal RMK12 ini perlu merangkumi kaedah menangani cabaran berkaitan ekonomi dan  pembangunan negara. Kerajaan juga boleh membuat semakan dan penilaian pencapaian dan menyusun semula strategi bagi tempoh pelaksanaan yang akan datang.

 

Isu utama dalam Kajian Separuh Penggal RMK12

Kajian Separuh Penggal RMK12 perlu untuk menyemak kembali pencapaian dan menyusun semula strategi dalam beberapa isu utama negara. Antaranya isu utama yang perlu diambil perhatian ialah:

  1. Kemampanan fiskal kerajaan
  2. Subsidi tersasar
  3. Sekuriti makanan
  4. Isu perumahan
  5. Gaji progresif
  6. Kecekapan perkhidmatan awam

 

Kemampanan fiskal Kerajaan perlu diberi perhatian

Kestabilan negara merupakan aspek penting bagi memastikan negara terus makmur bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat, perpaduan dan keselamatan negara di samping memastikan negara kekal berdaya tahan melalui dasar fiskal mengembang, pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan produktiviti negara.

 

Dasar fiskal yang komprehensif yang menumpukan kepada pencapaian matlamat yang ditetapkan dengan disokong oleh kecekapan hasil dan perbelanjaan serta pengurusan risiko yang berkesan.


 

volatiliti

 


Pelaksanaan dasar fiskal mengembang perlu diteruskan dengan meluaskan asas hasil dan memulakan pembaharuan perbelanjaan awam di samping memastikan kemampanan hutang untuk merangsang aktiviti ekonomi.

 

Antara yang boleh dilaksanakan ialah:

1. Strategi memberikan tumpuan kepada pencapaian kutipan hasil yang mampan untuk mempercepat konsolidasi fiskal.

2. Meningkatkan ketelusan fiskal, akauntabiliti dan tadbir urus kewangan awam.

 

Mekanisme subsidi tersasar perlu capai kata putus

Kajian Separuh Penggal RMK12 perlu segera mencapai kata putus apakah mekanisme dalam  melaksanakan pemberian subsidi tersasar.

 

Sehingga hari ini, kerajaan masih belum lagi mengumumkan apakah mekanisme terbaik dalam melaksanakan pemberian subsidi tersasar ini  termasuk untuk petrol RON95 dan diesel.

 

Walaupun isu berkaitan subsidi tersasar ini telah diperbincangkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), namun hal ini masih lagi “senyap” dan ibarat gagal mencapai mekanisme yang terbaik untuk dilaksanakan.

 

Perlu serius isu sekuriti makanan

Kajian Separuh Penggal RMK12 perlu serius pada isu sekuriti makanan. Gangguan pengeluaran makanan akibat cuaca ekstrem, peningkatan kos tenaga dan import serta pengehadan dalam pergerakan rentas sempadan dan akses bekalan makanan yang diimport akan mempunyai kesan meluas ke atas kehidupan di Malaysia.

 

Menerusi RMK12, kerajaan perlu memberikan perhatian dan keutamaan khusus kepada keterjaminan makanan dalam memastikan kebolehcapaian makanan yang berterusan kepada rakyat.

 

Apa yang kerajaan boleh buat? Kerajaan perlu menambah baik keseluruhan rantaian bekalan makanan termasuk faktor pengeluaran serta peringkat pemprosesan, pengedaran dan penyediaan dengan fokus memastikan keselamatan makanan.


 

volatiliti

 


Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021 – 2025)  yang sedia ada perlu untuk menyediakan “strategi” menyeluruh yang berkaitan dalam memastikan sumber makanan negara mencukupi untuk setiap rakyat.

 

Mengukuhkan keupayaan institusi melaksanakan DRN

Kajian Separuh Penggal RMK12 perlu  “mengkaji semula” Dasar Perumahan Negara (DRN) selari dengan konsep Ekonomi MADANI yang diterjemahkan kepada nilai kesejahteraan dan keseimbangan untuk semua rakyat Malaysia yang memiliki kediaman sendiri.

 

DRN perlu mengambil kira keperluan rakyat terutamanya dalam aspek pengurusan perumahan awam dan mampu milik, dan menyediakan perumahan awam atau sosial untuk sekurang-kurangnya 80% rakyat tanpa mengira bangsa.

 

Mengukuhkan keupayaan agensi-agensi berkaitan untuk melaksanakan pelan tindakan DRN dari aspek organisasi, tadbir urus dan sistem sokongan.

 

Ini merangkumi peningkatan kapasiti teknikal tenaga kerja, menggalakkan penyelidikan, penyediaan pangkalan data bersepadu serta memastikan kecukupan sumber kewangan dan undang-undang.

 

Gaji progresif bela nasib rakyat

Kajian Separuh Penggal RMK12 perlu  menetapkan mekanisme pelaksanaan Model Gaji Progresif yang bakal dilaksanakan di Malaysia. Walaupun dasar ini telah diluluskan dalam kabinet, mekanisme yang akan diguna pakai masih lagi belum diputuskan

 

Kerajaan perlu memastikan model gaji progresif yang bakal dilaksanakan kelak lebih adil kerana ia membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dan kemajuan kerjaya. Model gaji progresif ini perlu memberi laluan kerjaya berdasarkan tingkat pengalaman dan kemahiran bagi mengimbangi kehendak majikan dan pekerja.


 

volatiliti

 


Mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam

Di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan, prinsip tadbir urus yang baik, keterbukaan dan agihan secara adil melalui proses demokrasi yang telus akan dijadikan asas penting untuk merencana keutamaan baharu dalam agenda pembangunan.

 

Perubahan yang signifikan adalah diperlukan untuk mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat, mengambil kira isu dan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan baharu, terutama berkaitan defisit kepercayaan terhadap kerajaan terdahulu.

 

Justeru itu, Kajian Separuh Penggal RMK12 juga perlu mentransformasi penyampaian perkhidmatan awam dengan memberi tumpuan kepada aspek seperti ketelusan, integriti, birokrasi dan kecekapan dalam menyampaikan perkhidmatan.

 

KSP  Perlu Pantau Kajian Separuh Penggal RMK12

Jawatankuasa Khas Pemantauan (KSP) RMK12 yang akan ditubuhkan perlu memantau pelaksanaan RMK12.

 

Semoga dengan adanya KSP ini, segala perancangan RMK12 akan berjaya dijalankan dengan mencapai objektifnya selari dengan matlamat Ekonomi MADANI.    - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa