Siapa calon Timbalan Perdana Menteri paling sesuai?
HARI ini sudah hari kelima kita berada di dalam tahun 2022. Segala kenangan yang berlaku tahun 2021 sudah boleh kita jadikan sebagai sejarah.
Negara juga perlu terus bangkit dalam menyelesaikan isu-isu utama demi kelangsungan hidup rakyat. Dalam membawa negara ke arah pemulihan ekonomi ini bukanya satu tanggungjawab yang mudah.
Kejatuhan ekonomi negara ini bukan boleh dipulihkan dengan sekelip mata. Ia bukan magik!
Ucapan tahun baharu PM
Dalam ucapan tahun baharu 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan yang tumpuan negara bagi tahun 2022 melihat kepada 3 tumpuan utama iaitu:
- Mewujudkan sekurang-kurangnya 600,000 peluang pekerjaan baharu di samping pemulihan segera sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS)
- Menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang
- Pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa.
Adakah Malaysia berada di landasan pemulihan ekonomi yang tepat?
“Di atas” kertas, proses pemulihan ekonomi negara nampak baik dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Bajet 2022 untuk memastikan aspek ketahanan serta kesejahteraan ekonomi.
Namun begitu, kita baharu sahaja menjejakkan kaki ke tahun 2022 ini, perjalanan untuk Fasa 1 RMke-12 dan Bajet 2022 ini masih jauh untuk diukur dan dinilai.
Malaysia bangkit di sebalik kesulitan
Di sebalik segala kesulitan yang hadapi, tahun 2021 menyaksikan usaha Kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan ekonomi negara.
Ini telah membuahkan hasil dengan pencapaian positif beberapa indikator-indikator utama ekonomi makro dan rakyat.
Nilai perdagangan mencecah RM2 trilion selepas berkembang 24.6% bagi tempoh Januari hingga November 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia turut meningkat sebanyak 3.0% dalam tempoh Januari-September 2021.
Petanda baik bagi pelabur asing
Pelabur Asing (FDI) sering dilihat sebagai petunjuk popular keyakinan komuniti perniagaan terhadap keutuhan ekonomi sesebuah negara.
Dalam situasi semasa, Malaysia mencatatkan perkembangan positif iaitu meraih RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua, iaitu peningkatan sebanyak 56%.
Jumlah ini menjadikan jumlah FDI bersih bagi tempoh Januari hingga September 2021 sebanyak lebih RM30 bilion.
Ianya satu petunjuk prestasi yang baik bagi pelabur asing negara dan boleh merancakkan semula ekonomi negara.
Konsep Keluarga Malaysia – Kunci Kekuatan
Walaupun semua petunjuk ekonomi menunjukkan keadaan yang positif dalam perkembangan pemulihan ekonomi negara, namun kebersamaan semua pihak adalah kunci utama yang mampu membawa proses pemulihan ekonomi ini dengan lebih baik.
Terdahulu, Ismail Sabri gembira apabila semangat dan kesatuan semua Ahli Parlimen dalam menzahirkan konsep Keluarga Malaysia apabila Rang Undang- undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan oleh kesemua Ahli Parlimen yang hadir seramai 200 orang.
Semangat kebersamaan Keluarga Malaysia ini sudah pasti akan membawa kestabilan politik dan ekonomi negara.
Penubuhan Unit Kemiskinan Negara
Walaupun negara berada dalam situasi politik yang stabil, seperti yang PM janjikan, nilai teras Keluarga Malaysia adalah keterangkuman, kebersamaan dan esyukuran dan tiada seorang pun yang harus tertinggal harus dizahirkan.
Isu kemiskinan pasca pandemik seharusnya menjadi agenda utama kerajaan dan negara. Baru-baru ini, kerajaan telah menubuhkan Unit Kemiskinan Negara.
Apa yang menjadi “tradisinya” banyak unit, badan, pelan dan lain-lain ditubuhkan, namun keberkesanannya yang sering menjadi persoalan dan dipertikaikan.
Pada kali ini, PM sendiri yang akan mengetuai inisiatif Pembasmian Kemiskinan melalui unit ini di peringkat pusat, negeri dan daerah bagi menangani isu kemiskinan dan jurang pendapatan
Pelan tindakannya perlu meliputi kemiskinan di bandar mahupun di luar bandar dan juga memberikan fokus kepada kemajuan dan pembangunan luar bandar di serata Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Mata-Mata Melihat Ismail Sabri
Pasti fokus rakyat adalah melihat kepada apa janji-janji Ismail Sabri dalam mengemudi memulihkan negara. Rakyat terus menilai, dan kad kemajuan terus direkodkan!
Pastinya beban beliau amat besar dalam menjalankan proses pemulihan negara. Walaupun terdapat 4 menteri kanan iaitu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Pertahanan; Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kanan Kerja Raya; Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan Pendidikan; Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin, Ismail Sabri perlukan seorang Timbalan PM.
Siapa Timbalan Perdana Menteri?
Sebelum ini, lantikan kabinet yang besar tanpa Timbalan Perdana Menteri. Tahun 2022 ini, Ismail Sabri dijangka akan melantik seorang Menteri bagi mengisi kekosongan ini bagi membantu beliau dalam proses pemulihan negara.
Siapakah yang bakal dilantikan menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang baharu?
Secara logiknya pelantikan jawatan nombor dua pentadbiran negara ini sama ada dari BERSATU. Namun masih belum boleh buat ramalan dengan jelas lagi.
Namun begitu, Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkemungkinan calon yang akan dipertimbangkan oleh Ismail Sabri untuk jawatan TPM ini.
Azmin merupakan Ketua Penerangan Perikatan Nasional serta Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, manakala Ahmad Faizal pula merupakan Timbalan Presiden Bersatu.
Jika dilihat kepada kedudukan ke kanan, Azminlah yang akan dilantik sebagai TPM. Azmin merupakan Menteri Kanan pentadbiran zaman Muhyiddin dan Ismail Sabri. Sewaktu era Muhyiddin, Azmin juga telah diberi mandat untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet seandainya Muhyiddin tiada.
Di sisi berbeza, Timbalan Presiden BERSATU dan Datuk Seri Ahmad Faizal, yang disebut-sebut bakal dilantik menjadi TPM sewaktu Ismail Sabri diangkat menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
Namun, ia tidak berlaku, jawatan TPM dikosongkan ketika Ismail Sabri mengumumkan barisan Kabinetnya.
Tidak mustahil juga tiba-tiba nama lain diangkat menjadi TPM baharu.
Sama-sama bantu pulihkan negara
Pastinya jawatan TPM ini akan menjadi “isu sensasi” seminggu dua ini. Mungkin juga ada yang menyatakan perlukah jawatan TPM ini diisi.
Ya, ia perlu diisi.
Sekurang-kurangnya adalah orang No 2 yang boleh membantu Ismail Sabri dalam membantu beliau dalam usaha memulihkan negara. Ia bukan tugas mudah. Sebagai manusia, kadangkala ada masanya kita tidak mampu melakukannya semuanya sendiri.
Sinar Baharu 2022
Semoga dengan pelantikan TPM yang baharu nanti dengan sempena tahun 2022 ini akan membawa sinar baharu buat Malaysia.
Semoga TPM yang baharu nanti bersama-sama Perdana Menteri dan kabinet kerajaan mampu mewujudkan ekosistem ekonomi yang baik buat Malaysia.
Laporan Prospek Global Separuh Pertama 2022 OCBC Treasury Research yang dikeluarkan menyatakan bahawa terdapat peluang yang baik untuk pemulihan ekonomi meningkat dengan cepat, kepada pertumbuhan 5.0% yang lebih menggalakkan pada 2022. Semoga ia berjaya dicapai! - DagangNews.com
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.