Tangani isu beras jangan macam “Enau Dalam Belukar” | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 26 September 2023

Tangani isu beras jangan macam “Enau Dalam Belukar”

 

 

 

TERKINI, rakyat Malaysia panik apabila beras naik harga dan dikata bakal tiada dalam pasaran.  Bab beras ni, jangan main-main ya, boleh buat gaduh. Ini kerana beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia.

 

Dek kerana semua rakyat Malaysia makan nasi, permintaan beras tidak pernah berkurangan dan sentiasa bertambah dari setiap tahun. Ini menjadikan beras komoditi yang paling stabil dari perspektif permintaan di pasaran pengguna.

 

Tapi kenapa tiba-tiba sahaja beras tak cukup dan harga naik?

 

Faktor beras putih tempatan (BPT) berkurang

Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada gangguan bekalan beras di Malaysia. Terdapat faktor global, faktor domestik dan faktor kawalan. Antaranya ialah:

 

  1. India telah melaksanakan dasar menyekat eksport beras putih sejak Julai tahun ini. Kenapa India berbuat demikian? Ini bagi mengelakkan kenaikan harga dan melindungi pengguna miskin di negaranya. 

    Langkah itu juga dilaksanakan kerana India mahu memastikan kecukupan bekalan beras domestik susulan ancaman cuaca terutama el-Nino. Tindakan India menyekat eksport beras putih memberi impak besar kepada pasaran beras dunia kerana eksport India dalam perdagangan beras dunia adalah 40 % atau 22 juta tan dieksport kepada 140 negara. Hal ini memberi kesan kepada Malaysia yang merupakan  pengimport beras utama.

 

  1. Apabila beras import berkurangan, harga beras putih import (BPI) turut meningkat. Apabila harga BPI meningkat dan membawa peralihan peningkatan permintaan kepada BPT. Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) melaksanakan penyelarasan harga BPI di pintu gudang daripada RM2,350 kepada RM3,200 per tan. Jumlah kenaikan yang tinggi ini yang membawa harga BPI yang naik. Kenapa BERNAS membuat pelarasan ini? Penyelarasan ini berikutan tekanan pasaran antarabangsa menerusi kenaikan harga pasaran beras dunia melonjak ke paras tertinggi serta boleh memberikan impak pada peranan BERNAS.

 

  1. Akibat harga BPI yang naik dan permintaan kepada BPT meningkat, berlaku pembelian panik dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya perniagaan atau pengusaha makanan.  Pembelian panik dengan jumlah yang besar ini telah menyebabkan gangguan kepada pasaran beras di Malaysia. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengambil langkah segera dengan menguatkuasakan had maksimum pembelian sebanyak 100 kilogram bagi setiap transaksi individu.

 

  1. Faktor domestik seperti cuaca dan serangan penyakit juga membawa kepada kekurangan penghasilan padi di Malaysia. Dianggarkan antara 3%-5% pengurangan penghasilan padi di Malaysia bagi setiap musim. Pengurangan penghasilan padi pada tiga musim berturut-turut antara punca juga yang membawa kekurangan BPT dalam pasaran domestik.

 

  1. Faktor lain yang membawa kepada kekurangan BPT ialah apabila peruncit tidak mahu menjual kampit BPT berikutan menerima margin keuntungan sekitar 20 sehingga 50 sen sahaja bagi setiap kampit dijual. Oleh itu, peruncit lebih gemar menjual BPI menawarkan kadar komisen lebih tinggi.

 

  1. Ada juga pengilang yang mengambil kesempatan dengan melakukan amalan campuran kedua beras BPI dan BPT bagi mengaut keuntungan. Akibat harga beras BPI yang tinggi, pengilang mencampur BPI dalam bungkusan BPI. Kegiatan ini menyebabkan BPT berkurangan dalam pasaran domestik. Amalan mencampur beras ini bukan perkara baharu, malah sudah lama dilaksanakan dengan mengikut peratusan tertentu tetapi tindakan pengilang memanipulasi perkara ini menyebabkan gangguan bekalan pada BPT.

 

Apa kerajaan perlu buat?

 

  1. Perketatkan Peraturan Kawalan Gred dan Harga & Akta Kawalan Padi dan Beras 1994

Bagi memastikan semua pengilang atau peniaga untuk tidak mengambil kesempatan dengan memanipulasikan isu kekurangan BPT ini, kerajaan perlu mengambilkan tindakan tegas  jika ada pihak yang melakukan penipuan dan penyelewengan.

Undang-undang sedia ada seperti Peraturan Kawalan Gred Dan Harga serta Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 perlu diperketatkan.

 

Pihak kementerian “jangan buat tak tahu je”. Kementerian perlu memastikan agar integriti rantaian bekalan BPT terkawal bagi mengekang pengilang dan pemborong mengambil kesempatan. Tindakan tegas perlu diambil kepada pengilang dan pemborong yang bersalah.

 

  1. Segera bertindak Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACOOL)

NACCOL perlu segera membincangkan isu beras ini dan mengambil tindakan. NACCOL perlu tampil dengan strategi dan langkah jangka masa pendek dan panjang bagi menyelesaikan isu ini.

 

Ini penting kerana nasi merupakan makanan ruji. Jika sebelum ini ada kekurangan makanan lain seperti ayam, telur, sayur dan lain-lain, makanan ini merupakan makanan alternatif tetapi berbeza dengan beras (nasi) yang merupakan makanan asas atau ruji.

 

  1. Rundingan kontrak bekalan

Bagi mengelakkan kebergantungan mengimport beras dari India dan Thailand, kerajaan perlu melakukan rundingan kontrak bekalan beras dengan mana-mana negara pengeksport yang mempunyai lebihan eksport.

 

Antara negara-negara yang boleh di melakukan rundingan kontrak dengan negara Kemboja, Myanmar dan Brazil untuk memastikan bekalan beras mencukupi bagi rakyat Malaysia.

 

  1. Maksimumkan penggunaan tanah

Kerajaan perlu mengambil inisiatif memaksimumkan penggunaan tanah bagi bagi penanaman padi di Malaysia. Program seperti SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang menyasarkan kawasan padi seluas 150,000 hektar semusim dengan sasaran pengeluaran hasil padi 7.0 tan per hektar perlu diperbanyakkan.

 

Selain itu, penanaman padi 5 musim dalam 2 tahun juga boleh diperluaskan banyak  memastikan output pengeluaran bagi di Malaysia semakin bertambah.

 

  1. Penggantian subsidi input kepada subsidi output

Kerajaan juga boleh menukar kaedah pemberian subsidi dari pemberian subsidi input kepada subsidi output. Dengan memberi subsidi berdasarkan output pengeluaran yang dikeluarkan daripada memberi subsidi secara input kepada petani akan meningkatkan motivasi petani untuk menghasilkan pengeluaran yang lebih tinggi.

 

Bukan macam “enau di dalam belukar”

Bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan beras BPT ini perlu melibatkan semua pihak. Isu ini isu keselamatan makanan. Semua pihak tidak boleh melepaskan pucuk masing -masing ibarat enau dalam belukar. Tidak kira pihak kementerian, agensi kerajaan, pengilang, pemborong mahupun peruncit.

 

Isu beras ini berkait dengan kebajikan rakyat. Jika isu ini tidak dapat ditangani dengan baik oleh semua pihak dan kerajaan, pastinya Kerajaan Perpaduan akan menerima “kritikan” daripada rakyat. Kekurangan beras dan kenaikan harga beras ini akan menghimpit rakyat dengan kos sara hidup yang akan semakin tinggi.  - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

Portfolio Tags