Tidak boleh selesa dengan status quo, NIMP 2030 perlu “Berjiwa Besar” | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 5 September 2023

Tidak boleh selesa dengan status quo, NIMP 2030 perlu “Berjiwa Besar”

 

 

 

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). NIMP ini merupakan satu kerangka baharu dalam menentukan hala tuju perindustrian negara.

 

NIMP baharu ini yang telah disemak semula daripada pelan induk asal dilihat sebagai satu pelan induk yang mempunyai strategi komprehensif dan pelan tindakan bagi memastikan sinergi di peringkat dasar dan industri di Malaysia.

 

Kenapa NIMP 2030 ini diperbaharui?

NIMP disemak semula dengan mengambil kira situasi semasa dan bagaimana negara mahu mengukuhkan semula perindustrian negara.

 

Terdapat 2 faktor yang membawa kepada NIMP ini diperbaharui iaitu:

 

  1. Melihat kepada pelbagai cabaran global dan domestik yang terus menghalang pertumbuhan, termasuk pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),
     
  2. melihat pelbagai trend dunia yang berlaku dan ketegangan geopolitik yang telah mempengaruhi rantaian bekalan global dan persekitaran perdagangan.


     
nimp

 


NIMP ini juga bakal mewujudkan ekosistem yang menyokong dan membantu memangkin pembangunan perindustrian Malaysia pada masa hadapan.

 

NIMP ini sejajar dengan konsep Ekonomi MADANI Kerajaan Perpaduan, objektif karbon sifar bersih 2050 dan dasar utama MITI seperti Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), Dasar Pelaburan Nasional (NIP) dan Industri4WRD.

 

Uniknya NIMP 2030

Apa yang uniknya NIMP ialah pelan induk ini mengambil pendekatan berbeza berbanding pelan-pelan induk yang lain terdahulu.

 

NIMP ini buat pertama kalinya dilaksanakan berasaskan misi berbeza dengan transformasi industri sebelum ini dan tiga pelan induk perindustrian semenjak 1986.

 

Antara misi yang disasarkan dalam NIMP ini ialah:

  1. Kemajuan ekonomi rumit
  2. Agenda negara digital
  3. Ke arah negara sifar karbon
  4. Mengawal keselamatan dan keterangkuman ekonomi

 

NIMP memacu transformasi industri

NIMP mempunyai matlamat yang relevan dengan keperluan dan cabaran semasa dalam ekonomi global yang semakin berubah dan teknologi yang semakin maju. NIMP ini bakal memacu transformasi negara dalam bidang industri. Apa yang disasarkan oleh Malaysia dalam memacu transformasi industri ini ialah:

  • Industri yang berdaya saing
  • Saingan sihat dengan industri sedia ada
  • Berpendapatan tinggi dan tenaga yang berkemahiran
  • Seimbang dan inklusif
  • Hubungan domestik yang kukuh
  • Pembangunan mampan


 

nimp

 


Ambil Indonesia sebagai contoh

Malaysia perlu mengambil Indonesia sebagai contoh apabila Indonesia berjaya memulihkan ekonomi negara itu pasca pandemik.

 

Baru-baru ini, Bank Dunia telah menobatkan Indonesia sebagai negara berpendapatan menengah. Ini kerana Indonesia berjaya naik ke kelompok menegah sepanjang tahuhn 2022 berikutan pemulihan ekonomi yang kukuh walalupun inflasi global berlaku.

 

Dasar hiliran sumber asli yang dilakukan oleh Indonesia  memberi impak yang besar dengan meningkatkan prestasi eksport dan mengukuhkan imbangan luar sehingga menjadikan Indonesia salah satu daripada beberapa negara di dunia yang pulih dengan cepat.

 

Di samping itu, Indonesia komited untu mengekalkan kualiti pemulihan ekonomi dengan penurunan kadar kemiskinan dan penurunan kadar pengangguran.

 

Malaysia jangan terlalu leka

Dalam sitausi semasa, Malaysia tidak boleh terus terleka. Banyak negara-negara terutamanya di rantau Asia ini telah mula bangkit dengan cepat memulihkan ekonomi mereka dengan dasar perindustrian yang lebih kompetitif.

 

Malaysia perlu segera melaksanakan pembangunan industri lestari berasaskan teknologi.  Kini, industri seperti aeroangkasa dan kenderaan elektrik (EV) yang menjadi pemangkin kepada industri lain.

 

Industri-industri perlu ditingkatkan dari segi nilai tambah dengan menggunakan buruh berkemahiran tinggi terutama dalam bidang reka bentuk dan pembangunan cip. Semua usaha ini memerlukan perancangan yang rapi supaya pembinaan kapasiti dapat dilaksanakan dengan sistematik.


 

parafrasa

 


Perlu fokus industri berskala besar

Sektor perindustrian negara tidak boleh lagi selesa dengan ‘status quo’ sedia ada sebaliknya perlu membuat transformasi kepada industri dalam skala yang lebih besar.

 

Berbaki 7 tahun lagi NIMP  perlu segera mengambil pendekatan  transformatif bagi mencapai misi yang telah di tetapkan.

 

NIMP perlu dijadikan “asas” untuk meletakkan Malaysia kuasa ekonomi serantau dan memastikan negara kekal berdaya saing dalam cabaran global yang semakin meningkat.

 

Sektor pembuatan enjin ekonomi

Walaupun industri yang berskala besar dan berteknologi tinggi merupkan tumpuan NIMP, sektor pembuatan tidak boleh nafikan sumbangnya. Sebagai contoh pada suku tahun 2023, sektor pembuatan menyumbang sebanyak 23.6% kepada KDNK iaitu penyumbang kedua terbesar ekonomi negara.

 

Secara puratanya, sektor pembuatan menyumbang sebanyak 80% kepada jumlah eksport dan 17% kepada jumlah tenaga kerja di Malaysia. Sektor pembuatan dilihat sebagai enjin yang boleh membantu memulihkan ekonomi negara.

 

Impak tinggi kepada negara

NIMP perlu menjadi trajektori Malaysia dalam pembangunan industri bagi melebarkan hubungan domestik bagi mengukuhkan kedudukan dalam rangkaian nilai global.

 

Jika berjaya dilaksanakan, NIMP akan memberi nilai RM587.5 bilion kepada KDNK , 3.3 juta pekerjaan dan RM4,510 purata gaji bagi rakyat Malaysia.

 

Pelaburan domestik perlu dilindungi

Walaupun NIMP ini membawa agenda yang besar untuk negara, diharapkan agar kerajaan terus memastikan agar kepentingan pelaburan langsung domestik (DDI) terus dilindungi.

 

Apa yang dirisaukan apabila NIMP dan dasar liberalisasi ini dilaksanakan,  DDI akan “menjadi mangsa”. Moga NIMP yang bakal dilaksanakan akan melihatkan kepentingan DDI juga.


 

nimp

 


Ekonomi global yang sentiasa berubah

Untuk melaksanakan NIMP, pastinya mempunyai cabaran buat Malaysia. Malaysia bersaing dalam ekonomi global yang sentiasa berubah. Saingan daripada negara-negara lain dalam menarik pelaburan asing, memasarkan produk, dan menjana eksport antara yang perlu diperhalusi oleh Malaysia dalam mengatur strategi dalam melaksanakan NIMP.

 

Malaysia perlu segera melakukan transformasi digital dan kemajuan teknologi bagi industri yang perlu beradaptasi dengan teknologi terkini dan memacu inovasi dalam proses dan produk.

 

Tadbir dengan baik

NIPM ini perlu  ditadbir dengan penuh teliti dan penuh komitmen untuk memastikan Malaysia terus bersaing dalam ekonomi global yang sentiasa berubah.

 

Matlamat utama pelan ini adalah untuk memodenkan industri, meningkatkan produktiviti, memastikan kelestarian alam sekitar, dan menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan dalam industri moden. - DagangNews.com

 
Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI


 

parafrasa

 

 

Portfolio Tags