Wajarkah Institusi Kewangan Islam ASEAN Ditubuhkan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 24 Aug 2022 07:00 AM

Wajarkah Institusi Kewangan Islam ASEAN Ditubuhkan?

 

 

 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah mengesyorkan agar menubuhkan Institusi Kewangan Islam ASEAN.

 

Baginda yang juga Penaung Diraja bagi Inisiatif Kewangan Islam Malaysia percaya penubuhan Institusi Kewangan Islam ASEAN boleh membantu merangsang perdagangan dan meningkatkan pekerjaan.

 

Kenapa perlu Institusi Kewangan Islam ASEAN?

 

Pada masa kini, kewangan Islam menjadi semakin penting dalam sistem kewangan global. Landskap kewangan global sudah mula beralih kepada kewangan Islam.

 

Perkembangan kewangan Islam ke dalam pasaran berbeza mencerminkan corak integrasi kewangan dan ekonomi global yang lebih luas. Ini termasuk pengukuhan berterusan hubungan kewangan dan ekonomi antara negara di rantau Asia dan Asia Barat.

 

Kewangan Islam semakin dilihat sebagai alternatif menarik untuk meningkatkan modal, manakala pelabur pula melihatnya sebagai kelas aset baharu untuk portfolio pelaburan mereka.

 

Pengembangan kewangan Islam global yang berterusan telah berlaku meskipun dalam persekitaran yang mencabar disebabkan oleh krisis kewangan global dan baru-baru ini, pandemik yang melanda. Ia bukti  menunjukkan daya tahan kewangan Islam sebagai sistem kewangan yang stabil.

 

ASEAN

 

Bolehkah Institusi Kewangan Islam ASEAN ditubuhkan?

ASEAN adalah sebuah organisasi yang didirikan dengan tujuan untuk mensejahterakan dan memajukan negara di Asia Tenggara.

 

Merujuk kepada tujuan ASEAN yang diambil dari isi Deklarasi Bangkok menyatakan antara tujuan ASEAN ialah bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial, serta pengembangan kebudayaan di wilayah Asia Tenggara.

 

Hal ini boleh dilakukan melalui usaha bersama dengan semangat kesamaan dan semangat persahabatan ASEAN.

 

Melihat kepada tujuan ASEAN ini, penubuhan Institusi Kewangan Islam ASEAN ini boleh dilaksanakan dan tidak “melanggar” dasar ASEAN itu sendiri.

 

Sejarah kewangan Islam dunia

Di awal penubuhan perbankan Islam ini bermula apabila Mit Gharm Local Saving Bank ditubuhkan di Mesir pada tahun 1963 tanpa penggunaan istilah Syariah secara rasmi.

 

“German Saving Bank” dijadikan sebagai model dalam penubuhan bank ini dan sedikit pengubahsuaian dijalankan untuk menepati konsep sebagai sebuah bank Islam.

 

Beberapa tahun kemudian, IDB (Bank Pembangunan Islam) ditubuhkan pada sidang Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) pada tahun 1973. Negara-negara anggota OIC telah menyertai IDB dan membantu dalam perkembangan perbankan Islam di negara-negara anggota.

 

IDB terlibat secara aktif dalam menggunakan dana bank untuk membangunkan masyarakat Muslim sedunia.

 

Beberapa buah bank berkonsepkan perbankan Islam mula ditubuhkan, antaranya Dubai Islamic Bank yang ditubuhkan pada tahun 1975, Faisal Islamic Bank of Sudan pada tahun 1977, Faisal Islamic Egyptian Bank dan Islamic Bank Jordan pada tahun 1978, Islamic Bank of Bahran pada 1979, The International Islamic Bank of Investment and Development, Luxembourg pada 1980.


 

IDB

 


Bermula kewangan Islam di Malaysia

Di Malaysia, kewangan Islam bermula pada tahun 1963 dengan penubuhan Lembaga Tabung Haji (LTH). Ia merupakan satu mekanisme simpanan bagi umat Islam di Malaysia untuk membuat simpanan secara tetap dan berterusan bagi tujuan mengerjakan fardu haji. Dana ini seterusnya dilaburkan dalam sektor-sektor ekonomi negara yang produktif yang berorientasikan pulangan bebas riba’.

 

Seterusnya, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pula ditubuhkan pada tahun 1983 setelah penubuhan operasi Bank Islam dicadangkan kepada kerajaan sekitar tahun 1981. Bank ini menjalankan perniagaan perbankan yang berlandaskan prinsip-prinsip syariah.

 

BIMB juga menawarkan produk-produk deposit seperti deposit semasa dan deposit simpanan yang berdasarkan konsep Al-Wadiah (dengan jaminan) dan deposit pelaburan yang berdasarkan konsep Al-Mudharabah (perkongsian keuntungan), pembiayaan perumahan di bawah Bai’ Bithaman Ajil (jualan dengan harga tertangguh), sewaan berdasarkan Al-Ijarah dan pembiayaan projek berdasarkan Al-Musyarakah (perkongsian untung dan rugi).

 

Susulan daripada kejayaan pertubuhan perbankan Islam yang sebelumnya membawa kepada penubuhan bank Islam yang kedua, iaitu Bank Muamalat Malaysia Berhad pada 1 Julai 1999.


 

volatiliti

 


Prospek kewangan Islam

Prospek kewangan Islam dilihat mempunyai peluang untuk berkembang dengan baik pada masa hadapan.  Seperti yang kita tahu, populasi muslim juga semakin bertambah. Pada tahun 2030, populasi muslim akan meningkat sehingga 6.2 juta.

 

Sebanyak 62% daripadanya tinggal di Asia, 19.8 % orang Islam tinggal di kawasan Timur Tengah dan Utara Afrika, 15.5% di Sub Sahara di Afrika, 2.7% di Eropah dan 0.2% di Amerika. Daripada data dan statistik ini akan mendorong permintaan kepada kewangan Islam yang semakin meluas. Kebanyakan negara OIC melaksanakan kewangan Islam termasuklah Iran, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.

 

Dek kerana ini,  prospek terhadap permintaan sektor kewangan Islam merupakan satu prospek yang signifikan bagi perkembangan sektor kewangan Islam global amnya dan  di Malaysia khususnya.

 

Kawal selia dan penguatkuasaan piawaian

Jika Institusi Kewangan Islam ASEAN ingin ditubuhkan, usaha kolektif perlu dipertingkatkan bagi memastikan kewangan Islam tertakluk kepada peraturan yang koheren dan berkualiti tinggi.

 

Struktur kawal selia bagi Institusi Kewangan Islam ASEAN mesti menjangkau semua sempadan dengan aplikasi universal dan penguatkuasaan semua piawaian yang diperlukan.

 

Dimensi antarabangsa yang dipertingkatkan dengan disertai dengan set cabaran baharu, yang mempunyai ciri yang lebih  dinamik yang lebih kompetitif.  Jika ianya boleh dilakukan, pastinya ia akan menyumbang kepada integrasi antarabangsa kewangan Islam yang lebih berjaya.


 

volatiliti

 


Pengukuhan tadbir urus korporat dan sistem pengurusan risiko

Institusi Kewangan  Islam ASEAN juga perlu mempunyai agenda utama untuk membina satu industri kewangan Islam yang kukuh, stabil dan berpandangan global bagi menghadapi cabaran yang semakin meningkat dalam persekitaran perbankan dan kewangan.

 

Pengukuhan tadbir urus korporat dan sistem pengurusan risiko institusi kewangan Islam perlu menjadi agenda utama sebelum penubuhannya. Pelan Induk 10-Tahun Kewangan Islam perlu dibangunkan untuk menggariskan hala tuju industri perkhidmatan kewangan Islam ASEAN ini.

 

Pelan Induk ini akan menjadi asas bagi pembangunan kewangan Islam dengan menggariskan rangka tindakan dan arah tuju strategik bagi perkembangan kewangan Islam ASEAN.

 

Kewangan Islam dan sistem jaminan

Kewangan Islam dilihat mampu menggalakkan aliran masuk modal persendirian ke negara-negara Islam termasuk ASEAN. Kewangan Islam memberi satu jaminan untuk industri modal kerja dan peralatan.

 

Jaminan sedemikian dapat membantu menggalakkan aliran masuk modal persendirian dengan lebih banyak.

 

Pelindungan modal pelaburan oleh muḍārib dan mushārik atau pihak ketiga bagi memastikan prinsip pelaburan Islam yang sebenar ini mampu untuk terus berkembang dan memberikan manfaat kepada perkembangan industri, pelabur dan pengguna.

 

Kontrak pelaburan seperti muḍārabah dan mushārakah perlu diperluaskan penggunaannya di negara ASEAN.


 

volatiliti

 


Di samping itu, beberapa teknik pengukuhan kredit produk pelaburan muḍārabah dan mushārakah seperti Investment Risk Reserve (IRR), Profit Equalization Reserve (PER), janji beli asset pelaburan (purchase undertaking) membuatkan kewangan Islam ini mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi terutamanya di negara ASEAN.

 

Tuntasnya, jika Institusi Kewangan Islam ASEA ini berjaya ditubuhkan, ia dijangka mampu untuk menarik lebih banyak kemasukan pelaburan asing bagi membiayai projek infrastruktur dan seumpamanya di rantau ASEAN. Ini akan sekali gus membangunkan ekonomi negara ASEAN. – DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Segamat dan merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI