Wujudkan perundangan pelaburan untuk elak kerugian negara | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 29 May 2023

Wujudkan Perundangan Pelaburan Untuk Elak Kerugian Negara

 

 

MALAYSIA dalam proses pemulihan ekonomi pasca pandemik. Proses pemulihan ini perlu selari dengan sokongan dan dorongan pelaburan asing yang masuk ke Malaysia.

 

Pelaburan asing memainkan peranan yang penting dalam ekonomi negara dengan memberi pelbagai manfaat dan kesan berganda yang meluas.

 

Peningkatan pelaburan akan membantu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara termasuk Malaysia.

 

Pelaburan asing akan membawa modal masuk dan boleh meningkatkan jumlah pelaburan dalam sektor-sektor penting yang kritikal seperti industri infrastruktur, teknologi dan sumber manusia.

 

Sejarah terburuk status semasa pelaburan Malaysia

Menurut Ranking Daya Saing Dunia International Institute for Management Development (IMD), pada tahun 2023 ini kedudukan Malaysia pada tangga ke-32 berbanding ke-25 pada tahun lalu daripada 63 buah negara.

 

Malaysia telah jatuh 7 tangga daripada tahun sebelum ini dan ini merupakan prestasi terburuk negara setakat ini semenjak tahun 1996. Pada tahun1996, Malaysia pada ketika itu berada pada ranking ke-5 dan kini lihat  tangga ke-32. Tengok lah, makin lama makin teruk dan merosot.

 

Apakah punca perkara ini berlaku?

Kenapa ranking daya saing pelaburan Malaysia semakin menurun? Adakah Malaysia bukan pilihan pelabur asing lagi? Tapi kenapa?

 

Secara asasnya banyak faktor yang menyumbang kepada menurunnya daya saing pelaburan negara ini. Namun secara asasnya terdapat jurang yang besar antara penggalakan pelaburan dan autoriti di negara ini.

 

Siapa yang bertanggungjawab?

 

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang sepatutnya menjadi “pihak berkuasa”  pelaburan tunggal dan tertinggi di Malaysia. MIDA bukan sahaja sepatutnya menjadi ejen promosi pelaburan semata-mata.

 

 

parafrasa

 

Peranan dan tanggungjawab MIDA

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau Malaysia Investment Development Authority MIDA) ialah sebuah agensi kerajaan Malaysia ditubuhkan bagi memberi nasihat kepada kerajaan persekutuan dan negeri-negeri dalam dasar-dasar pembangunan perusahaan dan memberi khidmat runding cara kepada syarikat.

 

Diperbadankan sebagai badan berkanun di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA), penubuhan MIDA pada tahun 1967.

 

Fungsi MIDA ialah:

  1. Menarik pelabur asing dengan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dengan menawarkan pelbagai insentif dan kemudahan infrastruktur.
  2. Membantu pembangunan industri tempatan dengan memberi sokongan dan galakan kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi dalam sektor industri.
  3. Memudahkan pembangunan infrastruktur dengan memainkan peranan dalam memudahkan pembangunan infrastruktur bagi sokongan kepada sektor pelaburan
  4. Membantu penyelarasan pelaksanaan dasar ekonomi dengan berperanan sebagai perantara antara pelabur dan kerajaan Malaysia dalam menyelaras dan melaksanakan dasar-dasar ekonomi.

 

Adakah MIDA menjalankan fungsinya? MIDA telah dikritik “terlalu asyik” dengan urusan birokrasi dalaman berbanding keperluan pelaburan dan usahawan. Betul atau pun tidak, tidak dapat dipastikan!

 

Perkasakan peranan dan fungsi MIDA

Kerajaan perlu perkasa kan peranan dan fungsi MIDA bagi mengukuhkan semula pelaburan Malaysia. Baru-baru ini, Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk memperkasakan MIDA sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga menyatakan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyusun semula ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara yang akan dimulakan dengan penyelarasan fungsi dan peranan IPA serta koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan secara berfasa.

 

Jika mahu MIDA sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara, apa yang perlu di lakukan ialah pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform.

 

Selain itu,  satu “dashboard tunggal” juga perlu diwujudkan bagi  menangani isu-isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan serta pemudah cara perjalanan pelabur.

 

Jika MIDA sebagai agensi penggalakan dapat diperkasakan, Malaysia boleh kembali bangkit dan menarik pelabur asing datang ke Malaysia.

 

 

parafrasa

 

 

MPN tidak boleh lagi berpeluk tubuh

Dalam masa yang sama, selain MIDA, Majlis Pelaburan Negara (MPN) juga perlu menjadi satu badan eksekutif tertinggi yang cekap dalam merencanakan agenda pelaburan negara. MPN juga perlu bertanggungjawab untuk menangani isu-isu dan cabaran utama dalam hal berkaitan pelaburan strategik dan berimpak tinggi.

 

MPN tidak boleh lagi “berpeluk tubuh” dan seharusnya agresif mengkaji daya maju untuk menambah baik kaedah bagi merancakkan lagi aktiviti dan mengukuhkan ekosistem pelaburan Malaysia.

 

Perkenalkan perundangan pelaburan

Malaysia perlu untuk memperkenalkan perundangan pelaburan. Sudah sampai masanya Malaysia mempertimbangkan untuk mempunyai akta atau garis panduan mengenai pelaburan yang menumpukan kepada industri perkhidmatan berbanding perdagangan.

 

Malaysia masih belum mempunyai akta untuk menyelia pelaburan asing, Tiada peraturan atau juga garis panduan khusus bagi hal ini.

 

Buat masa kini, ia menjadi  budi bicara bagi sesetengah pihak berkuasa dan kementerian mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan pelaburan asing atau peratusan pemilikan asing. Sebagai contoh,  dalam industri telekomunikasi yang mana Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang diguna pakai dalam menentukan pelaburan asing dalam industri ini.

 

Untuk menyelia pelaburan asing ini dengan lebih baik, akta atau garis panduan yang khusus perlu diwujudkan dan Malaysia boleh mengambil contoh Korea yang mempunyai Akta Penggalakan Pelaburan Asing Korea Selatan (FIPA) 1998 dan juga Vietnam seperti Undang-Undang Vietnam yang berkaitan pelaburan mereka.

 

Kini, negara-negara Asia yang lain seperti  Thailand, Indonesia dan Vietnam, Kemboja dan Laos juga semakin giat melakukan perubahan dalam landskap pelaburan, khususnya pelaburan berkaitan pembuatan dan pembinaan/pembangunan infrastruktur.

 

Jika Malaysia tidak berubah dan bersaing, pasti kedudukan Malaysia semakin tercabar.

parafrasa

 

 

Mampukah Malaysia tarik kembali pelabur asing?

Jika Malaysia mahu menarik semula pelabur asing ke Malaysia, kerajaan perlu untuk menambah baik dan mengukuhkan landskap ekonomi dan pelaburan bagi meningkatkan semula keyakinan, kepastian dan kebolehpercayaan pelabur.

 

MPN, MIDA dan IPA perlu mengkaji dengan teliti keperluan akta, panduan dan tadbir urus yang baik bagi menghadapi persaingan antarabangsa. Seperti yang kita tahu, kini persaingan pelaburan asing sangat sengit dengan keadaan prospek ekonomi global yang tidak menentu.

 

Dalam masa yang sama juga, kerenah birokrasi yang menjadi antara penghalang pelabur melabur di Malaysia perlu diselesaikan dengan segera dan sebaik mungkin. Ini kerana birokrasi akan “menyusahkan” pelabur dan meningkat kos mereka yang akhirnya mereka mengubah destinasi pelaburan mereka ke negara lain.

 

Jika mahu kembali sebagai sebuah negara yang kompetitif dalam pelaburan asing, Malaysia perlu segara “sedar” yang kini banyak negara lain yang menjadi pilihan pelabur asing. Jangan syok sendiri lagi! - DagangNews.com

 

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags