Berpuasa bersama keluarga angkat di New Zealand | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 30 March 2023

Berpuasa bersama keluarga angkat di New Zealand

 

 

 

SAYA tinggal di New Zealand pada tahun 1983 hingga 1988 sebagai pelajar tajaan JPA. Pada mulanya kami dihantar untuk Tingkatan 6 di Wainuiomata College, Wellingtom tetapi berjaya naik ke Tingkatan 7 hasil dari usaha guru besar, mendiang Trevor Langley.


 

Trevor Langley
             Trevor Langley

 


Dari itu saya dengan dua orang lagi rakan, Azmy dan Nizaruil hanya memerlukan setahun di kolej dan rakan yang lain seramai 80 orang terpaksa duduk di Tingkatan 6. Saya bersyukur kerana tingkatan lebih kurang subjek sama dengan Tingkatan 5 untuk mengambil SPM.

 

Di Tingkatan 7 sama seperti Tingkatan 6 atas di Malaysia untuk mengambil STP atau HSC. Sekiranya saya lulus HSC barulah diterima masuk ke universiti. Bukan terus masuk universiti.

 

Pada mulanya saya tinggal dengan (arwah Dato) Alias di Lower Hutt, Wellington yang kebetulan di sebelah rumah Perdana Meneri New Zealand waktu, Sir Robert Muldoon.

 

Saya sempat bercakap dengan Sir Robert di luar rumahnya yang tidak dijaga dan dia ke parlimen dengan kereta peribadinya.


 

parafrasa


 

Tiada polis mengawal dan tiada kemudahan lain, tidak seperti menteri-menteri kita yang dikawal polis, kenderaan rasmi dengan gaji dan elaun dari kerajaan.

 

Saya sukakan ahli politik New Zealand yang lebih berdisplin di parlimen dan tiada apa yang lebih untuknya di kementerian. Bekerja untuk rakyat dan negara.

 

Saya dan Azmy kemudian pindah ke rumah keluarga angkat Ian dan Anne Smith yang duduk di Wainuiomata. Itulah pertama kali sebagai budak kampung dari Kuala Rompin, Pahang mendapat keluarga angkat.

 

Apalagi saya terkejut mereka memiliki anjing yang besar di rumah dan pertama kali kena samak bila anjing itu mencium pipi. Tetapi hari berlalu, anjing itu baik dan selalu membawa keluar melontar kayu di kawasan taman di belakang rumah.

 

Kedua-duanya sedikit memahami mengenai Islam terutama makanan halal tetapi waktu itu, tiada lagi jualan daging halal di Wainuiomata dan kami terpaksa makan apa yang diberi kecuali babi. Kedua-dua mereka makan pagi dengan daging babi dan kami hanya roti berbekalkan tomato dan epal.

 

Islam masih asing di New Zealand dan ramai kawan tidak tahu mengena agama tetapi ingin mengetahui. Kami menerangkan mengenai agama Islam dan mereka menghormati kerana ada juga yang atheis.


 

parafrasa
Rumah keluarga angkat di Wainuiomata, New Zealand

 


Kami bersolat seperti biasa dari subuh hingga Isyak. Tidak dikacau kecuali anjing yang melihat pergerakan.

 

Lagi mengejutkan Ian Smith adalah ahli Freemason yang aktif dan berjawatan penting. Pengetua kolej kami juga merupakan ahli Freemason berpangkat tinggi.

 

Sekali saya pergi ke lodge Freemason juga menyertai beberapa perkelahan dengan keluarga Freemason di luar Wainuiomata seperti Masterton dan tempat lain.

 

Pertama kali saya pergi ke Lodge. Ian memberitahu saya bagaimana struktur Freemason dan bagaimana ia berfungsi. Saya masih ingat dia berkata, ya, saya ingat dengan jelas bahawa dia juga membaca al-Quran (terjemahan), Bible dan kitab suci lain.

 

Tetapi Freemason mengatasi semua agama.

 

Saya masih ingat bertanya kepada Ian, "Bagaimana untuk menjadi ahli Freemason?"

 

Dia menjawab, "Seseorang tidak boleh memohon Freemason kerana kami menjemput untuk masuk!"

 

Saya dijemput.

 

Dia ada menyebut beberapa nama terkemuka (Melayu) yang, menurutnya, ahli Freemason.

 

Nama mereka di lodge.

 

Saya masih ingat menyertai perkelahan Freemason di Tasik Henley, Masterton pada satu hujung minggu dengan puluhan ahli yang kebanyakan senior.

 

Ibu angkat saya, Anne Smith mengajar English melalui lagu-lagu Beatles, Police dan lain penyanyi kegemaran, saya teruja. Saya sejak kecil meminati lagu-lagu Inggeris dan Anne Smith mengajar erti lirik-lirik. Saya mula faham penulis lirik seperti John Lennon, Paul McCartney, Sting dan yang sebagainya.

 

Selain buku-buku Inggeris dengan novel-novel, biografi dan lain-lain.

 

Dari situ English saya bertambah baik dengan mendadak untuk peperiksaan dan lulus dengan baik untuk HSC.


 

wainuiomata
Wainuiomata College

 


Anne mengajak saya ke stesen TVNZ di Lower Hutt untuk mengikuti sebuah persembahan drama. Saya teruja dan melihat acara untuk siaran TV yang saya sudah lupa ceritanya.

 

Kemudian ada drama di sekolah yang turut berlakon. Tiga tahun kemudian saya menulis drama untuk al-Arqam dan dipentaskan di Malaysia yang bertajuk rasanya, IBU.

 

Saya berterima kasih kepada guru Inggeris (lupa nama) dan Anne Smith.

 

Tiba masanya untuk berpuasa dan kami menerangkan kami tidak makan siang hari dari subuh ke maghrib. Mereka mendengar dan menyediakan kami, begitu guru-guru dan kawan-kawan.

 

Apabila berbuka makan seperti disajikan dan terus solat maghrib dan kemudian bertarawikh. Tetapi bila pergi ke rumah-rumah pegawai akan terus meriah dengan hidangan masakan tradisional Malaysia.


 

wainuiomata
                   Gambar penulis bersama rakan-rakan dan guru Tingkatan 7 pada 1983.

 


Wainuiomata lebih kurang 24 km dari Wellington dan kami selalu pergi di hujung minggu dengan bermalam di rumah senior. Ada dalam seratus orang pegawai dan pelajar yang menetap di kawasan Wellington.

 

Kami bertarawikh di rumah pegawai atau masjid yang hanya sebuah di Wellington di Newtown. Boleh dikatakan orang New Zealand tidak menyambut ramadan dan hari raya, malah tidak tahu pun dan peduli.

 

Setahun di rumah keluarga angkat memberikan pengalaman yang berharga untuk mengenal orang Kiwi dengan kesopanan. Mereka juga menjaga kebersihan dan alam sekitar sebaiknya dengan ada tempat dibenarkan perumahan yang tinggi.

 

Banyak kawasan ditetapkan sebagai kawasan semulajadi yang dijaga oleh kerajaan dan rakyat tanpa mempedulikan kemajuan dan pembangunan.

 

Itulah sedikit pengalaman di NZ, untuk setahun di Wainuiomata yang saya ceritakan bersempena bulan Ramadan.

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

Portfolio Tags