Hari-hari berbuka dengan beriani semasa Ramadan tahun 2000 di Dubai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 31 Mar 2022 07:00 AM

Hari-hari berbuka dengan beriani semasa Ramadan tahun 2000 di Dubai

 

 

 

PADA musim pertama bulan Ramadan di Dubai pada tahun 2000, saya menjelajah ke setiap masjid untuk berbuka puasa.

 

Ceruk kampung pun saya pergi. Orang perempuan tidak berbuka di masjid dan isteri saya mendapat layanan istimewa.

 

Teringat di UAE masjid turut mengadakan majlis berbuka. Tetapi yang selalu menjadi tarikan adalah nasi beriani.

 

Sepanjang bulan puasa, nasi beriani. Tiada pilihan kerana nasi beriani pilihan utama.

 

Tidak pasti menu yang berbeza. Masjid Sheikh Zayed yang menganjurkan 30,000 orang turut mengadakan nasi beriani setiap hari.


 

beriani

 


Solat sunat tarawih sama ada lapan atau dua puluh masih menjadi sebutan. Sedangkan di UAE, lapan rakaat sudah menjadi biasa. Tetapi akan balik ke 20 di malam 10 terakhir. Tiada siapa menyoal dan mengikut imam.

 

Sepuluh malam terakhir dengan 20 rakaat solat tarawih dan panjang diserbu manusia. Pelbagai rupa manusia yang hadir, lelaki dan perempuan. Masjid-masjid dihias indah sehingga pagi dan sentiasa sibuk dengan jemaah.

 

Moreh menjadi sampingan. Di UAE tidak ada dengan malam baru bermula. Siap untuk keluar bermain dan berpesta. Balik awal pagi perkara biasa. Setiap anggota masyarakat pasti pernah mengalami kecuali pandemik.

 

Atas sebab itulah waktu bekerja dipendekkan. Dari 8 pagi ke 1.30 tengah hari untuk pekerja awam. Untuk swasta berakhir pukul 4 petang. Maka pukul 6 petang, jalan tidak lagi jem dan sesak.

 

Banyak beza untuk berpuasa di UAE dan di Malaysia dalam banyak hal. Kesesakan adalah perkara biasa yang menarik. Ditambah apabila pulang berhari raya dengan kesesakan. Sepanjang lebuh raya dipenuhi kereta. Jutaan manusia saling berinteraksi dan  berkomunikasi.

 

Sebab itu saya suka berhari raya di UAE walau bukan pandemik COVID-19. Tanpa baju raya dan tanpa raya sebulan. Kemeriahan puasa tamat di Hari Raya. Kembali bekerja seperti biasa. Tidak perlu berhari raya waktu bekerja dan makan besar.

 

Ramadan di UAE memang meriah dan menyeronokkan. Sesuatu yang sentiasa dinanti-nantikan. Bukan sahaja untuk beribadah, malah bersosial dalam pengertian kemanusiaan.


 

wainuiomata
Pemilik kereta tidak sempat mengalihkan kereta di tapak jamuan berbuka puasa pekerja asing di Dubai. - Gambar hiasan

 


Seorang wartawan majalah dari Malaysia sebelum Ramadan di UAE menemuramah saya mengenai berhari raya di perantauan untuk edisi khas Syawal. Antara soalan ialah apakah perbezaan beraya di luar negara dan di tanah air.

 

Jawapan saya, di UAE kami menyambut Ramadan sebulan dan raya hanya sehari.

 

Saya sengaja memberi jawapan sebegitu kerana kebiasaannya di Malaysia, raya mendahului puasa dari segi sambutan dan persiapan. Secara jenaka, lagu raya kita begitu banyak dan tidak pasti ada lagu puasa.

 

Seperti mana temuramah itu sendiri, dua bulan sebulan raya, sudah disediakan edisi khas Aidilfitri!

 

Apapun, sepanjang 18 tahun, sememangnya berpuasa di sini membawa banyak pengalaman, kenangan, kesedaran dan keinsafan dalam pelbagai bentuk dan situasi. Terutama untuk berpuasa bersama keluarga dengan anak-anak yang masih kecil dan membesar.

 

Tentunya, kawan-kawan seperantauan yang 'bernasib' sama menyuntik 'suasana' tanah air. Berbohonglah kalau dikatakan tidak rindu kepada suasana Ramadan di UAE walau ditanah air juadah dan kuah muih tradisional sentiasa diidamkan.

 

Lapan belas tahun dahulu, tiada Bazar Ramadan dalam kalangan warga ekspatriat Malaysia. Kami pun tidak ramai jumlahnya waktu itu. Masing-masing menyediakan juadah tradisional untuk dikongsi bersama.

 

Begitupun, kami sebolehnya mahu berpuasa seperti orang tempatan di UAE dalam suasana padang pasir. Tidak rugi malah memberi pengalaman berguna untuk menikmati Ramadan dalam suasana berlainan.


 

wainuiomata
Bandar raya Dubai sudah bersedia menyambut puasa tahun ini. - Gambar hiasan

 


Melihat 18 tahun lalu, Ramadan pertama di UAE menggamit nostalgia. Ada kelucuan di hari pertama Ramadan.

 

Ada panggilan seorang kawan di sini yang memberitahu satu delegasi rektor dan naib canselor universiti berada di Dubai. Mereka mahu berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di Dubai.

 

Saya dan isteri berlapang dada dan gembira untuk menerima tiga tetamu yang merupakan tokoh akademik hebat, seperti rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Kamal Hasan (sekarang Tan Sri), naib canselor Universiti Malaya (UM), Prof Anuar Zaini (sekarang Datuk) yang juga bekas pensyarah isteri saya sewaktu belajar di kolej perubatan UM dan Prof Ir Dr Mohd Zulkifli (sekarang Tan Sri).

 

Kami agak panik juga kerana rumah yang belum 'sedia'. Hidangan makanan pun ala kadar kerana tidak menjangkakan ada tetamu.

 

Melegakan meja makan akhirnya tiba walau setengah jam sebelum berbuka puasa. Itu pun dalam kotak dan perlu dipasang!

 

Apabila ketiga-tiga tetamu itu tiba, azan berkumandang dan kami berbuka puasa di meja makan baru yang dibeli semata-mata untuk meraikan tetamu. Rezeki para tetamu yang juga pertama kali berbuka puasa di UAE.

 

Pada hari itu juga, tercatat dalam sejarah peribadi, dalam terpaksa, saya menjadi imam solat kepada tiga tokoh akademik terutama Prof Kamal Hasan, rektor UIA walau anak seorang ulama.

 

Itulah kenangan yang tidak mungkin dilupakan.


 

dubai

 


Sepanjang Ramadan pertama di UAE itu juga, kami mengeksplorasi 'iftar' di masjid berbeza setiap hari. Pengalaman menarik dalam mendekati masyarakat setempat dan para 'ekspatriat', terutama buruh-buruh.

 

Khemah-khemah dibina di halaman masjid untuk menampung mereka yang berbuka puasa. Badan-badan kebajikan, NGO dan orang-orang perseorangan bersedekah untuk sama mendapat pahala.

 

Hidangan berbuka disediakan secara terbuka kepada semua, sama ada beragama Islam atau tidak. Hampir semuanya menghidangkan nasi beriani ayam atau nasi beriani kambing sebagai juadah tradisional.

 

Saya dapat melihat banyak perbezaan sepanjang 18 tahun lalu dalam cara hidangan iftar. Kini, juadah disediakan dalam kotak-kotak. Lebih mudah untuk diguna dan dibuang.

 

Dari bulan pertama Ramadan itu juga, paling ketara ialah pembaziran makanan. Sesuatu yang menjadi fenomena di mana-mana, termasuk Malaysia yang kegilaan berbuka puasa secara bufet menghasilkan lebih banyak pembaziran.


 

wainuiomata
Bazar Ramadan di Malaysia ada tarikan istimewa setiap bulan Ramadan.

 


Pada tahun ini, awal lagi pihak media tempatan di sini mengingatkan mengenai pembaziran makanan dalam bulan Ramadan. Statistik pembaziran yang menunjukkan peningkatan saban tahun menunjukkan tahap kesedaran masih tidak dihayati kecuali sewaktu pandemik.

 

Boleh dikatakan, warga Emirati adalah antara yang paling murah hati dalam bersedekah di dunia. Kerana itu, puratanya, hidangan berbuka puasa di masjid-masjid bukan sahaja lazat, tetapi berlebihan.

 

Semoga Ramadan kali ini memberi keberkatan kepada semua, terutama negara kita yang terus dilanda pelbagai skandal dengan rasuah, penyelewengan, pengangguran serta hampir 40,000 mahasiswa tercicir.

 

Buat kami yang pernah hidup 18 tahun di perantauan, Ramadan tetap meriah dan menyeronokkan dan saya menanti untuk berpuasa di Nigeria pula.

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA