Kemeriahan Ramadan di NZ dan UAE | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 23 March 2023

Kemeriahan Ramadan di NZ dan UAE

 

 

BERSYUKUR kerana masih sempat untuk bersama Ramadan. Bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Menjalankan ibadah puasa dan beramalan sebagai kewajipan dalam mencari keredaan Ilahi.

 

Begitulah masa berlalu sehingga umur meningkat dan sekarang menghampiri warga emas. Selalu terkenang tahun-tahun berlalu sewaktu di New Zealand sewaktu remaja, di Asia, Eropah dan Amerika sewaktu 30an dan menjadi ekspatriat di Arab Saudi dan UAE.

 

Sewaktu pertama kali berpuasa di negara orang di New Zealand, ada perasaan timbul perasaan asing di tempat orang dan umur masih muda.

 

Dengan suasana sejuk ditambah teringat kampung terasa kerinduan pada keluarga. Di tambah perbezaan makanan, bahasa, agama dan budaya yang sukar untuk menyesuaikan diri.

 

Masyarakat New Zealand atau kiwi sangat berhemah tinggi, berdisiplin dan berada berbanding masyarakat kita yang tentu terpesona.

 

 

wainuiomata

 

 

New Zealand adalah negara yang cantik dan indah dianggap sebagai syurga dunia seperti Switzerland. Beruntuk untuk Kiwi yang sewaktu itu hanya 3 juta orang.

 

Semasa saya tinggal di New Zealand pada tahun 1980an, masih ramai tidak mengetahui tentang agama Islam terutama keluarga angkat tetapi begitu menghormati. Kiwi ada yang bertanya mengenai Ramadan dan aspek-aspek berkaitan.

 

Selalunya pada waktu siang lebih singkat dan lebih cepat berbuka puasa. Saya bersama pegawai dan pelajar lain dapat berpuasa dengan berbilang kaum yang datang ke New Zealand dan ini sungguh meriah.

 

Sudah tentu tiada iklan raya yang mendahului bulan puasa, tiada bazar, tiada program Raya dengan moreh selepas tarawikh.

 

Tiada baju Raya dengan hanya memakai apa yang sempat dan ada ala kadar. Satu permulaan untuk saya menyambut raya hingga kini.

 

Masa itu juga tiada produk makanan dari Asia yang dijual untuk raya seperti rempah ratus dan serbuk kari. Hampir semua dibawa dari Malaysia oleh para pegawai.

 

 

wainuiomata

 

 

Sememangnya pengalaman cukup berharga selama enam tahun di New Zealand yang memberikan kesedaran paling baik tentang kesederhanaan.

 

Di UAE pada tahun 2018 kali ke-18, saya dan isteri berpuasa di negara tumpangan di UAE. Kali kedua tanpa anak-anak yang berada di merata benua.

 

Ramadan di UAE memang meriah dan menyeronokkan. Sesuatu yang sentiasa dinanti-nantikan. Bukan sahaja untuk beribadah, malah bersosial dalam pengertian kemanusiaan.

 

Seorang wartawan sebuah majalah dari Malaysia sebulan sebelum raya ada temuramah saya mengenai berhari raya di perantauan untuk edisi khas Syawal. Antara soalan ialah apakah perbezaan beraya di luar negara dan di tanah air.

 

Jawapan saya, di UAE kami menyambut Ramadan sebulan dan raya hanya sehari.

 

Saya sengaja memberi jawapan sebegitu kerana kebiasaannya di Malaysia, raya mendahului puasa dari segi sambutan dan persiapan. Secara jenaka, lagu raya kita begitu banyak dan tidak pasti ada lagu puasa.

 

Seperti mana temuramah itu sendiri, dua bulan sebulan raya, sudah disediakan edisi khas Aidilfitri!

 

Apa pun, sepanjang 18 tahun, sememangnya berpuasa di sini membawa banyak pengalaman, kenangan, kesedaran dan keinsafan dalam pelbagai bentuk dan situasi. Terutama untuk berpuasa bersama keluarga dengan anak-anak yang masih kecil dan membesar.

 

 

wainuiomata

 

 

Tentunya, kawan-kawan seperantauan yang 'bernasib' sama menyuntik 'suasana' tanah air. Berbohonglah kalau dikatakan tidak rindu kepada suasana Ramadan di tanah air. Juadah dan kuah muih tradisional sentiasa diidamkan.

 

Lapan belas tahun dahulu, tiada Bazar Ramadan dalam kalangan warga ekspatriat Malaysia. Kami pun tidak ramai jumlahnya waktu itu. Masing-masing menyediakan juadah tradisional untuk dikongsi bersama.

 

Begitu pun, kami sebolehnya mahu berpuasa seperti orang tempatan di sini dalam suasana padang pasir. Tidak rugi malah memberi pengalaman berguna untuk menikmati Ramadan dalam suasana berlainan.

 

Melihat 24 tahun lalu, Ramadan pertama di UAE menggamit nostalgia. Ada kelucuan di hari pertama Ramadan.

 

Ada panggilan seorang kawan di sini yang memberitahu satu delegasi rektor dan naib canselor universiti berada di Dubai. Mereka mahu berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di Dubai.

 

Saya dan isteri berlapang dada dan gembira untuk menerima tiga tetamu yang merupakan tokoh akademik hebat, seperti rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), arwah Tan Sri Prof Dr Kamal Hasan, naib canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Anuar Zaini yang juga bekas pensyarah isteri saya sewaktu belajar di kolej perubatan UM dan Tan Sri Prof Ir Dr Mohd Zulkifli.

 

Kami agak panik juga kerana rumah yang belum 'sedia'. Hidangan makanan pun ala kadar kerana tidak menjangkakan ada tetamu.

 

Melegakan yang meja makan akhirnya tiba walau setengah jam sebelum berbuka puasa. Itu pun dalam kotak dan perlu dipasang!

 

 

wainuiomata

 

 

Apabila ketiga-tiga tetamu itu tiba, azan berkumandang dan kami berbuka puasa di meja makan baru yang dibeli semata-mata untuk meraikan tetamu. Rezeki para tetamu yang juga pertama kali berbuka puasa di UAE.

 

Pada hari itu juga, tercatat dalam sejarah peribadi, dalam terpaksa, saya menjadi imam solat kepada tiga tokoh akademik terutama Prof Kamal Hasan, rektor UIA!

 

Itulah kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

 

Sepanjang Ramadan pertama di UAE itu juga, kami meneroka 'iftar' di masjid berbeza setiap hari. Pengalaman menarik dalam mendekati masyarakat setempat dan para ekspatriat, terutama buruh-buruh.

 

Khemah-khemah dibina di halaman masjid untuk menampung mereka yang berbuka puasa. Badan-badan kebajikan, NGO dan orang-orang perseorangan bersedekah untuk sama mendapat pahala.

 

Hidangan berbuka disediakan secara terbuka kepada semua, sama ada beragama Islam atau tidak. Hampir semuanya menghidangkan nasi beriani ayam atau nasi beriani kambing. Juadah tradisional di sini.

 

Saya dapat melihat banyak perbezaan sepanjang 18 tahun lalu dalam cara hidangan iftar. Kini, juadah disediakan dalam kotak-kotak. Lebih mudah untuk diguna dan dibuang.

 

Dari bulan pertama Ramadan itu juga, paling ketara ialah pembaziran makanan. Sesuatu yang menjadi fenomena di mana-mana, termasuk Malaysia yang kegilaan berbuka puasa secara bufet menghasilkan lebih banyak pembaziran.

 

 

wainuiomata

 

 

Pada tahun ini, awal lagi pihak media tempatan di sini mengingatkan mengenai pembaziran makanan dalam bulan Ramadan. Statistik pembaziran yang menunjukkan peningkatan saban tahun menunjukkan tahap kesedaran masih tidak dihayati.

 

Boleh dikatakan, warga Emirati adalah antara yang paling murah hati dalam bersedekah di dunia. Kerana itu, puratanya, hidangan berbuka puasa di masjid-masjid bukan sahaja lazat, tetapi berlebihan.

 

Semoga Ramadan kali ini memberi keberkatan kepada semua, terutama negara kita yang terus mengalami proses pembaharuan seperti Malaysia Madani di bawah PMX, Anwar Ibrahim.

 

Buat kami yang pernah tinggal di perantauan, Ramadan tetap meriah dan menyeronokkan kerana perbezaan tempat memberikan pengalaman tidak dapat ditukar ganti dengan wang ringgit!

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL WAINUIOMATA

 

Portfolio Tags