Kenangan bersama Azmil Mustapha | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 24 Feb 2022 07:00 AM

Kenangan bersama Azmil Mustapha

 

 

Pada Khamis, 29 Mei 2008 bersama kumpulan myUAE-PRO telah diadakan Program Bulanan bersama Azmil Mustapha, yang kini arwah dan pelakon terkenal.

 

Azmil mengukir nama sebagai pelakon terkenal tanah air dengan filem-filem `meletup' pada tahun 80an.

 

Bermula dengan filem yang mencecah kutipan pecah panggung iaitu filem Mekanik (1983) yang turut dibintangi legenda bola sepak tanah air iaitu Dato' Mokhtar Dahari sebagai pelakon undangan. 

 

Antara filem yang turut melonjakkan nama Azmil ialah Ali Setan (1985), Ali Setan 2 (1986) dan Suara Kekasih (1986). Gandingan paling ideal pada era tersebut adalah antara Azmil dan Fauziah Ahmad Daud.

 

fudzail
Filem Ali Setan terbitan 1985

 


Selain itu, antara filem yang turut mendapat sambutan adalah seperti Driving School (1990), Fifty/Fifty (1991) dan Iman Alone (1998).


 

fudzail
Azmil Mustapha sentiasa digandingkan dengan Fauziah Ahmad Daud, yang menjamin sambutan hangat filem Melayu pada 1980-an.

 


Ketika menjemput Azmil di airport Sharjah, kelihatan Azmil dengan penuh kejujuran dan  kesederhanaan. Dapat dilihat dengan serban dan jubah, tiada lagi dunia glamor dengan pakaian yang mahal dan bergaya.

 

Sempat Azmil mengadakan taaruf ringkas dari lapangan terbang.

 

Satu-satunya Azmil yang saya minati dengan kira-kira lima puluh rakyat Malaysia berkumpul untuk mendengar kisah sebenar hidupnya. Tentang bagaimana Azmil beralih daripada pengarah filem dan pelakon untuk menjadi pelajar Islam dan Arab.

 

Kisahnya memberi harapan kepada ramai lagi kerana jika kita mengambil berat untuk melihat, mendengar, dan merasai dengan hati kita, maka kita akan tahu bahawa pintu Syurga sentiasa terbuka untuk kita. Perjuangan dan pengorbanannya, menyentuh hati dan saya kagum akan rahmat dan belas kasihan Tuhan.

 

Azmil yang pernah membuat duit berpuluh ribu semalam sebagai promoter concert, pengarah dan produser filem yang sibuk kini seorang yang sederhana hidupnya.

 

Azmil telah berhijrah dengan drastik dan mengejutkan dengan komitmen yang tetap. Pada waktu itu Azmil 18 bulan di Damsyik dan sedang mengikuti kursus bahasa Arab serta mempelajari pengajian Islam.


 

fudzail
Azmil Mustapha di rumah penulis di Dubai pada 2008.

 


Azmil bersikap terbuka kerana tiada apa untuk disorok dan ditutup. Azmil mahu bercerita bertujuan menjadikan perjalanan hidupnya sebagai ibrah buat ramai yang mahu mendengar.

 

Azmil sempat bercerita suatu masa Al-Fatihah pun tidak mampu untuk dibaca. Alhamdulilah sudah menghafal Juzu' Amma dengan baik. Mulanya bacaan Fatihah terpaksa dieja dengan huruf rumi sebagai rujukan ketika solat.

 

Pada ketika itu, Azmil baru bermula dalam perjalanannya dalam dunia baru. Tetapi dunia baru ini real dan realiti yang mencabar. Bagi Azmil tiada lagi lakonan hidup untuk bermain wayang dan berpura-pura.

 

Menurut cerita anak perempuannya, Aiya Iman, empat bulan selepas dia dilahirkan Azmil bercerai dengan ibu dan memutuskan untuk mengambil alih kerjanya untuk menjaga empat beradik termasuk seorang bayi berusia 4 bulan.


 

fudzail
Azmil Mustapha dan penulis (berbaju hijau) pada 2008.

 


Azmil bekerja keras di rumah untuk mendapatkan pendapatan yang mencukupi untuk menyediakan semua keperluan untuk keluarga.

 

Lima tahun kemudian Azmil berdoa kepada Tuhan dan bertanya kepada-Nya apa seterusnya yang perlu dilakukan. Tuhan seolah menjawab dalam mimpinya untuk pergi ke Syria.  

 

Selama itu tiada siapa yang tahu di mana Syria, semua orang menyangka Azmil gila untuk berpindah ke sana tetapi tetap melakukan. Azmil melakukan apa sahaja untuk mencari wang.  Azmil membawa tiga orang anaknya dan berpindah ke Damsyik, Syria.

 

Azmil pergi ke Damsyik untuk belajar agama dan budaya Arab dan tiada ada kerja untuk mencari pendapatan dan duit.  Azmil cukup percaya Allah ada untuk membantu dan terus berdoa dan tidak putus asa. Walaupun masa susah dan sukar yang terpaksa dilalui.

 

Namun semuanya satu pengembaraan dan banyak pengajaran. Azmil menyukai Damsyik yang cantik dengan budaya dan makanannya sungguh indah.


 

fudzail
Aznil bersama tiga anak perempuannya.

 


Keluarga Azmil sangat seronok dengan banyak kenangan indah dan tidak mahu kembali ke Malaysia.

 

Selepas enam tahun pengembaraan yang menakjubkan, mereka  tiada pilihan selain meninggalkan negara yang indah itu dan kembali ke Malaysia kerana perang bermula dan tidak selamat untuk tinggal di sana.

 

Apabila Azmil kembali semua anaknya sudah dewasa dan mereka mula menjalani kehidupan mereka sendiri.

 

Apabila Azmil pulang mula membuat ceramah agama di seluruh Malaysia untuk mendapatkan wang.

 

Agak sukar untuk anak Azmil apabila kembali kerana sudah tidak biasa dengan budaya Malaysia, bahasa, sekolah dan segala-galanya. Anaknya pernah dibuli di sekolah namun berjaya bertahan.

 

Kemudian beberapa tahun Azmil jatuh sakit, keluar masuk hospital untuk beberapa lama. Apabila Azmil tidak sihat, arwah kembali mengalami masalah kewangan.

 

Pada satu hari keluarga mendapat surat daripada sekolah memberitahu bil tertunggak dan keputusan anaknya sangat teruk.


 

fudzail
Watak sebagai Ali dalam filem Ali Setan diingati ramai dan bila saja diulang siar di televisyen, pasti ramai menontonnya !

 


Anaknya itu gembira kerana  dapat menghabiskan banyak masa dengan ayahnya Azmil dan mempunyai banyak kenangan yang menggembirakan. Apalagi dapat memberikan semua keperluannya untuk selama beberapa hari terakhirnya.

 

Dari blog, Azmil mula ingin menjadi baik apabila berkunjung ke New York untuk menghadiri bengkel perfileman selama tiga bulan. Azmil merancang untuk tinggal di rumah kawannya di New York.

 

Azmil berjanji untuk pergi pada hari Jumaat tetapi oleh kerana terlalu gembira Azmil terlambat.

 

Namun kawannya tidak bersedia menerima kerana sepatutnya Azmil hadir pada hari Jumaat.

 

Tanpa tempat tujuan Azmil menaiki teksi dan menyatakan ingin ke New York.  

 

“New York besar tuan, ke mana ?” tanya pemandu teksi berbangsa Pakistan.  “Saya tak tahu.” jawab Ali Setan.  “Kau ni orang Islam ke?” “Ya. Islam.” “Kalau aku bawa kau ke Masjid, ok?” “Boleh juga.”

 

Walaupun di Malaysia jarang-jarang ke masjid, di New York ke masjid pula kata Azmil di dalam hati. 

 

Oleh kerana sudah masuk waktu solat, pemandu teksi juga solat di masjid. Azmil turut sama. Akhirnya Azmil dapat menumpang tidur di masjid di New York selama beberapa malam. 


 

fudzail
Azmil Mustapha meninggal dunia pada 14 Februari 2018. Al-Fatihah untuk Allahyarham.

 

 

Azmil berfikir, bila pulang ke Malaysia nanti  ingin berubah menjadi baik. Inilah antara titik perubahan beliau.

 

Namun cerita kepada saya pada malam ulang tahun hari lahir saya di Dubai berlawanan sekali dengan versi original Azmil.

 

Azmil bercerita panjang tentang kisah orang kenamaan yang membuat Azmil kembali ke jalan dakwah dan bertaubat. Dan saya simpan untuk kenangan dengan seorang pelakon yang diminati. 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA