Presiden UAE arah tutup Dutel, monopoli Entisalat jangan ganggu
SEMASA kesibukan untuk meneruskan usaha ke arah penubuhan Dutel secara bukan lagi rahsia ditetapkan pada tahun kedua. Saya memang mengharapkan Dutel akan menjadi realiti dan dapat bersaing dengan sihat dengan Etisalat.
Setelah dikumpulkan segala data untuk mengetahui kedudukan telekomunikasi di Dubai, 100% syarikat bersetuju penubuhan sebuah lagi syarikat telekomunikasi yang serba moden dan teknologi up-to-date menggunakan infrastruktur terkini.
Dr Osama Al Ali telah berjaya mendapatkan rakan bisnes dari Amerika Syarikat yang sanggup memberikan teknologi dengan kelengkapan yang lebih moden. Kami dijangka dapat memasuki bisnes dalam selama setahun dengan menyediakan prasarana berharga berbillion dirham.
Pada waktu yang sama saya juga diarah untuk mengkaji keperluan awam terhadap infrastruktur internet yang masih baru waktu itu. Pihak Dutel menawarkan internet untuk telekomunikasi dengan infrastruktur canggih terus kepada pelanggan.
Strategi Dutel terus kepada internet dengan telefon bimbit tanpa menggunakan wayar. Tiada keperluan untuk wayar segalanya, ini adalah strategi mudah untuk bersaing dengan Etisalat yang masih menggunakan wayar sepenuhnya.
Saya sebagai COO terasa ke depan dalam teknologi dan merasakan Dubai telah bersedia dengan teknologi canggih.
Pada waktu itu, pembangunan pesat di Dubai memerlukan telekomunikasi yang terbuka. Banyak pembangunan seperti kota-kota baru, taman-taman perumahan dan bangunan-bangunan baru menjalar, terutama Pulau Palma.
Pulau itu pada ketika itu, tahun 2003 sedang dibina dengan cepat dan agresif. Dr Osama dan saya telah dijemput untuk pembinaan dan pertama kali menjejak ke pulau Palm yang baru siap sebahagian, masih tiada orang. Saya menjadi lelaki pertama dari Malaysia ke pulau Palma yang bersejarah.
Palm Jumeirah adalah kepulauan kepulauan buatan yang dibuat menggunakan penambakan darat yang meluas ke Teluk Parsi. Ini adalah sebahagian dari rangkaian pengembangan yang lebih besar bersama-sama akan meningkatkan garis pantai Dubai sejauh 520 kilometer.
Pulau Palm terletak di kawasan pesisir Jumeirah di Dubai. Pembinaannya dilakukan sebagai usaha sama oleh dua syarikat pakar Belanda, Van Oord dan Boskalis.
Penerokaan pertama Dutel dijangka sepenuhnya bermula dari pulau Palma, yang juga kepunyaan Dubai World sama seperti Dutel. Berbagai perancangan difikirkan untuk pulau Palma dengan pelancongan sebagai kerangka utama. Dijangka ada 20 hotel besar dibina dengan pantai yang beratus kilometer.
Ribuan rumah banglo juga dirancang dengan pantai sebagai penarik. Bangunan kondominium dibina di bahagian tengah pulau berbentuk pokok kurma. Pulau ini dibina sejauh 6 kilometer ke dalam laut dan 12 kilometer lebar.
Laporan syarikat telekomunikasi baru hampir siap oleh kami yang bekerja keras. Kami ada pasukan untuk menyiapkan dengan kemas dan teratur. Saya di samping menjadi Pengurus Besar untuk syarikat Yusuf Islam terus melaksanakan arahan yang diberikan.
Saya merasa gembira dapat bekerja di dua syarikat yang baru ditubuhkan di Dubai walau bekerja agak sukar untuk mendapat persetujuan dua pihak. Tetapi dengan nama Yusuf Islam, saya dibenarkan kerana nama Yusuf yang terkenal. Malah kedua-dua pihak dapat bekerjasama dengan kebenaran Pengerusi Dutel.
Membincangkan tentang strategi, misi dan wawasan Dutel sungguh bernas dengan semua pengarah dan kakitangan yang bekerjasama. Kami cukup yakin Dutel akan berjaya dengan sebaik-baiknya, malah akan lebih berjaya dengan kecanggihan.
Etisalat mungkin rasa tercabar apabila kami diberitahu, Etisalat telah mengadu pada Presiden UAE tentang keujudan Dutel.
Pada suatu hari kami dipanggil ke pejabat oleh Hamed Kazim dan kami bersegera menuju pejabat untuk mengetahui. Di hati kami pertemuan itu tentang berita baik yang akan membuka lembaran baru kepada UAE seluruhnya.
“Presiden telah memerintahkan Dutel ditutup dalam masa 24 jam.
Kami terkejut besar dan ternganga. Banyak perancangan baru dirangka untuk tahun baru.
“Kerajaan telah menerima pengaduan dari Etisalat yang tidak membenarkan monopolinya dipecahkan.”
Hamed Kazim terdiam dan memandang semua orang dengan Dr Osama begitu terkejut seperti kami.
Saya hanya memandang kosong. Kosong sekosongnya.
Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA