"WARIS AKU CONFIRMED TAK GADUH PUNYA!"
DUA PULUH DUA tahun memperjuangkan kesedaran perancangan harta kepada umat Islam di Malaysia, ini antara alasan paling popular yang saya temui dalam masyarakat bila ditanya kenapa tidak merancang harta semasa hidup: Waris aku confirmed tak gaduh punya!
Di dalam semua penulisan saya di portal Dagang News ini, saya akan bersifat kritikal kepada norma dan budaya masyarakat yang pada pandangan saya menyumbang kepada masalah harta pusaka di Malaysia.
Kadang-kadang kita sedar tentang perkara ini tetapi dalam banyak keadaan kita tidak sedar dan membiarkan norma dan budaya ini menjadi penghalang kepada kita dalam merancang harta yang seterusnya menjadikan harta pusaka itu satu bebanan kos, perundangan dan emosi kepada waris-waris.
Jadi jika pembaca terasa hati dengan kritikan saya, saya mohon maaf dari awal. Niat saya hanyalah satu iaitu untuk melontarkan perspektif baru kepada masyarakat agar ia boleh dimuhasabah dengan baik dan seterusnya diaplikasi jika dirasakan mempunyai impak.
Kerap saya dengar masyarakat berkata nenek moyang kita dulu tak pernah buat apa-apa perancangan pun. Harta pusaka mereka sentiasa dapat diurus dengan baik dan waris-waris muafakat sahaja. Tiada timbul sebarang perbalahan pun.
Saya tidak bersetuju langsung dengan pandangan tidak berfakta ini. Hujah saya, masyarakat zaman nenek moyang kita dulu anak-anaknya taat dan patuh kepada arahan ibu bapa. Walaupun tidak ditulis sebarang dokumen perancangan harta, anak-anak akan sentiasa patuh dengan pesanan ibu bapa berkaitan bagaimana harta pusaka diagihkan. Jika dipesan bahagi sama rata di antara semua anak lelaki dan perempuan, itulah yang akan dibuat. Jika dipesan anak tertentu diberikan harta tertentu, semua waris tidak akan membantah.
Namun begitu, saya nak ingat juga masyarakat, kerana nenek moyang kita tidak buat apa-apa perancanganlah hari ini Malaysia ada masalah RM60 bilion harta pusaka tertunggak. Nilai harta yang banyak tertunggak ini bukan berlaku semenjak semalam atau setahun dua ini. Ia masalah tertunggak yang telah berlaku semenjak puluhan malah ratusan tahun yang lalu.
Saya pernah berjumpa kes pusaka yang masih tak selesai sehingga hari ini yang mana pemiliknya meninggal dunia tahun 1925! Waris itu minta saya selesaikan kes pusaka ini dan carikan waris-waris lain yang terlibat yang dianggarkan berjumlah hampir 200 orang. Dia sendiri tidak tahu di mana waris-warisnya berada, suruh saya pula yang cari. Dia ingat saya ni radar waris?
Seperkara lagi yang perlu kita fikirkan, jika waris-waris anak zaman dulu boleh bermuafakat, anak-anak milenia Instagram iPhone sekarang bagaimana pula ? Apakah mereka akan patuh dengan pesanan kita berkaitan harta pusaka ? Ada jaminan mereka tidak akan melanggar arahan kita dan tidak akan berbalah sesama sendiri merebutkan harta pusaka yang kita tinggalkan? Yang sudah ada dokumen perancangan pun kadang-kadang berperang macam nak rak, apatah lagi yang langsung tiada apa-apa dokumen perancangan.
Ramai juga ibu bapa yang beranggapan tidak ada apa yang nak dirunsingkan pasal harta pusaka. Anak-anak mereka telah dididik dengan didikan agama yang baik. Dihantar ke pusat pengajian agama, ada antara anak ini bergelar ustaz, hafiz hafizah dan agamawan. Takkanlah anak-anak ini akan berbalah tentang harta pusaka!
Sepanjang bergelumang dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka ini, saya sudah melihat macam-macam insiden yang tak terlintas di akal fikiran waras kita. Maaf saya katakan siapapun waris itu baik ustaz, ustazah, hafiz, hafizah, agamawan yang faham agama waima jutawan, arkitek, jurutera, doktor yang berharta banyak, bila datang bab harta pusaka, risiko perbalahan tetap wujud apabila perasaan tamak merasuk jiwa.
Kita kena faham, harta pusaka ini sifatnya percuma. Ia ibarat rezeki terpijak yang amat didambakan bukan sahaja bagi waris-waris yang tidak berkeupayaan dari segi ekonomi, malah kepada waris yang berharta pun, harta pusaka ini tetap mahu dituntutnya.
Pernah saya berjumpa kes di mana seorang waris berpangkat Dato’ yang hidupnya mewah (sebab saya nampak dia datang ke pejabat saya menaiki BMW dan mempunyai pemandu), tidak mahu langsung berkompromi atau melepaskan bahagiannya kepada adik-adiknya yang hidup kais pagi makan pagi walaupun bahagian setiap waris hanyalah bernilai sekitar RM18,500 sahaja. Kalau ikut logik akal kita apalah salahnya Dato’ ini melepaskan bahagian itu kepada adik-adiknya yang lain. Tapi tetap dituntutnya juga kerana katanya itu hak dia mengikut hukum faraid!
Namun begitu ada juga saya bertemu kes pusaka di mana waris-waris bermuafakat dan berkompromi. Sekitar tahun 1998 – 2010, dari 10 kes pusaka, saya akan berjumpa 6 atau 7 kes pusaka yang diselesaikan dengan harmoni.
Namun selepas tahun 2010, saya perhatikan jumlah kes pusaka yang waris saling mencabar antara satu sama lain dan berlaku perbalahan semakin tinggi. Dari 10 kes pusaka, mungkin 4 atau 5 sahaja kes yang berjaya diselesaikan secara muafakat, manakala yang lainnya akan dicabar dan ada perbalahan.
Bila dicabar maka tempoh masa untuk penyelesaian kes ini menjadi semakin panjang dan prosesnya semakin rumit. Saya jangkakan trend perbalahan ini akan lebih tinggi pada masa akan datang kerana perubahan nilai hidup dalam masyarakat di samping keperluan waris ke atas harta pusaka itu semakin komplikated.
Dengan huraian saya ini, adakah anda masih yakin 100% waris-waris anda akan boleh bermuafakat tentang harta pusaka anda selepas kematian anda kelak tanpa anda merancang harta? Nasihat saya, bila datang bab harta pusaka, janganlah ambil risiko.
Harta ini tanggungjawab anda sebagai pemilik harta. Dengan merancang harta hari ini semasa masih hidup, anda akan memastikan harta anda dapat diterima oleh waris dengan jelas dan mudah dan yang paling penting harta pusaka ini tidak menyebabkan perbalahan di antara waris dan menjadi fitnah kepada kita yang telah meninggal dunia.
Sebagai ayah, saya sentiasa berpesan kepada anak-anak saya supaya mereka jangan lupa untuk berkumpul, membaca Yassin dan bertahlil serta mendoakan roh saya selepas kematian saya. Tetapi jika saya tidak merancang harta sekarang dan mereka berbalah kerana harta pusaka saya, adakah mereka boleh menunaikan hasrat saya itu?
Saya mahu harta pusaka yang saya tinggalkan ini menjadi asbab kepada kejayaan ekonomi dan bertambah eratnya ikatan kasih sayang di antara waris-waris saya dan kerana itu pada hari ini, pada usia 50 tahun saya telah pun merancang kesemua harta saya. Anda bagaimana? Mahukan waris berkasih sayang atau berbalah akibat harta anda ? Renungkan …
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan harta secara Syariah sila klik di sini: Wasiyyah Shoppe