Wasiyyah Shoppe catat untung tertinggi FY2021 | DagangNews Skip to main content

Wasiyyah Shoppe catat untung tertinggi FY2021

Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin

KUALA LUMPUR 17 Jan – Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh Syariah swasta terbesar di Malaysia mencatat pertumbuhan pendapatannya sebanyak 61% iaitu RM20.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, berbanding RM12.4 juta tahun sebelumnya.

 

Pendapatan sebelum cukai juga menokok sebanyak 217% dari RM954,682 kepada RM3.03 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, sebagai pelopor kaedah hibah dan penyedia hibah terbanyak di Malaysia, hibah menyumbangkan 65% dari pendapatan Wasiyyah dan dijangka akan terus menjadi penyumbang utama bagi tahun kewangan yang mendatang.

 

“Tahun kewangan 2020/21 adalah tahun yang paling mencabar kerana pada tahun inilah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama dikuatkuasakan di Malaysia apabila pandemik COVID-19 menyerang.

 

''Ketika suasana tidak menentu itu menjejaskan banyak perniagaan, Wasiyyah telah berjaya melaluinya dengan melaksanakan pelbagai strategi digital yang inovatif,” kata Ariffin dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Ariffin menekankan bahawa faktor utama kepada pencapaian ini ialah pengenalan akad hibah secara dalam talian yang diperkenalkan pada Mei 2021 iaitu 2 bulan selepas PKP 1.0 dikuatkuasakan.

 

Kaedah patuh Syariah yang inovatif ini membolehkan pemberi dan penerima hibah berada di mana-mana lokasi di seluruh dunia tanpa perlu bersemuka bagi melaksanakan akad hibah mereka.

 

Pengenalan kaedah ini berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan kerana ia memudahkan di samping menghapuskan kebimbangan penyebaran COVID-19 dalam kalangan pelanggannya. 65% dari pelanggan memilih kaedah ini.  

 

Pelaksanaan strategi seperti polisi bekerja dari rumah, sistem pembayaran dalam talian yang lebih cekap dan pengenalan pelbagai sistem lain juga menyokong pertumbuhan perniagaan yang drastik bagi tahun kewangan tersebut.

 

“Pandemik telah secara signifikan mengubah kelakuan pengguna, struktur ekonomi dan landskap perniagaan di seluruh dunia.

 

''Sebagai pemimpin pasaran, Wasiyyah mengenal pasti perubahan ini dan telah, sedang dan akan secara berterusan mengambil segala langkah yang perlu bagi merevolusikan perniagaan, terutama dari sudut pengenalan pelbagai kaedah digital yang inovatif  bagi mendepani cabaran ini dan memberi perkhidmatan terbaik kepada ummah,” ujar beliau.


 

Wasiyyah

 


Menurut Ariffin lagi, pencapaian ini adalah yang terbaik dalam sejarah Wasiyyah semenjak ditubuhkan pada 2004.

 

Katanya, pencapaian ini juga adalah hasil komitmen tinggi Lembaga Pengarah, Panel Syariah, barisan kepimpinan dan kakitangan serta dai’e Wasiyyah yang agresif melakukan jualan secara dalam talian. – DagangNews.com